> > Pengalaman Prof Pelawat di Aceh... memang kurang kemudahan tapi mahasiswanya berjiwa besar!
Pengalaman Prof Pelawat di Aceh... memang kurang kemudahan tapi mahasiswanya berjiwa besar!
SITI SURIANI OTHMAN, USIM Khamis | 25 April 2019

ARTIKEL ini saya tulis dengan mengimbas kembali pengalaman dan tugas sebagai Profesor Pelawat di bawah Program Studi Komunikasi, Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universiti Syiah Kuala atau Unsyiah pada akhir 2017.

Berada di bumi Aceh bukan pengalaman pertama. Namun, keberadaan kali kedua di bumi tragedi ini mempunyai nilai sentimental yang berbeza sekali.

Empat tahun lepas, kehadiran hanya sebagai pembentang kertas kerja dalam persidangan antarabangsa anjuran universiti, kemudian berkunjung selama dua minggu menggalas tugas yang lebih berat dengan harapan dapat membawa manfaat yang lebih besar dan sama-sama membantu membangunkan bumi yang mendukung tinggi syariat Islam ini.

Hasil cadangan dan perbincangan pelbagai rangka kerja sepanjang dua minggu ketika program lawatan ini telah dirangka termasuklah kuliah umum, lawatan ke beberapa organisasi media, bengkel penulisan jurnal dan bengkel penulisan popular untuk pensyarah dan pelajar.

Menarik di Aceh ini, walaupun diduga tragedi yang ditangisi seluruh dunia lebih 10 tahun lepas, mahasiswanya berjiwa besar. Kehadiran dosen (pensyarah) luar sangat dihargai, malah semuanya ingin mengambil peluang terbaik untuk menimba ilmu dan berkongsi pelbagai pengalaman.

Malahan, hubungan saya dan pelajar serta pensyarah kekal hingga kini, antaranya membantu pelajar menjalani latihan praktikal di Malaysia serta membantu mereka menerbitkan penulisan popular mereka dalam beberapa platform.

Semangat mereka luar biasa walaupun terdapat banyak kekurangan dari segi kemudahan fizikal, membuatkan hati makin tertambat di tempat yang pernah dikenali sebagai Aceh Darussalam, Daerah Istimewa Aceh dan Nanggroe Aceh Darussalam ini.

Dosen-dosen FISIP juga muda tetapi bertenaga semuanya. Malah, begitu bervisi untuk memajukan diri, memajukan universiti dan memajukan Aceh. Semangat jati diri yang belum saya lihat dalam kebanyakan pelajar kita.

Ini wajar dicontohi, mengajar kita semua pentingnya mencintai apa yang ada, di samping memperbaiki kekurangan dan kelemahan agar tidak ketinggalan.

Lawatan ke organisasi media memang antara aktiviti wajib bagi apa-apa kursus yang saya ajar di Malaysia. Aktiviti serupa juga saya laksanakan di Unsyiah kerana percaya bahawa ilmu itu berkembang dan dibangunkan secara bersama-sama.

Ilmu bukan datang dalam satu bentuk atau dari satu sumber sahaja iaitu pensyarah. Pelbagai aktiviti dalam dan luar kelas perlu diperhebat andai mahu melahirkan graduan cemerlang akademik dan sahsiah.

Menjiwai kewartawanan

Dalam lawatan-lawatan, pensyarah juga belajar daripada pengamal media, dan pelajar pastinya dapat pengalaman dan pengetahuan baharu.

Antara organisasi media yang pernah saya dan pelajar lawati di Malaysia ialah NSTP, Sin Chiew Daily, The Star, Karangkraf dan Astro Awani.

Namun, di Unsyiah, aktiviti di luar kelas ini memberi impak jauh daripada jangkaan. Lawatan bukan sekadar lawatan iaitu memerhati dan membuat catatan.

