> IKON > Bekas pensyarah jual anak tudung...
Bekas pensyarah jual anak tudung...
ROSHILA MURNI ROSLI Selasa | 23 April 2019

JITRA - Jika dahulu beliau menggalas tugas sebagai pendidik, namun demi memenuhi minatnya dalam menguruskan perniagaan sendiri, bekas pensyarah Pengurusan Perniagaan di Kolej Polytech Mara (KPTM) Alor Setar ini nekad mengubah bidang diceburinya.

Nor Ismawarni Ismail, 34, mengakui tidak pernah timbul erti penyesalan walaupun berubah bidang dalam sekelip mata.

Katanya, menguruskan perniagaan sendiri lebih sesuai dengan jiwanya selain sentiasa dekat dengan anak-anak dan keluarga.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan hidupnya, pengasas anak tudung Duchess ini berhenti kerja pada 2014 dan terlebih dahulu membuka sebuah kafe di Alor Setar.

“Namun selepas melahirkan anak kedua pada tahun 2017, saya mengalami kekangan untuk menjaga anak kecil di samping memberi fokus terhadap kafe.

“Jadinya saya ambil keputusan beralih kepada perniagaan atas talian dengan menjual beberapa produk orang lain ketika itu,” katanya ketika ditemui di butiknya di Plaza Sri Tunku, di sini.

Ahli keluarga Nor Ismawarni yang banyak memberi sokongan kepadanya untuk terus maju dalam bidang perniagaan.

Hasilkan anak tudung ikut cita rasa sendiri

Menurutnya, idea untuk mencipta anak tudung jenama sendiri ini muncul selepas dia mengalami kesukaran untuk mendapatkan anak tudung yang besar dan selesa.

“Saya beli yang orang jual, semuanya kecil dan tak selesa. Jadinya saya minta tukang jahit buatkan anak tudung ikut cita rasa saya. Bila pakai yang tukang jahit buat tu, rasa selesa, terus terdetik... eh! boleh buat bisnes anak tudung ni, lagipun tak ramai usahawan ceburi bidang ini,” katanya.

Selesa disapa sebagai Mawar, untuk permulaan dia dan suaminya, Muhamad Anwaruddin Mohamad Sidek, 33, membeli tiga meter kain dengan modal RM40 di sebuah pusat jualan kain di Alor Setar.

“Dengan tiga meter kain itu, dapatlah 15 helai anak tudung. Kemudian untuk cipta kelainan dan nampak mewah, saya letakkan pula logo crown pada anak tudung tu yang dah didaftarkan di bawah Duchessbycpg,” katanya.

Anak tudung Duchess yang selesa dan mewah berjaya memikat hati pengguna Muslimah.

Miliki 500 orang ejen

Katanya, setakat ini beliau mempunyai 500 orang ejen bukan sahaja di negara ini malah juga di Indonesia, Brunei, Kemboja, Filipina dan beberapa negara lain.

“Saya juga bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Risda dalam proses penghasilan produk ini di mana seramai 25 tukang jahit dari lima bengkel komited membekalkan anak tudung kepada saya.

“Alhamdulillah, dalam mencari rezeki halal untuk keluarga saya juga dapat membantu usahawan-usahawan ini yang terdiri daripada ibu tunggal. Insya-ALLAH, saya kini dalam perancangan untuk tambahkan produk,” katanya.

Butik bergerak

Nor Ismawarni berkata, beliau juga bersyukur kerana berkat usaha dan doa kepada ALLAH SWT, beliau kini membuka sebuah butik dan melancarkan butik bergerak pada Februari lalu.

“Memang saya sebelum ini lebih selesa kerja di rumah, tetapi bila permintaan tinggi, rumah saya dah tak mampu nak tampung segala stok kain dan anak tudung.

“Bila ada butik, lebih mudah untuk pelanggan mendekati produk saya, mereka boleh pegang dan mencuba anak tudung dan tudung yang jual di sini. Butik bergerak pula akan menemui pelanggan di Baling sepanjang bulan puasa ini.

“Selain tudung dan anak tudung, produk kosmetik CPG yang diusahakan kakak saya, Ismaniza Fahida juga boleh didapati di butik bergerak,” katanya.

Nor Ismawarni (kiri) bersama kakaknya melihat tudung yang dipamerkan dalam butik bergerak mereka.

Tambahnya, kejayaannya pada hari ini membuktikan setiap usaha yang bersungguh-sungguh itu akan membuahkan hasil memuaskan.

“Nasihat saya kepada usahawan lain, bila kita ceburi bidang perniagaan, jangan tamak sebab kita akan hilang fokus. Bila kita fokus cuma kepada satu perkara saja, Insya-ALLAH akan capai kepuasan dan rasai hasilnya,” katanya.

*Rencana ini dipetik daripada ruangan Usahawan Kita terbitan Sinar Harian (Edisi Utara) Selasa 23 April 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...