> > Keluarga penghalang utama Adli bertinju, tapi dia buktikan setiap kejohanan tak pernah pulang dengan tangan kosong
Keluarga penghalang utama Adli bertinju, tapi dia buktikan setiap kejohanan tak pernah pulang dengan tangan kosong
SHAFIQ TINO Rabu | 3 April 2019

Melihat kepada reputasi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, semestinya peminat tinju tanah air mengakui kebolehan luar biasa atlet ini.

Dengan rekod profesional 6 kemenangan tanpa tewas, peninju negara dari Johor, Adli Hafidz Mohd Pauzi, 30, yang sentiasa 'buas' di dalam gelanggang turut menjadikannya digeruni lawan.

ADLI HAFIDZ

Mengimbau pengalaman sebelum menceburi sukan tersebut, pemegang tali pinggang WBC Asia Silver 2019 kategori super middleweight itu memberitahu, mula bertinju sejak berusia 14 tahun.

"Sebelum tinju, saya lebih aktif bermain bola sepak. Ketika itu, saya difahamkan yang tinju merupakan cara terbaik untuk seseorang atlet itu mempunyai stamina dan kecergasan.
"Jurulatih tinju ketika itu, nampak bakat dan sesuatu dalam diri saya. Dia maklumkan, dengan fizikal, saya memang boleh pergi jauh, jadi saya cubalah," katanya yang juga Graduan UiTM Puncak Perdana.

Tak pernah kalah

Anak jati Johor Bahru itu memaklumkan, semangatnya terus The Golden Boy bertinju sejak berumur 14 tahun melonjak untuk kekal dalam sukan itu selepas beberapa pertarungan disertainya memperoleh pencapaian dan kedudukan terbaik.

Adli (kanan) ketika berdepan dengan peninju dari Indonesia.
"Boleh kata, banyak kejohanan yang disertai, saya tidak akan pulang dengan tangan kosong, kalau tidak juara pun ada tempat. Ia memang beri semangat kepada saya untuk terus kekal dan memperbaiki kelemahan yang ada.
"Pengalaman paling berharga, semestinya ketika Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017. Walaupun pertama kali dengan Skuad Malaysia, saya raih perak. Dari situlah bermula tekad saya untuk beralih ke tahap profesional," katanya.

Namun, di sebalik potensi dan karier meningkat naik, Adli atau nama gelanggangnya The Golden Boy ada pandangan tersendiri memilih tinju sebagai karier sukan profesional.

Katanya, apa yang mahu ditonjolkan dalam setiap aksi tersebut adalah nilai kekuatan diri dan visi seseorang untuk menempuh matlamat hidup.

"Dalam tinju, saya berdepan kecederaan, kesakitan yang tidak boleh dibendung dan sebagainya. Sejak berkecimpung, memang saya akui bermacam suka duka dan perit yang saya alami tetapi tekad dan iltizam itu kena ada, nak ke tak nak, saya kena atasinya.
"Jadi sebenarnya saya nak kongsi perasaan ini, jika mahu sesuatu jangan mengalah, jangan berundur dan buat benda separuh jalan. Lebih besar dugaannya lebih hampir kita dengan matlamat hidup yang kita mahukan," katanya.

Bukan simbol 'keganasan'

Atlet tinggi lampai yang juga seorang penguasa kastam ini memberitahu, tujuan menyertai sukan tinju adalah untuk menangkis persepsi negatif orang ramai yang melihat ia sebagai simbol keganasan.

"Waktu mula-mula sertai sukan ini, semestinya keluarga adalah yang pertama menghalangnya. Mereka kata ia sukan yang bahaya. Saya nekad dan akhirnya buktikan ini adalah cara terbaik untuk saya capai tahap terbaik dalam hidup.
"Bertinju bukan suatu keganasan, ia sebenarnya kecekalan untuk menempuh sesuatu. Saya mahu jadi pemangkin semangat kepada mereka yang tidak bernasib baik.
"Ketika bertinju, saya bergelut untuk mara, mendapat apa yang diinginkan. Jadi di sini, saya nak kongsi khusus kepada mereka yang sedang melawan penyakit, teruskan berjuang, hadapi ketakutan dan terus hidup," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini dalam sukan terbabit, Adli kini sedang melengkapkan empat lagi kejohanan untuk karier profesionalnya.

Adli ketika dinobat juara tali pinggang WBC Asia Silver, baru-baru ini.
"Sekarang 6-0, perlu lagi empat perlawanan dan kalau boleh mahu tamat dengan keputusan tanpa tewas. Selepas itu saya mahu bertanding di Amerika Syarikat dan semestinya akan cuba beri 100 peratus daya usaha.
"Paling penting, saya mahu beri penghargaan kepada pihak yang sentiasa sokong saya," katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...