> TERENGGANU > Pelajar disleksia perlu diketengahkan terokai sains, percaya tak mereka lebih bagus daripada pelajar normal disebabkan ciri-ciri ini?
Pelajar disleksia perlu diketengahkan terokai sains, percaya tak mereka lebih bagus daripada pelajar normal disebabkan ciri-ciri ini?
BERNAMA Isnin | 15 April 2019

KUALA TERENGGANU - Pelajar disleksia di negara ini berpotensi menjadi pakar dalam bidang sains dan teknologi sekiranya diberi peluang dan dipantau dengan cara yang betul.

Pengarah Pusat Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Laili Che Rose berkata, keyakinannya itu berdasarkan ciri-ciri keistimewaan yang dimiliki mereka terutama fokus dan ketelitian, yang berkemungkinan sama atau lebih baik daripada pelajar normal.

Justeru, beliau berkata UMT bersedia merangka satu kajian bersesuaian dengan mengambil beberapa pelajar disleksia untuk dipantau dalam jangka masa tertentu bagi menilai tahap keupayaan mereka.

"Kanak-kanak disleksia ini dikatakan mempunyai daya fokus dan kecenderungan tinggi dalam satu-satu perkara yang dilakukan mereka.

"Jadi, kita akan beri mereka aktiviti 'hands on' secara berterusan untuk membuka minda dan boleh juga bawa mereka ke makmal di sekolah atau UMT untuk melihat projek atau sesuatu eksperimen dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran di sini semalam, yang merupakan program kerjasama antara Bernama Biro Terengganu dan UMT.

Seramai 50 pelajar UMT termasuk penuntut Pusat Asasi STEM menyertai CSR tersebut dan bergotong royong menceriakan kelas pelajar pendidikan khas di situ.

Dr Laili berkata, sekiranya projek tersebut berjaya, ia secara tidak langsung akan membuka minda sesetengah masyarakat yang selama ini memandang rendah potensi pelajar yang bermasalah pembelajaran termasuk disleksia.

Universiti tersebut juga bakal mengkaji tentang faktor atau punca yang menyebabkan kecacatan atau masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak yang tertumpu pada satu-satu kawasan di negeri ini.

"Kita sebenarnya ada ramai pakar yang boleh menjalankan kajian berhubung pelbagai perkara dan UMT akan mengambil peranan untuk bantu, buka minda dan memberi peluang kepada pelajar golongan sebegini," katanya.

Mengikut rekod, perkataan disleksia diambil dari bahasa Yunani iaitu ‘dyn’ (susah) dan ‘lexia’ (tulisan), iaitu kategori mereka yang mempunyai masalah pembacaan dan penulisan (mengira, mengeja, menulis) tetapi memiliki keupayaan berfikir lebih tinggi dengan orang yang seusia dengannya.

Disleksia juga bukanlah satu penyakit dan ramai di antara mereka berjaya menjadi tokoh terkenal termasuk Albert Einstein. -- Bernama


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...