> Ukur karbon dioksida dalam masa nyata
Ukur karbon dioksida dalam masa nyata
NAHRIZUL ADIB KADRI Selasa | 19 Mac 2019

Cabaran melestari alam sekitar diambil serius oleh pelbagai pihak dewasa ini, dengan usaha yang merangkumi spektrum yang luas. Dari usaha penyelidikan tenaga boleh baharu oleh penyelidik di universiti, sehinggalah mendepani isu keselamatan makanan oleh suri rumah yang tinggal di pangsapuri di bandar, hampir kesemuanya cuba menangani cabaran perubahan cuaca global.

Peningkatan satu darjah Celsius dalam masa 100 tahun kebelakangan ini dikatakan telah menjadi punca kepada peningkatan insiden cuaca buruk di seluruh dunia, peningkatan aras laut, dan kepupusan biodiversity global.

Peningkatan tahap karbon dioksida di atmosfera telah banyak dibuktikan secara saintifik sebagai punca perubahan cuaca yang drastik ini. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), melalui sasaran ‘Sustainable Development Goals’ yang digariskan pada 2015, telah memperuntukkan salah satu sasaran khusus untuk semua negara menangani isu cuaca global secara kolektif menjelang 2030.

Biar pun banyak usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani permasalahan ini, masih ada ruang untuk ramai lagi pemain menyumbang idea dan strategi bagi sama-sama mendepani cabaran ini.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) contohnya, telah membangunkan sebuah peranti yang mampu mengukur tahap karbon dioksida yang dikurangi oleh pokok-pokok hijau di sesebuah lokasi yang dikenal pasti.

“Tumbuhan hijau mempunyai kelebihan berbanding hidupan organik lain, kerana kemampuannya untuk melakukan fotosintesis. Kelebihan ini membenarkan sel tumbuhan hijau untuk menukarkan tenaga dari sinar cahaya matahari kepada tenaga kimia yang boleh digunakan oleh organisma lain, termasuk manusia.

“Paling mustahak, proses ini menggunakan karbon dioksida dan menukarkannya kepada oksigen dan wap air. Sifat fitrah inilah yang menjadikan tumbuhan hijau sebagai antara pertahanan utama dalam banyak usaha untuk menangani peningkatan tahap karbon dioksida di atmosfera bumi,” kata Dr. Khairunnisa Hasikin, pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM, yang juga merupakan ketua kumpulan penyelidik ini.

Khairunnisa Hasikin

Peranti yang dibangunkan kumpulan ini dilengkapi dengan penderia gas karbon dioksida, kelembapan, dan modul radio bagi transmisi data.

Satu set sistem yang dibangunkan ini terdiri dari dua buah peranti, di mana salah satunya bertindak sebagai pemancar dan diletakkan di lokasi yang ingin diukur. Sebuah lagi peranti bertindak sebagai penerima data dan menghubungkan sistem kepada komputer pelayan. Pelayan ini pula akan merekodkan kesemua data yang diterima ke dalam pangkalan data yang dibangunkan. Dengan menggunakan kelebihan mikropemproses yang terbina di dalam setiap unit peranti, pengumpulan data ini boleh dilakukan dalam masa nyata,” kata Dr. Khairunnisa lagi.

Setiap peranti pemancar mampu mengukur tahap karbon dioksida yang ‘dihabiskan’ oleh tumbuhan-tumbuhan hijau yang ingin dipantau dalam lingkungan diameter 20 meter.

Peranti yang dibangunkan. Unit di sebelah kanan adalah pemancar, dengan penderia karbon dioksida dan kelembapan.

“Secara peribadi, pembangunan peranti ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengukuran karbon dioksida dari tumbuhan hijau, malah kepada apa juga inisiatif yang menghasilkan penyelesaian untuk menangani kesan rumah hijau global ini. Peranti ini mampu menjadi penanda aras kepada keberkesanan apa juga penyelesaian yang dicadangkan,” kata Darween Reza Sabri, pengasas MyCRO Sdn. Bhd, syarikat perunding teknologi yang menjalankan kerjasama dengan kumpulan penyelidik UM ini.

Menurut Darween Reza lagi, data yang dikumpul oleh peranti ini bakal menjadi aset yang bermanfaat pada masa hadapan.

“Di dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, analisis data raya menggunakan teknik kecerdasan buatan telah terbukti berpotensi memberi penyelesaian kepada banyak cabaran global. Saya percaya data yang dikutip nanti akan menghasilkan pembelajaran mesin yang lebih cekap. Ini akan membantu kita menentukan keberkesanan apa juga inisiatif untuk masalah berkaitan cuaca dan alam sekitar,” jelasnya.

Menurut Dr. Khairunnisa, idea penyelidikan ini datangnya dari cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), ketika bekerjasama di dalam sebuah program kemasyarakatan sebelum ini. Penggunaan sistem ini di taman rekreasi, dan lain-lain kawasan hijau di kawasan bandar contohnya, boleh memberi senario yang lebih jelas kepada pihak berkuasa tempatan mengenai impak tumbuhan hijau yang ditanam.

Rekabentuk peranti menggunakan teknik 3D

“Dengan adanya peranti ini, penyelesaian yang lebih menyeluruh dapat disediakan oleh kesemua pemegang taruh dalam menangani kesan rumah hijau secara bersama,” kata Dr. Khairunnisa mengakhiri temubual.

Projek penyelidikan ini merupakan salah sebuah penerima geran ‘UM Living Lab’ dari Kluster Penyelidikan Sains Kelestarian UM berjumlah hampir RM20,000. Kumpulan penyelidik ini turut bekerjasama dengan Dr. Muhammad Mokhzaini Azizan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Tempoh penyelidikan adalah sehingga bulan Ogos 2019.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...