> > Memilih untuk berhijrah gara-gara namanya pelik, tak sangka 'hidayah' ini rupanya yang dicari
Memilih untuk berhijrah gara-gara namanya pelik, tak sangka 'hidayah' ini rupanya yang dicari
ZALMIMAZURA ZAHARI Rabu | 24 April 2019

“Aku masuk Islam ukai nyadi LAUT! Aku tetap IBAN ari suba, diatu, sampai ke belama-lama iya”. Maksudnya (Saya masuk Islam bukan masuk Melayu! Saya tetap IBAN, dulu, kini dan selamanya)

Ini lah pendirian yang dipegang oleh seorang anak jati IBAN yang telah memeluk agama Islam.

Perjalanan dalam mencari hidayah penuh pancaroba, namun berbekalkan niat yang satu untuk menjadi hamba kepada ALLAH SWT dan pengikut Nabi Muhammad SAW, setiap ujian yang diberi dihadapi sebaik mungkin meskipun hampir tersungkur.

Diejek kerana Berita

Setiap hidayah yang diberikan datangnya dalam pelbagai bentuk dan cara. Ada melalui pembacaan, mimpi, penceritaan, sejarah hidup dan sebagainya. Namun bagi graduan Universiti Sains Malaysia (USM) ini dia memilih untuk berhijrah gara-gara nama yang terpahat di kad pengenalan membuatkan dirinya rasa malu dan rendah diri.

Dek kerana tak tahan sering diejek dan ditertawakan oleh rakan-rakan sekolah, dia tekad untuk bertukar agama lain hanya kerana merasakan dengan berbuat demikian adalah cara terbaik untuk menukar nama.

“Kerana merasakan nama yang diberikan oleh ayah saya agak pelik, saya pernah terfikir untuk memeluk Islam ketika di tingkatan empat dan mahu menukar nama selepas peluk Islam. Kebanyakan masyarakat Iban suka memberi nama yang pelik kepada anak-anak mereka, termasuklah diri saya.

“Nama asal saya sering menjadi bahan gurauan dan ejekan kawan-kawan, namun berbeza dengan nama abang sulung namanya Richard manakala adik perempuan saya bernama Melatie. Sebaliknya saya diberikan nama ‘Berita’!

“Kawan-kawan menjadikan nama saya sebagai usikan seperti ajukan Berita Jam Lapan. Pernah juga kawan baik saya beritahu, katanya, “perempuan tak suka awak sebab nama awak pelik dan kelakar”. Hal ini membuatkan saya rasa rendah diri, malu dan sedih. Dalam hati terfikir, kalau nak tukar nama hanya ada satu cara iaitu dengan bertukar agama Islam,” kata empunya nama asal, Berita Anak Laphany, 34, berasal dari Sri Aman, Sarawak kepada Kampus Uols.

Penghijrahan ke Semenanjung buka pintu hati

Bercerita dengan lebih lanjut, pemegang Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains Kemasyarakatan ini berkata, selepas menamatkan persekolahan di tingkatan 6, dia membawa diri ke Semenanjung dengan harapan untuk mencari rezeki demi membantu keluarga di kampung.

“Saya berhijrah ke Johor pada tahun 2005 dan tinggal bersama saudara di sana. Ketika itu saya bekerja sebagai operator kilang plastik di Ulu Tiram. Suasana di tempat kerja yang majoritinya orang Melayu Islam membolehkan saya mengetahui ajaran Islam secara tidak langsung.

“Dari situ saya mula mempelajari Islam melalui pembacaan buku-buku agama dan kawan-kawan Islam. Antara faktor saya peluk Islam adalah hasil daripada membuat perbandingan agama. Saya terbaca buku yang bertajuk tentang ‘Kenapa Kami Peluk Islam’.

Razif bersama isteri yang juga saudara baru, Nurul Sya adah.

“Sehinggalah pada suatu hari seorang kakak yang saya kenali rapat di tempat kerja bertanyakan kepada saya “tak nak masuk Islam ke?” Saya jawab “tak minatlah kak”. Selepas balik kerja dan pulang ke rumah, persoalan kakak itu bermain-main di minda.

“Saya berfikir panjang dan lama kelamaan mula terbit perasaan untuk memeluk Islam. Saya juga ada sepupu yang telah memeluk Islam dan menetap di Johor Bahru. Dia banyak memberi nasihat, sokongan serta mendedahkan saya dengan ajaran Islam,” katanya.

