> > Bukan biasa-biasa... 'Hantu TV' pun boleh dapat 4.00 Flat setiap semester
Bukan biasa-biasa... 'Hantu TV' pun boleh dapat 4.00 Flat setiap semester
SYAFIQ TINO Khamis | 4 April 2019

JOHOR BAHRU - Mahu mencapai tahap terbaik dalam kehidupan menjadi pencetus motivasi buat graduan dari Sri Ayu College (SAC), Tampin, Negeri Sembilan, Iffah Syazwani Mohd Zahir, 21, mengekalkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 sehingga tamat pengajiannya Februari lalu.

Menurutnya, apa yang dimaksudkan dengan tahap terbaik itu adalah merangkumi pencapaian dalam pendidikan dan hubungan sesama insan yang boleh menyumbang sesuatu bermanfaat kepada masyarakat.

Sebelum menceritakan mengenai kejayaannya, Iffah Syazwani terlebih dahulu memberitahu kehidupan dilaluinya semasa di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah sangat berbeza daripada pengalamannya di sekolah.

Ketika di sekolah, pelajar Diploma Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan (DPP) SAC itu turut menunjukkan potensinya dalam pelajaran apabila memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 7A1B Penilaian Sekolah Menengah (PMR) dan 4A2B3C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Iffah ketika menerima sijil penghargaan selepas mendapat keputusan SPM.
“Semasa di sekolah, saya tidak terlalu menonjol. Waktu itu perasaan malu dan takut sentiasa menyelubungi hidup. Ketika itu juga saya hanya fikir mahu belajar dan dapatkan keputusan baik kalau nak berjaya.
“Apabila sampai satu tahap, saya sedar untuk berjaya kita kena lengkap dan ada semuanya, termasuk personaliti dan ilmu. Perkara ini yang membuatkan saya mula bangkit dan akhirnya boleh memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Kolej,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai pencapaian luar biasanya dalam pelajaran, Iffah Syazwani berkata, dia sebenarnya bukan seorang ‘ulat buku’ yang boleh menghabiskan masa berjam-jam menimba ilmu.

Bagaimanapun, katanya, ketika sedang mengulang kaji, dia akan memberikan 100 peratus fokus selain sentiasa bertanya pada guru atau pensyarah mengenai perkara yang kurang difahaminya.

Iffah (duduk, tiga, kiri) bersama barisan MPP SAC.
“Saya belajar juga waktu malam, tetapi tidak lah lama iaitu dalam satu hingga dua jam sahaja. Saya paling suka buat nota ringkas ketika belajar. Tapi bila dah belajar dengan agak lama, saya tidak nafikan tekanan itu memang ada,” katanya.

Penggemar drama televisyen

Iffa Syazwani berkata, dia mempunyai cara tersendiri untuk melegakan tekanan ketika belajar. Katanya, dia akan meluangkan masanya dengan menonton drama televisyen kegemarannya.

“Saya sebenarnya penggemar drama televisyen. Boleh kata hari-hari saya tengok dan tidak boleh terlepas episod. Selepas itu saya sambung belajar. Yang penting kita tahu apa yang kita lakukan. Usaha, belajar dan jangan lupa mendekatkan diri dengan pencipta kita setiap hari, ALLAH SWT,” katanya.

Selain itu, Iffa Syazwani berkata, sokongan orang terdekat juga adalah antara punca utama kejayaannya dalam mengekalkan keputusan luar biasa diperoleh.

Iffah menerima sijil penghargaan daripada pensyarahnya selepas memegang jawatan sebagai YDP MPP SAC.
“Saya berazam mahu dapatkan keputusan baik ini disebabkan takut pada mulanya. Ayah dan ibu sering bertanyakan keputusan. Walaupun mereka tidak marah, saya tidak mahu kecewakan mereka.

“Sejak itu, saya berharap dan berusaha untuk dapat yang terbaik. Begitu juga dengan sokongan guru, pensyarah dan rakan-rakan. Tanpa bantuan mereka saya tidak mungkin dapat pencapaian ini,” katanya.

Penerima Anugerah Perdana SAC

Iffah Syazwani yang menerima diploma pengajiannya pada hari ini turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana SAC kerana pencapaian cemerlang ditunjukkan setiap semester.

Dia juga sebelum ini menunjukkan pencapaian yang memuaskan sebagai pelajar kolej apabila turut memegang jawatan sebagai Yang Dipertua MPP untuk semester terakhirnya.

Mengenai perancangan seterusnya selepas konvokesyen, Iffah Syazwani berkata, dia berkemungkinan akan mencari peluang pekerjaan terlebih dahulu sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat seterusnya.

“Mungkin saya nak bekerja dahulu, cari pengalaman dan duit belanja. Selepas itu kalau ada rezeki mungkin nak sambung belajar. Sejak dulu lagi saya nak jadi seorang guru dan kalau dapat peluang sambung dalam jurusan itu saya tidak menolak. Kejayaan saya berpunca daripada pendidik saya sebelum ini, jadi jika diberi peluang saya juga mahu menolong anak bangsa saya untuk maju,” katanya.

Iffah (tengah) bersama graduan SAC yang turut menerima anugerah masing-masing pada konvokesyen Isnin lalu. (FOTO FB SAC)

BIODATA:

NAMA: Iffah Syazwani Mohd Zahir

ADIK BERADIK: Anak keempat daripada tujuh beradik

PENDIDIKAN:

- SK Nusantara

- SMK Taman Nusajaya

- Sri Ayu College, Tampin, Negeri Sembilan

PENCAPAIAN:

- Mantan YDP Majlis Perwakilan Pelajar

- Terima Anugerah Ketua Eksekutif (GPA 4.00) setiap semester

- Terima Anugerah Perdana iaitu anugerah tertinggi untuk Konvokesyen SAC


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...