> Semuanya bermula dari anak sendiri...Prof Zulikha cipta Papan Sintok demi bantu anak-anak disleksia seluruh dunia
Semuanya bermula dari anak sendiri...Prof Zulikha cipta Papan Sintok demi bantu anak-anak disleksia seluruh dunia
SITI FATIMAH ABDULLAH Selasa | 19 Mac 2019

SINTOK - “Setiap anak disleksia sangat berbeza antara satu lain, memiliki pelbagai kelebihan dan kelemahan yang memerlukan kesabaran yang tinggi apabila berhadapan dengan anak-anak istimewa ini.

“Saya kutip semangat dan inspirasi dari anak-anak disleksia yang terlibat dalam kajian dari situ saya dapati mereka mempunyai potensi yang hebat jika digilap dan ditempatkan pada saluran yang sesuai dengan kelebihan mereka.”

Produk inovasi Papan Sintok sesuai untuk murid disleksia yang baru belajar bagi mengenal huruf dan mengeja.

Demikian kata Prof. Dr. Zulikha Jamaludin yang mencipta produk inovasi yang dikenali sebagai Papan Sintok kepada murid disleksia yang baru belajar untuk mengenal huruf dan mengeja menggunakan papan, warna latar dan fon yang sesuai.

Papan Sintok telah digunakan dalam Pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid disleksia di Inkubator Disleksia, SOC selain ibu bapa dan guru yang telah membelinya untuk digunakannya dalam PdP mereka.

“Semuanya bermula apabila melakukan kajian terhadap kanak-kanak disleksia termasuk anak saya sendiri dan itu antara faktor yang mendorong saya menjiwai dan berinovasi untuk membantu golongan senasib,” kongsinya.

Jelasnya, reka bentuk visual Papan Sintok mematuhi garis panduan reka bentuk visual daripada kajian literatur. Model pengguna dihasilkan menggunakan kaedah personifikasi anak-anak disleksia bagi mendapatkan keperluan pengguna.

Produk inovasi Papan Sintok sesuai kepada murid disleksia yang baru belajar untuk mengenal huruf dan mengeja.

“Bentuk huruf a hingga z boleh dirasai sendiri oleh murid apabila memegang setiap blok huruf. Ini berbeza dengan kad huruf yang tidak mempunyai bentuk huruf yang boleh dicam melalui sentuhan.

“Kami bermula dengan kajian terhadap jenis fon diikuti warna, kerangka teori, model dan prototaip. Lima versi prototaip telah diuji cuba dengan pelbagai bahan seperti papan kayu, papan plastik, papan gabus, papanfoam, dan softboard sebelum cubaan menggunakan akrilik yang mengeluarkan bunyi pelatuk apabila huruf disusun,” ujarnya.

Bermula dari tahun 2007 sehingga kini, anak kelahiran Kelantan ini bergiat aktif dalam penyelidikan berkenaan teknologi dan alat bantu terbaik kepada murid disleksia, tentunya sepanjang perjalanan ini pelbagai cabaran ditempuhi.

Pengalaman datang dari pelbagai sudut seperti pengalaman R&D, penulisan beberapa buah buku ilmiah yang khusus kepada murid disleksia dan ibu bapa. Perjalanannya mencabar tapi perlu sabar dan passion yang tinggi.

Prof. Dr. Zulikha (tiga kiri) bersama Dr. Husniza (kanan) ketika menyertai MATRADE YOUth Export Day 2018 di Kuala Lumpur.

“Satu perjalanan yang memberi pengalaman berharga, ilmu kemahiran, bersahabat dengan ibu bapa dan guru yang hebat yang tidak pernah jemu dalam mendidik anak ini,” luahnya yang menjadikan usaha, doa, ikhlas dan berserah secara total kepada-Nya sebagai pegangan hidup.

Produk ini didaftarkan mengikut hak paten daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada tahun 2018 sekali gus melindungi hak cipta jenama itu mengikut undang-undang.

Lebih membanggakan, produk ini telah dipatenkan bagi tujuan memelihara kualiti selain memenangi anugerah emas antarabangsa International Malaysia-Indonesia-Thailand Symposium on Innovation and Creativity (IMIT-SIC), di Riau, Indonesia.

Hasil ciptaan beliau bersama Dr. Husniza Husni turut memenangi Anugerah Perekacipta Terbaik dan Anugerah Inovasi Sosial menerusi projek, An Alphabet Board For Dyslexic Children sekali gus membawa pulang wang RM1,000, Geran RM5,000 sempena Hari Inovasi & Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU 2019), baru-baru ini.

“Anugerah ini merupakan bonus kepada minat dan segala usaha ke arah membantu murid disleksia, guru dan ibu bapa yang menghadapi cabaran dalam Pengajaran dan pembelajaran (PdP) selain memberi semangat meneruskan usaha menyumbang dalam pelbagai aspek demi kelangsungan pendidikan murid berkeperluan khas,” ujarnya.

Manakala Dr. Husniza pula berkata, berteraskan teori core-affect, alat praktikal ini menyokong pembelajaran dengan kaedah multisensori yang boleh mengimbangi kesukaran kanak-kanak dalam proses pembelajaran.

Prof. Dr. Zulikha (dua dari kanan) antara yang diraikan pada Hari Inovasi & Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU 2019), di Dewan Mua’dzam Shah, UUM.

Saiz blok huruf tinggi 5.5cm, lebar 3.5 cm dan ketebalan 5 mm yang dihasilkan ini merupakan saiz yang paling sesuai pada jari kecil kanak-kanak.

“Bentuk huruf boleh dikenali melalui sentuhan, dibezakan warna dan mengeluarkan bunyi ‘pelatuk’ apabila disusun ke tempatnya.

“Ketika mengajar mereka membaca, harus dilakukan dalam keadaan anak-anak berasa mereka sedang bermain-main tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang belajar mengeja, membaca dan menulis,” tambahnya.

Dengan laras bentuk berbingkai nipis di atas dan tebal di bawah sangat membantu anak-anak disleksia untuk membaca dengan lebih mudah malah setiap huruf tidak menyerupai huruf lain jika diterbalikkan misalnya b-d, p-q, h-n dan w-m.

Beliau menyifatkan Papan Sintok sebagai satu sumbangan kecil namun teruja menerima maklum balas positif rakan-rakan apabila anak mereka sudah pandai mengeja, membaca dan tidak lagi bergantung pada Papan Sintok.

“Besarlah harapan kami untuk membantu anak disleksia belajar membaca dengan lebih baik dan lebih ramai mendapat manfaat termasuk kanak-kanak normal yang lain,” ujarnya yang menyimpan impian untuk membantu anak disleksia ke seluruh dunia.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan info lanjut mengenai Papan Sintok boleh menghubungi beliau melalui e-mel [email protected]


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...