Ucap dua kalimah syahadah

Tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak, bertemankan kawan dan sepupu, mereka bertiga ke Pejabat Agama Daerah Johor Bahru

Masih segar di ingatannya, kejadian 13 tahun lalu yang mana ketika tiba di Pejabat Agama berkenaan mereka terpaksa menunggu beberapa jam lantaran semua pegawai yang bertugas untuk Islamkan saudara baru terlibat dengan mesyuarat di luar daerah. Paling mengejutkan ada yang mengesyorkan mereka datang sahaja lain kali.

Razif (kiri) raih Naib Johan Pertandingan Syarahan Program Permata Saudara Kita Peringkat Negeri Johor 2019 di Pusat Islam Iskandar.
“Sepupu saya marah dan berkata “kalau dia tak masuk Islam hari ini saya pun tak tahu adakah dia akan masuk Islam pada esok hari”. Mendengar sahaja kata-kata itu, orang berkenaan tercengang dan menyuruh kami menunggu sebentar. Daripada jam 11 pagi kami datang, jam 2 petang baru kami boleh melakukan urusan pendaftaran.

“Alhamdulillah, pada tarikh keramat iaitu 1 Jun 2006, hari Khamis jam 5 petang dengan rasa syukur saya mengucap dua kalimah syahadah dan memilih nama Muhammad Razif Shah. Muhammad pilihan saya sendiri, manakala Razif pilihan kawan dan Shah pilihan sepupu saya. Perasaan saya ketika itu bercampur baur. Takut, gementar, gelisah, terharu dan gembira saling bersatu. Namun syukur ya ALLAH aku kini menjadi hamba-Mu,” ujarnya.

Rezeki selepas peluk Islam

Akui bapa kepada tiga cahaya mata ini, kehidupan selepas bergelar Muslim benar-benar menguji kesabaran dan keimanannya. Cabaran yang paling berat adalah untuk mendalami ilmu agama Islam. Dengan ilmu agama yang masih cetek, waktu untuk beribadah turut menjadi kekangan.

Lawatan Muhibah Pertubuhan Jaringan Harmoni ke Holy Light Church Johor Bahru sempena Sambutan Kristmas 2018.
“Kerja sebagai operator kilang dengan waktu kerja tujuh hari seminggu benar-benar memberi cabaran kepada saya. Dengan gaji pokok sekitar RM380 sebulan dan jika dicampur dengan kerja lebih masa, dapatlah RM700 hingga RM800 sebulan. Malah untuk solat fardu Jumaat juga amat sukar ketika itu. Tambahan pula tiada kenderaan sendiri. Dalam tempoh enam bulan, hanya beberapa kali sempat solat Jumaat, itu pun terpaksa bertanya dan mencari kawan yang sudi menumpangkan untuk solat Jumaat,” kata anak kedua daripada tiga adik beradik ini.

Jelas Razif cabaran untuk mencari rezeki serta menimba ilmu berat untuk dilakukan secara serentak, apatah lagi mencari pekerjaan tanpa ada kelulusan yang tinggi. Sebelumnya Razif pernah bekerja sebagai pelayan hotel, kerja kimpalan di syarikat perkapalan di Kuching dengan gaji harian RM15.

Kesibukan tidak menghalang Razif untuk terlibat dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan.

“Semenjak memeluk Islam, setiap kali berdoa saya selalu mohon kepada ALLAH “ya ALLAH ya Tuhanku, berikan padaku satu pekerjaan di mana aku dapat membantu diriku, mencari rezeki buat keluargaku dan orang-orang susah di sekelilingku. Pada tahun 2006, saya mengisi borang SPA secara atas talian. Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya dan pada 10 Mac 2008 saya ditawarkan bekerja sebagai Pembantu Kebajikan Masyarakat di Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor. Syukur dengan kerjaya ini, banyak ruang untuk saya bantu orang lain selain diri sendiri mendalami ilmu agama.

“Setelah bergelar Muslim, saya banyak mendalami ilmu agama antaranya belajar di Darul Ukhuwah iaitu Badan Kebajikan Saudara Kita Daerah Johor Bahru. Mengikuti pelbagai kelas agama seperti mengaji al-Quran, usrah, solat berjemaah di masjid, dan juga terlibat dengan aktiviti berdakwah serta aktif dalam badan NGO Islam. Alhamdulillah hasil ‘pengalaman’ saya dalam Islam, saya menubuhkan Pertubuhan Jaringan HARMONI sebagai medan dakwah saya kepada masyarakat,” katanya yang beruntung kerana keluarga tidak memberi tentangan sebaliknya hubungan bertambah erat selepas memeluk Islam.

Bagi Razif, ilmu tidak pernah putus, selagi mana berkemampuan, sesiapa sahaja boleh menuntut. Alhamdulillah Razif kini melanjutkan pelajaran secara hujung minggu di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dalam bidang Sijil Eksekutif Dakwah.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...