> IKON > Kreatif sangat ni sampai tak sanggup nak makan! Jangan terkejut bila tahu ini si empunya diri
Kreatif sangat ni sampai tak sanggup nak makan! Jangan terkejut bila tahu ini si empunya diri
ZALMIMAZURA ZAHARI Jumaat | 15 Mac 2019

Siapa yang tak suka kek kan? Pemanis mulut yang satu ini mampu membuatkan seseorang yang dalam keadaan bersedih boleh jadi ceria, marah boleh bertukar suka. Kena pula kek yang sedap dan menarik serta harga yang tersangat 'mampu beli' memang akan dapat permintaan tinggi buat si penggemarnya.

Salah satu kek 'berhantu' yang menjadi pujaan ramai adalah kek hasil air tangan dari Affizy Khairy yang sememangnya sedap, unik dan lain dari yang lain.

"Kek yang saya jual 100 peratus saya buat sendiri. Saya olah mengikut kreativiti. Kalau ada yang tempah kek apa sekali pun, saya akan buat mengikut cara saya, sampai ada yang kata cara saya salah tapi itulah yang membezakan kek saya dengan kek orang lain.

"Jangan risau, dari segi penampilan dan rasa memang sedap sebab saya akan cari semua bahan yang berkualiti dan mengikut sukatan yang betul agar rasanya tetap enak dan menarik. Disebabkan 'cara hiasannya' yang unik, ramai yang kata sayang nak makan kek," kata Muhmmad Affizy Mohd Khairy Rajan, mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin ini yang berkongsi pengalaman bersama Kampus Uols.

Bakat luar biasa yang ada pada Affizy dalam menghasilkan kek.

Akui Affizy, minat berniaga telah berputik sejak di sekolah lagi untuk mencari pendapatan sendiri. Bermula bisnes kecil-kecilan, selepas tamat SPM, dengan tidak bekerja di mana-mana Affizy meneruskan minat dengan berniaga kek sehingga tamat STPM.

"Lepas masuk UniSZA, saya stop sekejap sebab saya tinggal di asrama jadi susah sikit nak jalankan bisnes. Tahun kedua, saya mohon untuk dapatkan 'student mall' dan alhamdulillah dapat, tetapi sebelum tu, saya berniaga juga secara haram kat asrama sebab terpaksa, dapat banyak permintaan dari pelanggan.

"Awal-awal dulu saya mula berniaga cheesekut, kemudian saya cuba buat brownies. Bila brownies dapat sambutan, saya cuba buat kek pula. Dan antara penyebab saya mulakan bisnes ini kerana dorongan mak yang mana selepas dia berhenti kerja kami bersama-sama buat kek," katanya yang banyak belajar membuat kek melalui youtube.

Pernah dipanggil dengan gelaran Mat Bakul oleh rakan-rakan ekoran selalu membawa bakul yang berisi segala jenis kek untuk di jual ke kelas, namun Affizy tidak mengambil hati sebaliknya menjadikan gelaran itu sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya dalam perniagaan. Untuk berniaga tidak boleh malu!

Berusia 24 tahun, pelajar jurusan Sains Sosial Antropologi dan Dakwah ini bukan sekadar jual kek, tetapi juga aktif dengan aktiviti sama ada di dalam dan luar kampus.

"Saya melibatkan diri dalam nyanyian, tarian, pengacara, jadi wakil pelajar dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, walaupun sering dihambat kesibukan, pelajaran tak pernah saya lupa. Pembelajaran tidak terganggu dan saya pernah merasa dapat anugerah dekan. Ini membuktikan walau apa jua yang kita lakukan, kena bijak seimbangkan masa," katanya.

Menurut Affizy lagi, kebanyakan pelangganya bukan dalam kalangan pelajar UniSZA sahaja, malah ada yang datang dari merata tempat termasuk dari Kuala Lumpur semata-mata untuk menikmati kek dan makanan yang dijual oleh Affizy.

Penat, memang penat, tapi segala kepenatan itu akan hilang apabila pelanggan memuji kesedapan makanan yang disediakan.

Antara maklum balas yang diterima oleh pelanggan Affizy.

"Pada saya satu kepuasan bila mana pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Respons yang diterima dari pelanggan membuatkan saya lagi bersemangat untuk menghasilkan kek-kek yang lebih menarik. Kebanyakan dari mereka ini akan datang lagi untuk makan dan dari situ akan menjadi pelanggan tetap," katanya.

Berkongsi pengalaman suka duka berhadapan karenah pelanggan, ujar Affizy, pernah dalam satu kejadian di kedai keknya, ada pelanggan yang baru masuk dan meninjau kek-kek yang terdapat di situ.

"Dengan selamba dia beritahu pekerja saya 'awak punya kek ni tak jadi lagi, biar saya ajar cara yang betul!' Tapi sebenarnya memang kek saya semuanya berbeza dengan orang lain. Mereka tak boleh judge rupa atau bila nampak lain cakap tak jadi. Pernah juga ada pelanggan yang datang tempah hari ni, esoknya nak ambil. Walau saya tahu kekangan masa, tapi saya ambil peluang ni untuk sahut cabaran dan alhamdulillah saya berjaya buat dan pelanggan pun berpuas hati.

Dalam berniaga Affizy selalu berpegang kepada prinsip 'Nak seribu daya tak nak seribu dalih'. Untuk berjaya kena berusaha bersungguh-sungguh diiringi minat dan sanggup berhadapan dengan cabaran.

Kek-kek yang dihasilkan oleh Affizy sangat kreatif dan menarik.

"Mak antara insan yang banyak memberi semangat dan nasihat kepada saya selain kawan-kawan yang membantu mempromosikan tempat saya berniaga. Merekalah yang tolong 'share' kat grup dan membuat pemasaran atas talian. Alhamdulillah perniagaan bertambah maju dan kini hampir 2 tahun saya berniaga di UniSZA.

"Kalau melihat kepada penglibatan saya di dalam kampus, memang sibuk, tapi saya percaya kalau kita manfaatkan masa dengan sebaiknya, Insya ALLAH kita boleh lakukan pekerjaan lain dengan lancar.

"Jujur saya cakap, bilik asrama hanya dijadikan tempat tidur dan mandi sahaja. Selepas tamat kuliah, contohnya dalam jam 10 pagi, saya bergegas ke kedai untuk sediakan bahan. Lazimnya saya akan dibantu oleh rakan baik saya, Atiq Zul Hami sekiranya tiada kelas.

"Seterusnya saya akan masuk ke kelas dan balik ke kedai selepas kuliah tamat. Itulah rutin saya setiap hari. Bila ada sedikit waktu senggang, saya gunakan dengan sebaiknya, sebab saya tahu masa sangat terhad. Syukur, kini saya sudah mampu untuk mengupah 2 pekerja untuk membantu urusan di kedai. Ini memudahkan lagi kerja saya sekiranya terlibat dengan aktiviti di kampus," katanya.

Kepada mereka yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, perkhidmatan yang disedikan oleh Affizy, boleh melayari Instagram Affizy iaitu @affizykhairy @deegreepastry @officialbatig (perniagaan pakaian batik).


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...