> TIP SIHAT > Benjolan seperti guli pada tangan? Ketahui fakta sebenarnya...
Benjolan seperti guli pada tangan? Ketahui fakta sebenarnya...
DR AHMAD MAHYUDDIN MOHAMED Rabu | 13 Mac 2019

ANDA pernah mengalami masalah bejolan keras seperti guli pada pergelangan tangan? Tidak mustahil jika situasi ini menimbulkan kerisauan sementelahan lagi ia biasanya lebih jelas kelihatan apabila pergelangan tangan dibengkokkan sehingga menimbulkan rasa sangat tidak selesa.

Benjolan seperti guli ini mungkin adalah ganglion. Ia adalah ketumbuhan tisu yang paling kerap terjadi pada sendi ini.

Kira-kira 70 peratus daripada ganglion terjadi pada bahagian belakang (dorsum) pergelangan tangan iaitu ia muncul dari sendi scapholunate.

Manakala bakinya pada bahagian permukaan depan (volar) dari sendi radiocarpal dan scaphotrapezial. Kadang-kadang ia terlalu kecil sehinggakan cuma boleh dilihat apabila pesakit membengkokkan pergelangan tangan.

Kandungan benjolan ini adalah campuran cecair sendi iaitu glucosamine, albumin, globulin dan hyaluronic acid. Kesan tekanan atau pressure effect akan mengakibatkan sebahagian pesakit akan mengadu ketidakselesaan akibat kehadirannya apabila sedang beraktiviti.

Bukan kanser

Ada kalanya juga ganglion ini boleh menekan saraf yang berhampiran menyebabkan tangan rasa kebas. Bagaimanapun, ia tidak merbahaya dan tiada risiko untuk berubah menjadi kanser.

Ganglion terbentuk akibat kelemahan pada lapisan tisu yang melapisi sendi sehingga cecair synovial menolaknya keluar dan membentuk benjolan ini.

Ia boleh terjadi pada mana-mana sendi namun lebih kerap terjadi pada pergelangan tangan.

Ganglion berlaku biasanya berhampiran dengan tapak tangan. (Gambar sekadar hiasan)

Terdapat dua teori iaitu Teori Trauma dan Teori Keradangan yang cuba menjelaskan kenapa kelemahan tisu ini berlaku namun jawapan sebenarnya masih kekal misteri.

Secara peribadi, saya berpendapat anda perlu segera berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang benjolan atau kebengkakan pada mana-mana anggota badan anda.

Kita perlu pastikan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak bahaya. Selain daripada ganglion, kebengkakan atau benjolan boleh disebabkan oleh ketumbuhan lain seperti lipoma (ketumbuhan sel lemak), sebaceous cyst (benjolan kelenjar peluh) atau pun abscess (nanah).

Diagnosis ganglion ini dibuat berdasarkan pemeriksaan klinikal. Secara umumnya, anda tidak perlu menjalani imbasan X-ray. Sekiranya pembedahan diperlukan, darah mungkin perlu diambil sebelum anda dilihat oleh doktor bius.

Kebarangkalian ia kembali terjadi adalah lebih rendah iaitu 15-20 peratus. Selepas anda dibius, ganglion ini akan dibuang melalui satu torehan pada kulit.

Kadangkala kedudukan benjolan adalah begitu hampir dengan saraf dan salur darah. Perancangan yang teliti perlu dilakukan sebelum pembedahan dilakukan.

Wrist Brace boleh membantu mereka yang berdepan isu ganglion. (Gambar sekadar hiasan)

Rawatan

Tanpa Pembedahan:

Ganglion yang tidak menimbulkan sebarang masalah boleh dibiarkan.

Disedut keluar (Aspiration):

Risiko bagi ganglion tersebut kembali terjadi adalah tinggi iaitu 50 peratus.

Pembedahan:

Pembedahan dilakukan sekiranya ia menimbulkan masalah seperti sakit, kebas atau pesakit meminta ia dibuang atas sebab kosmetik dan sebagainya.

DR AHMAD MAHYUDDIN MOHAMED

*Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed merupakan Pakar Bedah Ortopedik di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang

*Artikel ini dipetik daripada sisipan Sihat: Aktif terbitan Sinar Harian Rabu 13 Mac 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...