> AKTIVITI KAMPUS > Mencambah minat ilmu fizik di SBPI Gombak
Mencambah minat ilmu fizik di SBPI Gombak
NAHRIZUL ADIB KADRI Selasa | 23 April 2019

Ilmu fizik merupakan salah satu cabang ilmu sains yang memerihalkan kesemua fenomena yang berlaku ke atas sesuatu jirim, termasuklah pergerakan dan kesan persekitaran ke atas gerakan itu yang merentas ruang dan masa. Ilmu ini juga dikaitkan dengan perihalan mengenai daya dan tenaga.

“Secara umumnya, ilmu fizik diakui sebagai ilmu sains asas yang diperlukan dalam usaha kita memahami sifat alam semesta. Dengan ilmu fizik jugalah banyak aplikasi dan peranti yang dibina, dan seterusnya memudahkan kehidupan manusia, seperti bekalan elektrik, dan sistem telekomunikasi,” kata Dr. Woon Kai Lin, 43, pensyarah kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) ketika ditemui semasa program ‘The Next Einstein’ baru-baru ini.

Murid SBPI Gombak gembira melihat simulasi radar.
Program yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran Persatuan Fizik UM dengan kerjasama Panitia Fizik dan Kelab Penyelidikan dan Pembangunan, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor, dan ON Semiconductor Sdn. Bhd. ‘The Next Einstein’ telah diadakan di SBPI Gombak, dengan penyertaan seramai 100 murid tingkatan empat, dan dibantu oleh 29 fasilitator yang terdiri dari mahasiswa jurusan fizik UM.

“Antara lainnya, program ini diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan dan penerangan kepada murid sekolah mengenai betapa pentingnya penglibatan mereka dalam bidang sains, terutamanya fizik. Secara tidak langsung, ini menunjukkan keprihatinan mahasiswa dalam membantu inisiatif menyuburkan minat terhadap subjek yang berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM),” kata Raihana Izzati Mohd. Ali, 21, mahasiswa tahun kedua jurusan fizik UM, yang merupakan pengarah program.

Pelajar mendengar penerangan konsep fizik yang berkaitan cahaya dan warna

Selain reruai yang menjalankan demonstrasi fenomena fizik, para peserta turut didedahkan dengan penyelidikan terkini yang dijalankan oleh penyelidik UM.

“Melalui sesi yang dinamakan ‘Physics Talk’, para peserta bukan sahaja dapat didedahkan dengan penyelidikan terkini berasaskan ilmu fizik yang dijalankan di UM, malah para sukarelawan juga turut mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklumat yang betul mengenai peluang menjalankan penyelidikan kelak. Ramai di antara kami sebenarnya amat berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat pasca ijazah dan melakukan penyelidikan,” kata Mohamad Fitri Zaqwan Salim, 22, mahasiswa tahun ketiga yang merupakan sukarelawan program.

Menariknya, para peserta berpeluang melihat beberapa fenomena fizik secara praktikal, termasuklah bebola plasma, sistem radar, dan keelektromagnetan.

“Saya percaya para peserta akan lebih menghargai apa yang dipelajari di dalam bilik darjah apabila dapat melihat sendiri fenomena fizik yang diperkatakan. Loncatan elektron yang menghasilkan garisan cahaya di dalam bebola plasma contohnya, sangat membantu pemahaman seseorang mengenai kejadian kilat ketika hari hujan,” kata Mohamad Fitri Zaqwan lagi.

“Dari maklum balas yang diterima, para peserta dan pihak sekolah mengharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Ini bagi memastikan kesinambungan pemahaman fizik yang menyeluruh, hasil dari percambahan minat yang berjaya dilakukan dengan kehadiran sukarelawan dan penyelidik UM di sini.

Murid sekolah, pensyarah, dan sukarelawan bergambar kenangan di penghujung program.

“Saya percaya kepentingan ilmu fizik ini akan menjadikan murid-murid di sini lebih inovatif dan berani menempuh cabaran yang disaji oleh kederasan teknologi maklumat,” kata Mohamad Fitri Zaqwan mengakhiri temu bual.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...