> > Malaysia dan Jordan meterai MoU kerjasama tingkat sektor pendidikan tinggi
Malaysia dan Jordan meterai MoU kerjasama tingkat sektor pendidikan tinggi
WARTAWAN SINAR HARIAN Jumaat | 19 April 2019

AMMAN, JORDAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Jordan memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi untuk kedua-dua buah negara, kelmarin.

Memorandum yang ditandatangani Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Jordan, Tuan Yang Terutama Dr Walid Maani itu menyasarkan program pertukaran pegawai akademik, guru, pakar dan pelajar, termasuk sistem teknologi pendidikan dalam usaha memajukan sektor pendidikan tinggi.

“Memorandum ini akan meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Jordan dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama berkaitan pendidikan tinggi,” kata Maszlee semasa mengadakan perjumpaan dan beramah mesra dengan pelajar Malaysia di Jordan.

Walid selepas menandatangani memorandum itu di sini berkata, kementeriannya sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa dengan mengutamakan penambahbaikan pendidikan teknikal dan vokasional untuk memacu ekonomi Jordan.

Antara perkara yang menjadi keutamaan dalam memorandum tersebut adalah untuk meningkatkan bilangan kemasukan pelajar Jordan ke Malaysia.

Sehingga Disember 2018, terdapat 2,098 pelajar Jordan di Malaysia dengan pecahan 1,431 orang di institusi pendidikan tinggi awam dan 667 orang di institusi pendidikan tinggi swasta.
Dr Maszlee (kiri) menyampaikan ucapan selepas majlis menandatangani MoU bersama Kementerian Pengajian Tinggi Jordan yang diwakili menterinya, Walid, kelmarin.

Kebanyakan pelajar itu sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Pentadbiran Perniagaan dan Sains.

Selain itu, memorandum itu turut menggariskan cadangan untuk meningkatkan lagi kemasukan pelajar Malaysia ke Jordan terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan Perubatan.

Sehingga kini hanya 1,383 orang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Jordan.

Pada pertemuan itu juga, Universiti Al al-Bayt turut menganugerahkan Maszlee gelaran Doktor Kehormat dalam Islamic Jurisprudence dan Teori Kehakiman sebagai tanda penghargaan jalinan kerjasama antara dua negara itu.

Dalam perkembangan lain, Maszlee turut mengadap Raja Jordan, Raja Abdullah II di Istana Al Husseiniya dan menyampaikan surat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.

Raja Abdullah II turut meminta Maszlee menyampaikan salam kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendoakan kesejahteraan serta kesihatan kepada rakyat Malaysia agar terus maju dan berjaya.

Pertemuan dihadiri Putera Ali Al Hussein itu juga menekankan kepentingan mengembangkan jaringan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan.
Dr Maszlee (dua dari kiri) bersama Walid (dua dari kanan) menyerahkan dokumen MoU selepas majlis menandatangani perjanjian bagi meningkatkan kerjasama Malaysia - Jordan kelmarin.

Pertemuan itu juga meliputi perkembangan serantau terkini di mana Raja Abdullah II menekankan keperluan untuk mengakhiri konflik Palestin-Israel berdasarkan penyelesaian dua negara yang membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka pada 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya.

Raja Abdullah II juga menegaskan bahawa Jordan akan terus mempertahankan dan menegakkan peranan dalam melindungi tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis, sejajar dengan Pengisytiharan Hashemite dan memuji Malaysia atas sokongan terhadap Palestin.

Baginda juga memuji model teladan Malaysia dalam menggalakkan kewujudan bersama, toleransi dan harmoni antara agama.

Mesyuarat turut dihadiri Penasihat Raja Abdullah, Manar Dabbas dan Duta Besar Malaysia ke Jordan, Jilid Kuminding.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...