> AKTIVITI KAMPUS > Makan percuma! Sembilan pengusaha makanan taja 62 mahasiswa UMP...
Makan percuma! Sembilan pengusaha makanan taja 62 mahasiswa UMP...
MIMI RABITA, UMP Isnin | 15 April 2019

DALAM usaha membantu mahasiswa kesempitan wang dan memerlukan bantuan, sebanyak sembilan pengusaha makanan sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Inisiatif MyGift menerusi Program MyCafé - Komuniti UMP bagi menaja makanan secara percuma kepada 62 mahasiswa di universiti ini.

Program kebajikan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UMP dalam membantu mahasiswa selain Gerobok Rezeki, Food For All, Kongsi Rezeki dan inisiatif lain termasuk UMP Campus Pantry yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Majlis penyerahan sijil penghargaan dan kupon makan disampaikan Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Sri Daing Nasir Ibrahim bertempat di Dewan Bankuet UMP Pekan yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pro Pendaftar, Abd Rahman Hj Safie.

Dalam ucapannya, Dr. Daing Nasir merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengusaha makanan yang menyokong usaha ini.

“Program ini merupakan satu inisiatif MyGift universiti dalam menyemarakkan budaya menyumbang dalam kalangan masyarakat. MyCafé merupakan program yang mana pengusaha makanan berhampiran UMP bersetuju membantu mahasiswa UMP terutama mereka yang tinggal di luar kampus dan terbeban dengan masalah kewangan sepanjang mengikuti pengajian di universiti,” katanya.
Dr Daing Nasir menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha makanan, Zarina Embong dalam menjayakan Program MyCafé-Komuniti UMP. (FOTO UMP)
Universiti juga tidak mengehadkan jumlah sumbangan, malah memberi pihak pengusaha memutuskan jumlah sumbangan yang diberikan. Dalam konsep ini mahasiswa terpilih akan diberi makan percuma di kedai makan yang telah ditetapkan.

Dr. Daing Nasir berharap program ini dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dan pihak pengusaha makanan, malahan percaya, ia akan memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa apabila tamat pengajian kelak.

Inisiatif ini juga akan dipanjangkan di UMP Gambang dan pihaknya yakin lebih ramai pengusaha di sekitar Gambang akan menyertai program ini.

Salah seorang pengusaha makanan, Noresah Kamal, 56, atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Ndak, berasa bangga dapat menyumbang dan menyertai program ini.

Katanya, sejak memulakan peniagaan 11 tahun lalu, warga UMP merupakan antara pengunjung di kedainya. Jadi, kini sudah tiba masanya dia pula membantu mahasiswa yang memerlukan ini, sementelahan lagi sepanjang menjalankan perniagaan di Kampung Marhum, dia mengenali ramai mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan.

“Saya sudah menganggap mahasiswa ini seperti anak-anak saya dan diharapkan sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka ini,” katanya yang turut berpeluang menyertai beberapa siri program Kongsi Rezeki anjuran UMP.

Manakala pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan, Aslyana Rahman, 22, yang menerima manfaat ini amat terharu apabila terpilih sebagai penerima inisiatif MyCafé.

Dr Daing Nasir bersama peserta Program MyCafé-Komuniti UMP membabitkan pengusaha kafe dalam membantu menyediakan makanan percuma buat mahasiswa. (FOTO UMP)

"Terima kasih kepada pihak universiti dan pengusaha makanan yang begitu cakna dengan masalah penuntut. Jasa mereka ini tidak mungkin kami lupakan sepanjang hayat," ucapnya.

UMP memperkenalkan program MyGift sebagai satu usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak untuk menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan.

Program MyGift ini diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumni serta pihak luar terutamanya daripada industri mahupun syarikat untuk sama-sama menyumbang kepada tabung endowmen universiti.

Terdapat tiga jenis endowmen yang dilaksanakan iaitu endowmen Kursi, Biasiswa Pelajar, Makmal/Kemudahan manakala enam tabung diperkenalkan ialah Tabung Ramadhan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Wakaf, Komuniti dan Tabung Sumbangan Prasarana.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...