> > Jauhi tanda kemurungan seawal dua minggu!
Jauhi tanda kemurungan seawal dua minggu!
ZALMIMAZURA ZAHARI Rabu | 13 Mac 2019

Adakah anda pernah mengalami kemurungan atau pernah berhadapan dengan individu yang mengalami kemurungan? Dalam menghadapi situasi ini, apakah jalan penyelesaian yang anda ambil?

Boleh dikatakan hampir semua orang akan mengalami kemurungan, cuma yang berbeza dari segi tahap. Sama ada kemurungan di peringkat awal atau serius. Kalau di peringkat awal, Insya-ALLAH masih boleh dirawat dan dipulihkan emosi, sebaliknya jika di tahap serius jika tidak dibendung boleh melarat sehingga membawa kepada pembunuhan! Boleh mengancam nyawa individu terbabit atau orang sekelilingnya.

Mengupas tentang isu kemurungan, golongan mahasiswa antara kelompok yang tidak boleh lari dari menghadapi masalah ini.

Antara tanda-tanda kemurungan seseorang itu kerap menyendiri atau kurang bergaul- sumber foto 123 RF.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan kemurungan akan menjadi penyakit pembunuh kedua selepas tahun 2020. Berdasarkan satu kajian ke atas 18 buah negara, didapati seramai 850,000 pesakit kemurungan kronik membunuh diri setiap tahun. Di Malaysia kadar bunuh diri ialah 1.3 setiap 100,000 rakyat dan salah satu faktor ialah kemurungan. Sangat membahayakan!

JANGAN BIARKAN SENDIRIAN

Dalam pelbagai jenis penyakit mental, kemurungan adalah morbiditi paling umum di seluruh dunia. Secara global dijangka kadar prevalen kemurungan di antara 8% hingga 12% untuk kemurungan seumur hidup, 40% hingga 55% untuk kemurungan berlanjutan 12 bulan. Malaysia tidak terkecuali, kemurungan dijangka telah menjejas kira-kira 2.3 juta rakyat Malaysia.

Di Malaysia, masalah kesihatan mental semakin serius dan meningkat. Menurut laporan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia (NHMS), prevalen penyakit mental meningkat dari 10.7% pada tahun 1996 kepada 29.2% pada tahun 2015.

“Merujuk kepada fakta tersebut, dapat kita simpulkan bahawa masalah kemurungan semakin serius di Malaysia. Menurut DSM-V, kemurungan terbahagi kepada dua jenis iaitu kecelaruan kemurungan major dan kecelaruan kemurungan minor.

Dr Rafidah Aga Mohd Jaladin.

“Kecelaruan major dapat dilihat melalui simptom berikut; hilang minat pada perkara yang sebelum ini suka melakukannya, merasa sedih atau sunyi yang amat sangat, mudah menangis tanpa sebab, letih dan lesu, rasa bersalah, kehilangan berat badan yang ketara, merasa mati itu lebih baik atau lebih kronik lagi sentiasa berfikir untuk membunuh diri, bermasalah untuk membuat keputusan dan sukar untuk tidur atau apabila terjaga sukar untuk tidur kembali,” kata Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Rafidah Aga Mohd. Jaladin.

Jelasnya lagi, untuk diagnosis tahap kemurungan major sekurang-kurangnya mengalami lima atau lebih simptom manakala kemurungan minor dapat dikesan dua hingga 4 simptom yang hadir selama dua minggu secara berturutan.

FAKTOR KEMURUNGAN

Menurut Dr Rafidah, lazimnya kemurungan yang berlaku dalam kalangan mahasiswa lebih menjurus kepada situasi. Sekiranya kemurungan di tahap kronik ia adalah disebabkan oleh pengalaman silam kesan genetik keluarga yang pernah mengalami kemurungan.

“Biasanya kes-kes yang dialami oleh mahasiswa ini lebih kepada stres yang terlampau yang di luar kawalan atau kebiasaan mereka. Contohnya, minggu assigment yang terlalu banyak sehingga boleh jadi ‘mental block’ sebabnya tak mampu nak buat. Dari situ mula timbul rasa diri tak bagus, tak ada nilai.

“Faktor kedua, sosialisasi dengan rakan sekampus di mana wujudnya kroni atau geng. Kadang-kala ada individu yang introvert, kurang pergaulan jadi dia tak ada geng. Disebabkan itu dia sentiasa menyendiri dan akan timbul perasaan diri tak bagus atau hebat macam orang lain. Bila dah wujud perasaan macam tu, kawan-kawan rapat pula tak ada, lagi mudah untuk dia hadapi kemurungan.

“Ketiga, tekanan keluarga. Ada sebahagian mahasiswa terpaksa mengikut pilihan jurusan yang ditetapkan oleh keluarga. Sedangkan diri mereka mahu pilih jurusan lain. Kerana tidak mahu ‘derhaka’, jadi terpaksa turutkan. Bila sentiasa dalam keadaan tertekan, ia boleh membawa kepada kemurungan sebab wujud konflik antara kemahuan keluarga dan diri,” katanya.

BANTU JAUHI KEMURUNGAN

Apabila menyedari ada rakan di kampus atau ahli keluarga yang mempunyai tanda-tanda kecenderungan kemurungan ini, sebenarnya anda boleh membantu.

“Apa yang boleh kita buat ialah jangan biarkan mereka bersendirian, sentiasa ajak bersembang. Orang yang mengalami kemurungan ini dia rasa hilang nikmat kehidupan, dia rasakan dirinya tidak mempunyai harapan dan tiada orang yang boleh membantunya.

“Jangan biarkan mereka hanyut dengan perasaan sendiri. Kita kena sentiasa menemani dan ajak kawan libatkan diri dalam aktiviti dalam dan luar kampus. Jangan biarkan dia bersendirian,” kata Dr Rafidah.

Jelas Dr Rafidah lagi, jika simptom yang berlaku itu kerap terjadi dalam tempoh yang panjang dan masih berkekalan walau lebih dari dua minggu, maka perlu diberi perhatian yang lebih kerana itu bukan kemurungan disebabkan gangguan situasi, sebaliknya mungkin gangguan kecelaruan mental atau mental disorder.

Tahap kemurungan yang kronik boleh menyebabkan mencederakan diri sendiri dan mengancam nyawa orang sekelilingnya- sumber foto 123RF

“Sebenarnya kita boleh bantu dari segi kurangkan simptom tersebut. Contohnya, kalau kita lihat dia tak bermaya, lesu dalam melakukan sesuatu perkara sebelum ini dia minat dengan apa yang dia buat, jadi kita suburkan kembali minat tersebut. Kalau boleh ajak dia sama-sama buat perkara yang dia suka. Kalau dah hilang minat, pemikiran pun akan jadi negatif. Jadi kita boleh bantu dia dengan mencabar pemikiran dia yang tak rasional.

“Bahayanya mereka yang mengalami kemurungan tahap kronik kerana ia boleh mencederakan diri sendiri atau membunuh diri dan juga mengancam keselamatan orang di sekelilingnya. Ini kerana orang yang mengalami kemurungan boleh bertindak agresif walaupun menyendiri. Lebih-lebih lagi apabila memendam rasa, dan kalau ‘meletup’ dia boleh melakukan dua kemungkinan tadi, sama ada cederakan diri sendiri atau orang lain tanpa kita jangka,” katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...