> IKON > Walau punyai segulung ijazah, ini punca graduan ini tekad teruskan penternakan kambing dan ayam ratu...
Walau punyai segulung ijazah, ini punca graduan ini tekad teruskan penternakan kambing dan ayam ratu...
BERNAMA Isnin | 15 April 2019

MACHANG - Mencabar diri selepas gagal mendapat tawaran pekerjaan membuatkan seorang graduan muda, Ahmad Zharif Anuar, 28, memilih untuk meneruskan penternakan kambing dan ayam ratu yang diusahakan sejak tahun 2016 untuk kelangsungan hidup.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Kejurulatihan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, selepas tamat belajar pada tahun 2017 beliau tekad untuk meneruskan penternakan yang diusahakan sebelum ini selepas gagal mendapat pekerjaan setelah menghadiri berpuluh temu duga pekerjaan dan menghantar permohonan yang dipohon ataupun secara terbuka.

“Pada tahun 2016, saya belum fokus sepenuhnya dalam bidang penternakan ini memandangkan ketika itu masih belajar, tetapi kini saya memilih untuk meneruskan penternakan ini sepenuh masa selepas gagal mendapat tawaran pekerjaan dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

“Saya beranggapan rezeki saya bukan dalam sektor lain yang dilihat mempunyai saingan terlalu ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di ladang penternakan kambing dan ayam ratu miliknya di Kampung Belukar, Machang di sini.

Ahmad Zharif berkata, walaupun mempunyai segulung ijazah, demi menjana pendapatan beliau tekad untuk menjadi penternak kambing dan ayam ratu meskipun kerjaya itu menyimpang jauh daripada kelulusan akademik yang dimilikinya.

“Saya memulakan penternakan kambing ini pada tahun 2016 yang lalu ketika masih belajar dengan mengeluarkan modal sebanyak RM3,000 untuk membeli tujuh ekor kambing,” katanya.

Katanya bermula awal tahun ini, selepas gagal mendapat tawaran pekerjaan yang dipohon, beliau memutuskan untuk menumpukan sepenuh masa dalam bidang ternakan dan kini berjaya memiliki hampir 300 ekor kambing pelbagai jenis termasuk Jamnapari, Boer, Savana dan kambing kampung.

“Sehingga kini, hasil jualan kambing ternakan saya boleh mencecah sehingga RM5,000 sebulan yang kebiasaannya dijual dengan harga RM600 hingga RM1,600 seekor mengikut saiz dan berat badannya,” katanya.

Selain kambing, beliau turut menjual dan memelihara sebanyak 50 ekor ayam ratu yang kini menjadi permintaan tinggi masyarakat negeri ini termasuk juga negeri lain untuk memasuki pertandingan ayam ratu.

“Ayam ini dijual mengikut umur semasa, iaitu bermula pada harga RM100 bagi ayam yang berumur sebulan, dan harga akan meningkat mengikut bulan seterusnya.

“Melalui penternakan ayam ratu pula, saya mampu mendapat hasil pulangan melebihi RM1,000 sebulan mengikut permintaan semasa,” katanya yang turut dibantu oleh seorang pekerja.

Dengan berkat kesungguhan dalam mengusahakan penternakan kambing dan ayam ratu berkenaan, hasil ternakan yang diusahakan oleh beliau berjaya dieksport ke beberapa negeri termasuk Terengganu, Selangor dan Perak yang memberi pulangan lumayan kepadanya.

Dalam masa sama, beliau juga melakukan kerja sampingan pada waktu malam dengan menjual kebab berhadapan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan sejak sebulan lalu.

“Kebiasaannya, saya dapat menjual lebih 50 biji kebab sehari dengan harga bermula RM3 sebiji,” katanya.

Beliau berpendapat, usia muda adalah masa yang sangat sesuai dan bernilai untuk seseorang itu melakukan segala jenis pekerjaan dan memeringah keringat yang ada tanpa malu dalam memilih sektor pekerjaan dan kelayakan.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...