> TERENGGANU > Mahu wang segera jerat penuntut IPT jadi keldai akaun
Mahu wang segera jerat penuntut IPT jadi keldai akaun
BERNAMA Khamis | 14 Mac 2019

KUALA TERENGGANU - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dikenal pasti sebagai sasaran utama penjenayah ‘Macau Scam’, yang menjadikan mereka sebagai keldai akaun.

Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia (BNM) Datin Arlina Ariff berkata antara taktik yang digunakan penjenayah tersebut adalah dengan menawarkan wang yang banyak kepada mangsa kononnya sebagai upah, kerana menggunakan identiti mereka membuka akaun bank bagi pihak ketiga (penjenayah).

Katanya kebanyakan daripada penuntut IPT terpedaya dengan taktik berkenaan, kerana ghairah untuk mendapatkan wang dengan jalan yang mudah bagi menampung perbelanjaan harian.

“Mereka akan cari pelajar universiti dijadikan pemegang akaun kepada pihak ketiga. Mereka umpan mangsa dengan wang, sebab tahu pelajar kadang-kadang mengalami kesempitan wang bila duit biasiswa tak masuk lagi. Lepas tu ada orang ‘offer’ RM1,000...contohnya kalau bagi pinjam identiti nak buka akaun, siapa yang tak mahu kan?

“Mungkin mereka sendiri tidak sedar, kalau sudah terperangkap mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan membuka akaun untuk pihak lain, dan jika didapati akaun berkenaan terlibat pula dalam kes jenayah pemegang akaun boleh didakwa (di mahkamah),” katanya di sini.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab selepas memberi penerangan mengenai Karnival Kewangan Terengganu anjuran BNM dan institusi kewangan yang lain pada 4 hingga 6 April ini di TH Hotel and Convention Centre.

Arlina berkata karnival tersebut adalah platform terbaik institusi kewangan terutama BNM dalam memberikan pelbagai penerangan berkaitan kewangan terutama jenayah kewangan, perancangan kewangan dan saluran bantuan penyelesaian kewangan bukan sahaja kepada golongan berkenaan, tetapi juga setiap lapisan masyarakat di kawasan Pantai Timur.

Katanya selain karnival tersebut, satu program Sembang Santai bersama Rakan-Rakan Kewangan akan diadakan pada 18 hingga 31 Mac ini, di beberapa kawasan tumpuan termasuk IPT-IPT di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Pendedahan awal perlu diberikan kepada golongan ini, kerana mereka bakal masuk ke alam pekerjaan dan sangat mustahak bagi mereka uruskan kewangan dengan bijak.

“Kami juga ingin bagi pencerahan pada mereka nanti bila dah dapat gaji jangan terus beli kereta, jangan terikut-ikut gaya hidup mewah orang lain, kena kawal perbelanjaan. Sebab mengikut data Jabatan Insolvensi, ramai dari kalangan rakyat negara ini berumur bawah 35 tahun sudah diisytiharkan muflis,” katanya. - Bernama.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...