> PERAK > Pupuk minda sayangi alam sekitar - lihat dengan Mata Hati
Pupuk minda sayangi alam sekitar - lihat dengan Mata Hati
MOHD ASWADI MUHAMAD Isnin | 18 Mac 2019

TELUK SENANGIN - Program berkaitan alam sekitar seperti membersihkan pantai lazimnya membabitkan kutipan sampah-sarap atau membaik pulih landskap.

Bagaimanapun program sayangi alam sekitar anjuran Kelab Kembara Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak bersama Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) di Teluk Senangin, Lumut, baru-baru ini, menampilkan kelainan apabila diisi dengan aktiviti kecergasan untuk minda atau pengisian kerohanian bagi memantapkan jati diri.

Seramai 40 ahli kelab terdiri daripada pelajar (PUO) serta tiga pelajar POLMAN ASTRA Manufacturing Polytechnic, Jakarta, Indonesia dan Iloilo Science and Technology University (ISAT.U) yang juga peserta Program SEA-TVET Intenship Exchange selama sebulan dari 18 Februari hingga 18 Mac 2019 yang mengikuti program Kembara Minda Melihat Dengan Mata Hati berbentuk perkhemahan selama dua hari satu malam.

Antara pengisian program ialah memberi pendedahan kepada pelajar mengenai asas perkhemahan, lawatan ke kampung nelayan, ikhtiar hidup, ceramah motivasi dan agama, perkongsian usahawan desa dan belajar teknik asas berenang.

Pensyarah Kokurikulum Kelana Kembara, Khairol Hisam Hamran, berkata secara umumnya objektif program bagi menyemai sikap, etika dan semangat profesionalisme.

Teluk Senangin masih mengekalkan keaslian hutan tepi pantai.

Ia juga bertujuan memupuk kemahiran kepimpinan ahli bagi membentuk dan menghasilkan kepimpinan pelajar melalui sistem yang tepat di samping membekalkan generasi muda dengan sikap kepimpinan yang tinggi.

“Program ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial untuk meningkatkan lagi taraf kesedaran mengenai aktiviti fizikal dan mental.

“Di samping itu, ia membuka ruang dan peluang kepada pelajar politeknik dalam meningkatkan lagi kemahiran insaniah dan kebolehpasaran pelajar itu sendiri.

Menurut Karen Mae. Cabrera, 21 tahun, yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Kejuruteraan Automotif) di Iloilo Science & Technology University (ISAT. U), Filiphina berkata, tidak dinafikan kemajuan teknologi memberi banyak manfaat kepada kita semua, tetapi aktiviti luar juga hendaklah diberi perhatian.

Gambar kenangan bersama peserta program SEA-TVET Internship Exchange dari Iloilo Science and Technology University (ISAT.U), Philippines dan POLMAN ASTRA Manufacturing Polytechnic, Jakarta, Indonesia.

“Walaupun kemajuan teknologi memberikan kebaikan dan faedah, tetapi sedikit sebanyak memberikan kesan negatif. Terutama aspek kesihatan dan hubungan silaturahim yang kian pudar. Ikatan kekeluargaan menjadi dingin apabila belia berada di rumah atau dalam kelompok tertentu saja tanpa menjalani kehidupan sebenar di luar rumah,” katanya.

Theodarus Nico Wahyu P. Theo, 20 tahun dari POLMAN ASTRA Manufacturing Polytechnic, Jakarta, Indonesia yang sedang mengikuti pengajian Diploma Automotif (Penyelenggaraan Enjin), berkata, pengisian aktiviti kerohanian bagi melahirkan generasi muda cemerlang seiring dengan matlamat menjadikan mereka berkebolehan, yakin diri dan berani menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Aktiviti pembinaan kumpulan meningkatkan kerjasama sesama peserta terlibat.

“Penganjuran program sebegini juga dapat mengeratkan hubungan pelajar dan bertukar-tukar fikiran. Amat penting pelajar didedahkan kepada program kerohanian dalam pembangunan insan kerana pada usia remaja mereka perlukan pengisian rohani supaya dapat menjalani hidup yang lebih terarah,” katanya.

Program dimulakan dengan taklimat keselamatan disusuli aktiviti memasang khemah untuk bermalam.

Sukarelawan MHM mengumpul sampah yang tak terurai di sekitar Pantai Teluk Senangin.

Selepas makan tengah hari yang dimasak sendiri di tapak perkhemahan, pelajar mengikuti taklimat Lihatlah Dengan Mata Hati. Presiden, Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM), Datuk Ab Rahim Md Noor mengharapkan agar siswa-siswi PUO akan menjadikan program ini sebagai salah satu cara meningkatkan budaya kebersihan melalui pandangan mata hati. Dalam erti kata, lebih menghayati dan menginsafi gejala pencemaran yang berlaku terhadap alam sekeliling yang boleh memudaratkan kesihatan masyarakat.

“Siswa juga diharapkan dapat menjadi pemimpin yang lebih peka dan boleh bertindak secara berkesan dalam merubah minda masyarakat supaya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab mencemari alam sekitar. Mereka juga boleh bekerjasama dengan Persatuan Mata Hati untuk sama-sama menangani isu kehidupan sejagat.

“Memandangkan program kali ini disertai pelajar-pelajar antarabangsa, diharapkan siswa negara ini bersama MHM akan mengadakan kolaborasi di peringkat antarabangsa untuk menerapkan pendekatan melalui mata hati,” katanya.

Aktiviti hari pertama diteruskan dengan lawatan ke perkampungan nelayan untuk menelusuri kehidupan keluarga yang mencari hasil menerusi tangkapan di laut.

Hari terakhir pelajar mempelajari asas renang dan teknik apungan diri dikendalikan Sukarelawan MHM, Norida Mohammad Noor sebelum gotong-royong membersihkan pantai dan perairan supaya sampah tidak kembali ke laut.

Senaman seawal pagi, memanaskan badan sebelum mengikuti Teknik Apungan Diri dan Asas Renang.

Dalam slot kerohanian, pelajar diberi kesedaran melakukan perubahan dan mengekalkannya melalui pendekatan mata hati disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Media Sosial MHM, Mohd Aswadi Muhamad yang kemudian menutup program berkenaan.

“Diharapkan pelajar yang mengikuti perkhemahan ini dapat terus membantu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melihat isu alam sekitar dan nilai murni melalui mata hati apabila mereka menjadi pemimpin dalam masyarakat apabila tamat pengajian kelak,” katanya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...