> IKON > Ini cara dakwah ustaz 'kaki bola'
Ini cara dakwah ustaz 'kaki bola'
MOHD TAHA YAACOB Jumaat | 19 April 2019

BESUT - Seorang pendakwah muda yang namanya semakin dikenali di Besut mengambil pendekatan melaksanakan dakwah khususnya kepada generasi muda melalui beberapa pendekatan tersendiri.

Bagi Ustaz Azmi Abdullah, 35, untuk menjadi pendakwah yang baik bukan hanya perlu berada di masjid atau majlis ilmu semata-matanya sebaliknya perlu mendekati masyarakat.

Menurutnya, hobinya yang begitu mendalam dalam sukan bola sepak telah memberi ruang kepadanya berdakwah melalui bidang tersebut.

“Kita perlu dekati, ajak orang dalami atau dekati agama dengan cara berhemah kerana kalau tidak kena cara, mereka semakin menjauhi kita.
“Saya sendiri bermain bola sepak bersama remaja tetapi apabila hampir masuk waktu solat, kita minta berhenti untuk solat. Pada masa sama kita ajak mereka dekati masjid dan cintakan agama,” katanya.

Azmi berkata, langkah tersebut secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai masyarakat mendekati masjid atau surau seterusnya rumah ibadat itu dapat diimarahkan.

Jelasnya, sekiranya dakwah hanya disampaikan di masjid, lazimnya pendengar adalah orang sama atau orang yang sering ke masjid dan meminati majlis ilmu.

Pun begitu tugas berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada jemaah di masjid atau surau tetap diteruskan apabila beliau dilantik sebagai guru takmir dan mualim bagi daerah Besut selain imam Masjid Kuala Besut.

AZMI

“Saya merupakan anak keempat daripada 21 adik-beradik seibu dan sebapa tetapi sekarang hanya tinggal 16 orang kerana selebihnya telah meninggal dunia.

“Dalam adik-beradik, hanya saya seorang yang belajar di sekolah agama sejak kanak-kanak apabila diberi peluang oleh ayah untuk mengikuti pengajian aliran mana yang diminati,” kata lulusan Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Shibin El Kom ini iaitu salah sebuah cawangan Universiti Al Azhar di Mesir.

Minat ilmu agama sejak kecil

Azmi berkata, minatnya dalam bidang dakwah bermula dari kecil lagi iaitu selepas tamat tadika di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), dia membuat keputusan belajar peringkat rendah (darjah 1 hingga 6) di Sekolah Agama Rakyat Darul Islah, Padang Luas.

Kemudian beliau menyambung pengajian agama dan akademik di Maahad Darul Quran Rusila, diikuti Kolej Universiti Darul Quran (Kuqdi) Manir sebelum ke Mesir.

Kenangan ketika belajar di Mesir.

Menurutnya, sebaik menamatkan pengajian di Mesir pada 2015, beliau diberi amanah sebagai pendakwah oleh kerajaan termasuk tauliah mengajar di masjid dan surau.

Beliau juga merupakan salah seorang guru agama untuk saudara baharu daerah Besut.

“Minat saya dalam bidang dakwah begitu mendalam dan bidang paling diminati adalah hadis. Setakat ini saya menjadi penceramah tetap di tujuh masjid dan surau di daerah ini selain kerap dijemput menyampaikan ceramah motivasi dan agama di sekolah-sekolah,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang untuk menghantar anak belajar di sekolah agama atau pondok.

Sebahagian saudara baharu di bawah Perkim Besut sedang mengikuti kelas agama yang dikendalikan Azmi.
“Ramai ibu bapa bimbang anak mereka akan susah atau sukar mendapat pekerjaan jika belajar di sekolah pondok, tetapi sebenarnya tidak begitu. Dengan izin ALLAH rezeki akan murah dan ALLAH buka jalan-jalan untuk berjaya dunia dan akhirat,” katanya.

Tip berdakwah

Berkongsi tip dalam berdakwah, Azmi berkata, setiap pendakwah perlu betulkan niat iaitu melakukan pekerjaan agama untuk mencari reda ALLAH.

Setiap waktu terluang digunakan untuk menelaah kitab dan ayat suci al-Quran.
“Niat saya adalah untuk berdakwah agar umat Islam sentiasa mendekati penciptanya dan dakwah perlu dilakukan dengan cara tertentu bergantung kepada kumpulan sasar atau jemaah yang mendengar.

“Pendakwah tidak boleh menyampaikan dakwah secara mendatar sahaja sebaliknya perlu ada pelbagai unsur termasuk jenaka bergantung kepada siapa pendengar dan keadaan ketika itu,” kata bapa kepada empat cahaya mata iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 9 bulan hingga 9 tahun hasil perkahwinan dengan wanita pilihan Nurul Huda Saari, 31.

*Rencana ini dipetik daripada ruangan Tokoh Agama terbitan Sinar Harian Jumaat 19 April 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...