> > Ahli entomologi peneroka dunia serangga
Ahli entomologi peneroka dunia serangga
NAHRIZUL ADIB KADRI Selasa | 9 April 2019

Entomologi merupakan salah satu cabang kajian zoologi yang 'menceritakan' segalanya mengenai serangga, dan hubungannya dengan manusia dan alam sekitar. Secara keseluruhannya terdapat sejumlah 1.3 juta spesies serangga yang telah dikenal pasti, menjadikan jumlahnya hampir dua pertiga dari jumlah kesemua organisma hidup di muka bumi. Sebahagian dari keluarga serangga ini mempunyai sejarah kewujudannya bermula seawal 400 juta tahun dahulu berdasarkan rekod fosil.

Antara keperluan asas kelayakan bidang ini adalah kemasukan ke program pengajian ijazah sarjana muda ekologi dan biodiversiti.

“Untuk program pengajian yang ditawarkan di Universiti Malaya (UM) contohnya, pemohon mestilah lulus pengajian peringkat matrikulasi atau STPM dengan PNGK minima 3.0, atau yang setaraf dengannya. Selain itu, terdapat juga keperluan tambahan untuk lulus sekurang-kurangnya dengan B di dalam subjek Biologi, dan Band 2 di dalam MUET,” kata Pensyarah Kanan, Dr. Zubaidah Ya’cob dari Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), UM.

Zubaidah Ya'cob

Menurut Dr. Zubaidah, terdapat dua kategori hala tuju untuk seseorang yang ingin memulakan kerjaya di dalam bidang entomologi.

“Dengan kelulusan ijazah sarjana muda, graduan boleh memilih untuk menjawat jawatan Ahli Kaji Serangga di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, atau pembantu penyelidik di universiti, dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti ‘Malaysian Nature Society’ (MNS) dan ‘World Wildlife Foundation’ (WWF).

“Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menjadi pegawai entomologi di syarikat-syarikat swasta yang berkecimpung dalam aktiviti kawalan vektor (‘vector control’) atau perlindungan tanaman (‘crop protection’). Kerjaya sebagai pegawai penyelidik di institusi-institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga boleh diteroka graduan yang meminati bidang entomologi,” katanya.

Kajian entomologi telah bermula sejak kurun ke-19 - Gambar Hiasan

Lebih menarik, terdapat beberapa laluan kerjaya unik untuk mereka yang meminati dunia serangga ini.

“Mereka boleh cuba untuk menjadi kurator muzium tempatan atau antarabangsa, atau perunding di syarikat swasta yang berkaitan dalam bidang penilaian impak alam sekitar (EIA). Untuk yang menggemari cabaran, mereka boleh menceburi bidang perniagaan cenderamata dan barangan hiasan berasaskan serangga, seperti rama-rama dan serangga eksotik yang lain,” kata Dr. Zubaidah lagi.

Untuk mereka yang mempunyai kelulusan pascaijazah, mereka boleh meneruskan kerjaya sebagai pensyarah atau penyelidik sepenuh masa di universiti.

Sebagai seorang ahli entomologi, kemahiran dan ilmu yang diperoleh bukan sahaja boleh digunakan secara langsung di dalam kerjaya yang dipilih, namun turut digunakan untuk perkara lain.

Mikroskop merupakan alat terpenting dalam kerjaya seorang ahli entomologi.

Pakar entomologi bukan sahaja mampu menawarkan khidmat perundingan kepada pihak dan agensi yang memerlukan, malah mampu mengambil bahagian di dalam penggubalan polisi-polisi kerajaan yang berkaitan alam sekitar. Ilmu entomologi juga diperlukan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran bidang pengajian yang lain, seperti epidemiologi, immunologi, parasitologi, bioteknologi, dan bioinformatik.

“Secara peribadi, bidang entomologi secara tidak langsung turut saya jadikan sebagai terapi diri. Apabila saban hari kita bekerja dengan pelbagai bentuk serangga, dan mendalami kejadian serangga secara spesifik, kita mampu melihat kesempurnaan kejadian Tuhan secara dekat.

“Setiap pembinaan organ serangga, walaupun bersaiz kecil tetapi sangat kompleks dan sempurna penciptaannya, pasti membuka mata sesiapa saja yang melihatnya untuk lebih bersyukur dengan setiap anugerah di dalam kehidupan,” kata Dr. Zubaidah.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...