> > Animasi 3D Srikandi legenda Puteri Saadong sentuhan kreatif FTKW UMK bakal 'beraksi' di kaca TV Malaysia
Animasi 3D Srikandi legenda Puteri Saadong sentuhan kreatif FTKW UMK bakal 'beraksi' di kaca TV Malaysia
SYARIME WOSLEY FOTO: AL AZAM RAZI Khamis | 14 Mac 2019

BACHOK - Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan sebuah fakulti yang bereksperimen pengajian seni, budaya, warisan dan industri seni kreatif di Malaysia, kini melebarkan sayapnya dengan memperkenalkan produksi animasi 3D pertama bertajuk Srikandi sebelum penghujung tahun ini.

Projek produksi animasi 3D adaptasi daripada kisah legenda Puteri Saadong ini melibatkan pensyarah-pensyarah di FTKW dan Syarikat Pemula Siswa yang bernaung di bawah Pusat Akselerator Kreatif atau Creative Accelerator Center (CAC) dengan kerjasama Kolej Komuniti Besut (KKB), Terengganu.

Animasi pertama FTKW menerima sokongan kuat daripada Naib Canselor UMK. (FOTO UMK)

Seramai 30 hingga 40 pelajar tahun tiga Program Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan kepujian bagi Elektif Bidang Animasi akan dilantik dan dilatih sebagai Syarikat Pemula Siswa dalam usaha menjayakan projek animasi ini.

Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, projek produksi animasi ini adalah pelengkap kepada fakulti yang menjadi pemangkin kepada peranan dan fungsi FTKW dalam ledakan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Katanya, pembangunan projek animasi pertama ini turut mendapat kerjasama daripada Wau Animation Sdn Bhd, Persatuan Pendidik Animasi Malaysia, Persatuan Animasi Malaysia dan World Evolution Brain (M) Sdn Bhd.

Prof. Ahamad memberi taklimat berkaitan produksi animasi SRIKANDI kepada Naib Canselor UMK. (FOTO UMK)

“Teaser produksi animasi 3D ini dijangka disiapkan pada awal Mei 2019 dan dijadikan satu bahan rujukan bagi pembangunan projek sebenar yang berskala besar bagi 13 episod siri TV dalam tempoh dua tahun bermula 2020 sehingga 2021,” katanya pada Karnival Usahawan Tekun Peringkat Negeri Kelantan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini yang turut dihadiri Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail.

Watak Lily, seorang yang aktif.

Menurut Prof. Ahamad, projek siri animasi 3D ini menampilkan konsep futuristik dan tidak terikat dengan kepelbagaian fakta serta mitos sebenar legenda Puteri Saadong yang belum dapat dipastikan kebenarannya secara kajian saintifik.

Walau bagaimanapun tambahnya, pasukan produksi masih mengekalkan nilai warisan, jati diri dan keunikan warisan budaya menerusi watak dan perwatakan karakter, latar tempat, lokasi dan jalan cerita yang digarap secara teliti berdasarkan legenda Puteri Saadong itu sendiri.

Karya seni kreatif yang dipamerkan sempena Karnival Usahawan TEKUN 2019. (FOTO UMK)

“Projek ini juga selaras dengan asas penubuhan FTKW menjadikan terasnya adalah warisan dan UMK sebagai sebuah Universiti Awam berfokuskan keusahawanan di Malaysia. Sebahagian besar projek produksi ini adalah bertujuan untuk memartabatkan keunikan warisan dan ketamadunan budaya bangsa Melayu di Malaysia untuk dijadikan sebagai satu wadah keusahawanan dalam konteks industri kandungan kreatif negara,” katanya.

Tambahnya, idea asal pembangunan projek ini adalah daripada beliau sendiri menerusi tinjauan dan usaha awalan bagi pembangunan projek berkaitan legenda Puteri Saadong menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kursus-kursus yang ditawarkan di FTKW.

Watak Abdullah dan sut perang Srikandi.

“Hasil daripada usaha awalan ini, beberapa produk kreatif telah berjaya dihasilkan seperti lukisan digital, komik digital, dokumentari dan filem pendek berkaitan legenda Puteri Saadong.

“Kajian ini juga merupakan satu penyelidikan ke atas sejarah Puteri Saadong yang terdapat dalam masyarakat Melayu Kelantan dengan menghasilkan sebuah animasi tiga dimensi mengenai sejarah Puteri Saadong yang merupakan tokoh legenda yang menjadi kebanggaan masyarakat Kelantan hingga ke hari ini.

Dr. Noor Azizi menandatangani poster Srikandi di tapak pameran Karnival Keusahawanan. (FOTO UMK)

“Puteri Saadong memiliki kesaktian yang luar biasa menjadikan ia tokoh legenda yang hebat dan dibanggakan masyarakat. Malah, sejarah Puteri Saadong selalunya tidak terpisah daripada kisah Cik Siti Wan Kembang yang merupakan Srikandi yang dikaitkan dengan dua wanita istimewa ini,” katanya.

Menerusi kejayaan menghasilkan promosi atau teaser ini, Prof. Ahamad menambah, ia kemudiannya akan digunakan untuk pitching project session bagi mendapatkan dana pembangunan projek sebenar daripada UMK, FINAS, MDEC, dan Tekun Nasional yang dianggarkan berjumlah hampir RM400,000.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...