> CETUSAN > Kenapa mahasiswa patut tahu pentingnya pengucapan awam? Siswa MPP ini ada jawapannya...
Kenapa mahasiswa patut tahu pentingnya pengucapan awam? Siswa MPP ini ada jawapannya...
ROZITA ALIAS, UMT Khamis | 14 Mac 2019

BAGI mendepani era dunia tanpa sempadan seiring cabaran Revolusi Industri Keempat (4.0), ternyata teknik komunikasi menjadi satu kewajipan untuk dikuasai kalangan mahasiswa pada masa kini.

Salah-satu kemahiran komunikasi yang perlu dikuasai mahasiswa ialah kemahiran berucap di khalayak umum, ataupun lebih dikenali sebagai pengucapan awam.

Pengucapan awam bermaksud bercakap atau menyampaikan ucapan, pandangan atau lontaran pendapat dalam bentuk formal atau tidak formal, sama ada dalam suasana kumpulan yang kecil atau besar.

Pengucapan awam penting terutamanya daripada segi penyebaran maklumat, membimbing, pengajaran, dan untuk mempengaruhi orang lain.

Pengucapan awam juga bertujuan untuk memberi hiburan kepada penonton. Contohnya, pengucapan awam dapat disaksikan di peringkat sekolah, dewan kuliah, siri seminar dan ceramah politik. Tidak ketinggalan di media massa seperti rancangan televisyen berbentuk dakwah, rancangan masakan, rancangan realiti dan sebagainya.

Jawatankuasa Akademik, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2018/2019, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohamad Zulkarnain Mohd Dali berpendapat, bagi menguasai kemahiran pengucapan awam, mahasiswa perlu ambil maklum mengenai bentuk-bentuk dan jenis-jenis pengucapan awam yang ada.

MOHAMAD ZULKARNAIN MOHD DALI.

Pertamanya: Ucapan berbentuk penerangan atau mendidik. Gaya tersebut sering kali dilihat di peringkat sekolah, kolej mahupun di universiti.

Kedua, gaya memujuk atau mempengaruhi. Gaya itu kerap digunakan oleh pakar-pakar jualan untuk mempromosikan produk mereka dan juga di kalangan ahli politik bagi mempengaruhi rakyat berkenaan sesuatu isu semasa. Begitu juga dengan syarahan umum dan pidato yang sering kita lihat.

Ketiga, pengucapan awam berbentuk perbincangan juga kerap digunakan di forum-forum dan seminar-seminar.

Seterusnya, elemen pengucapan awam paling gemar diamalkan ialah gaya penglipur lara atau menghibur. Bentuk pengucapan awam ini telah pun sinonim diguna pakai di pelbagai rancangan televisyen dan juga di media sosial.

Justeru, kesemua bentuk pengucapan awam tetap sama iaitu bagi melibatkan diri dalam proses penyebaran maklumat kepada pihak yang terlibat.

Namun, pengucapan yang berkesan juga datangnya dari personaliti berketerampilan. Pendengar secara lumrahnya lebih tertarik dengan pengucap yang berwibawa, mempunyai personaliti dan perwatakan menarik, mampu membentuk dan mengawasi emosi audiens, mahir dalam pengolahan bahasa serta penyampaian yang baik.

Secara ringkasnya, individu tersebut perlulah yakin dengan apa yang difikirkan, dibincangkan dan tindakan selanjutnya. Bukan itu sahaja, individu juga perlu tahu bagaimana para audiens mendengar ucapan yang diutarakan dan cara mendengar.

Teknik pengucapan awam yang betul mampu menarik pendengar untuk menghayati topik yang diperkatakan. (FOTO UMT)

Oleh itu, kita perlu ambil maklum bahawa pemikiran mereka adalah lebih cepat daripada pencerapan mereka. Lantas, mereka cepat dalam membuat sebarang kesimpulan.

Seterusnya, perhatian mereka mudah teralih. Jadinya, dapat kita simpulkan bahawa ingatan audiens terhadap isi-isi ucapan akan berkurang dengan penambahan masa.

Berdasarkan kata-kata ahli perniagaan Amerika Syarikat Phil Crosby, “Tiada sesiapa yang mampu mengingati lebih daripada tiga inti pati (isi) dalam satu-satu masa”. Oleh itu, rancanglah ucapan sebaiknya.

Mohamad Zulkarnain mencadangkan agar menggunakan formula masa dari Technology, Entertainment, Design (TED), iaitu penyampaian secara optimum selama 18-20 minit.

TED merupakan sebuah organisasi di Amerika Syarikat yang menghimpunkan ahli-ahli intelektual dan orang kenamaan dari pelbagai bidang yang berlainan untuk tampil memberikan persembahan mahupun ucapan di beberapa siri persidangan.

Platform TED semakin popular dewasa kini kerana keupayaan mereka memberikan persembahan-persembahan yang sangat berkesan dan memberi inspirasi. Rahsia kejayaan mereka adalah menggunakan pembukaan ucapan mantap, penggunaan bahasa yang indah dan penutup yang hebat.

Kesimpulannya, para mahasiswa perlulah menguasai aspek-aspek kemahiran pengucapan awam bagi menggalakkan medan intelektual terbuka yang lebih berkesan bersama masyarakat umum.

Persediaan yang cukup sebelum penyampaian bukan sahaja akan meningkatkan keberkesanan maklumat ingin disampaikan sekali gus meningkatkan imej diri dan organisasi anda sebagai seorang mahasiswa, tetapi juga dapat memberikan kepuasan kepada para audiens.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...