> > Siapa sangka graduan UKM ini dilantik sebagai imam ketika berusia 24 tahun
Siapa sangka graduan UKM ini dilantik sebagai imam ketika berusia 24 tahun
MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID Jumaat | 15 Mac 2019

Menjadi imam masjid seawal usia 24 tahun memberikan banyak pengalaman kepada Ismail Shaari, 52, untuk terus menjadi pendakwah di samping bekerja sebagai Guru Pendidikan Islam di sekolah menengah.

Ismail yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar berkata, cita-citanya sejak kecil lagi adalah untuk menjadi seorang pendidik dan Alhamdulillah ia dimakbulkan ALLAH SWT.

Ismail ketika mengajar anak-anak muridnya di sekolah.

Lebih manis lagi, kejayaannya dalam berdakwah serta mendidik umat Islam pelbagai peringkat umur menerima pengiktirafan pelbagai pihak apabila dia diberikan beberapa penganugerahan sepanjang tempoh dia berdakwah.

Menurut Ismail dia menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tenggala, sebelum menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya termasuklah Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wilayah Persekutuan dan Maktab Perguruan Islam, Bangi.

Ismail bersama beberapa anugerah yang diterimanya.
"Pada tahun 1990 saya ditempatkan di SMK Layang-Layang Kiri, Parit, sebagai sekolah pertama saya memulakan kerjaya sebagai pendidik dan setahun selepas itu saya mula mendapat jemputan memberikan ceramah agama di sekolah-sekolah.
"Alhamdulillah pada 1993 saya telah menerima tauliah daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mengajar agama dan sejak dari itu saya mula memberi ceramah dan kuliah di masjid serta surau," katanya.

Kerana minat mendalam terhadap bidang pendidikan dan dakwah Ismail kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan pada tahun 1994 sehingga 1998.

Bahagi masa antara keluarga, kerjaya dan dakwah

Ismail berkata dia mula menjadi Imam di Masjid Raisiah, Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan pada tahun 1991 selepas setahun bergelar sebagai seorang guru walaupun ketika itu dia tidak pernah menyangka akan dilantik sebagai imam masjid pada usia muda.

"Masa itu tak terbayang saya akan menjadi imam kepada masjid di kampung saya sendiri memandangkan masih muda dan bujang tetapi perjalanan hidup saya telah diatur oleh ALLAH SWT sebaiknya dan sehingga hari ini saya masih imam di masjid tersebut.
"Selepas dilantik menjadi imam saya kemudiannya menghadiri temuduga untuk mendapatkan tauliah mengajar agama daripada JAIPk pada 1993 dan memberi ceramah bermula di sekitar Perak Tengah sebelum menerima jemputan luar dari negeri ini," katanya.

Ismail kemudiannya telah menjadi Guru Takmir bertauliah sehingga hari ini di daerah Perak Tengah dengan mengadakan kuliah agama pada waktu malam atau hari cuti memandangkan dia bekerja sebagai seorang guru.

Ismail bersama isteri dan anak-anaknya yang sentiasa memahami tugasnya.

"Saya juga merupakan penceramah Tabung Haji Daerah Perak Tengah termasuk juga Umrah di bawah Andalusia Travel bagi kawasan Manjung dan Ipoh," katanya.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara kerjaya sebagai guru, pendakwah dan juga suami serta bapa, Ismail berkata dia merancang dengan teliti jadualnya disamping menerima sokongan dari keluarga.

"Saya mengajar di sebelah pagi jadi biasanya waktu malam saya akan ada kuliah atau ceramah begitu juga hujung minggu, bila saya ada masa terluang itulah masa saya dengan keluarga dan mereka akan mengikut kelapangan saya," katanya.

Jangan berputus asa berdakwah

SETIAP pendidik dan pendakwah pasti menempuh halangan serta cabaran lebih-lebih lagi dalam menyebarkan ajaran Islam dan menurut Ismail pengalaman paling tidak dilupakannya adalah semasa berdakwah di kalangan orang asli di Pahang.

"Masa itu saya sedang menyambung pelajaran di UKM dan saya masih ingat kami pergi rumah ke rumah dan berdakwah secara berhadapan.
"Penerimaan masyarakat di situ ada positif dan negatif tetapi saya memahami kerana itulah cabaran kami," katanya.

Ismail turut berkongsi nasihat dan kata semangat kepada golongan muda agar menceburkan diri dalam bidang dakwah kerana masyarakat memerlukan pendakwah untuk mereka menimba ilmu agama.

"Harapan saya kepada guru-guru agama muda juga sama ada di sekolah atau luar jangan berputus asa sekiranya anda menerima pelbagai halangan dan cabaran semasa berdakwah kerana Rasulullah SAW juga berhadapan cabaran menyampaikan dakwah," katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...