Perbualan ringkas dengan jurnalis di organisasi dilawat membuahkan pertukaran ilmu dan pengetahuan antara budaya yang mempunyai kerapatan nasional yang tinggi ini. Semangat serumpun Malaysia Indonesia dijadikan asas keprihatinan dalam menjiwai kewartawanan.

Kewartawanan bukan dilihat sebagai alat berkongsi maklumat semata-mata, atau salah satu pekerjaan berbanding banyak lagi jenis pekerjaan yang ada. Semangat kewartawanan mereka memberi semangat kepada bidang ini dan akan membawanya maju lebih jauh dari apa yang kita jangkakan yang kesannya membawa kemaslahatan ummah dan bukan meraikan kepentingan tertentu semata-mata.

Mungkin atas faktor inilah, kewartawanan Indonesia dilihat jauh lebih maju daripada kewartawanan Malaysia baik dari segi kualiti dan ruang lingkup penulisan, fungsi penulisan dan mentaliti jurnalisnya.

Misalnya, hampir dalam semua perbualan dengan jurnalis menampilkan terma ‘kepentingan umum’ sebagai istilah yang dibawa dalam jiwa kewartawanan sekurang-kurangnya di Aceh jika tidak di seluruh Indonesia.

Lawatan mencecah enam organisasi media termasuk badan berperanan sebagai majlis media melibatkan perbincangan jujur tentang media antara dua negara ini yang melibatkan lebih 20 jurnalis termasuk jurnalis-jurnalis utama di Aceh.

Jurnalis dan 'kepentingan umum'

Menulis untuk kepentingan umum adalah salah satu etika dalam kewartawanan. Namun, wujud apa yang dipanggil kewartawanan yang berteraskan kepentingan umum (public interest journalism) yang jarang didefinisi secara jelas dalam pengajian kewartawanan di universiti-universiti.

Secara umumnya, ia merujuk kepada peranan kewartawanan untuk melapor berita berkaitan rasuah, menyekat perbuatan tidak bermoral dalam kalangan ahli politik dan sebagainya.

Ia boleh dikatakan sebagai salah satu bentuk kewartawanan yang menolak seratus peratus berita palsu, propaganda dan tapisan yang menyekat kebenaran.

Menyatakan kebenaran kepada khalayak umum adalah objektif utama kewartawanan, dan tidak merisaukan hal-hal teknikal seperti laporan yang akan mengesani pihak-pihak tertentu. Dengan ini, peranan media sering disamaertikan dengan ‘pengawal masyarakat’ melalui penulisan penyiasatan yang mendalam dan bersifat membongkar serta menyediakan ruang bagi perbincangan yang luas dan adil untuk pilihanraya.

Nyata, kepentingan umum menjadi agenda penting di Aceh sehinggapun soalan-soalan daripada pelajar ketika kuliah-kuliah juga berkisar tentang ini.

Dalam mendalami konteks ini, tanggungjawab ini perlu dilihat selari dengan kemuliaan bidang kewartawanan yang seharusnya bertindak sebagai alat yang membawa keadilan kepada khalayaknya. Keadilan dari pelbagai segi perlu inklusif sifatnya, adil kepada masyarakat. Untuk memulakannya memerlukan sejenis kebebasan di peringkat individu wartawan yang perlu dimulai dengan berlaku adil terhadap diri sendiri. Surah An-Nisa ayat 135 mengingatkan kita tentang kepentingan berlaku adil bermula dengan diri sendiri, ibu bapa dan orang terdekat.

Ayat ini menjelaskan walau bagaimanapun keadaan mereka, jika diaplikasikan dalam bidang kewartawanan, perlu diberikan liputan yang sama rata, yang membawa kepada falsafah liputan yang mengarah kepada kepentingan umum.

Ayat ini juga memberi amaran agar manusia jangan sesekali mengikut nafsu, dan dalam konteks bidang, kerana mempunyai kuasa media dalam tangan sendiri.

Praktis kewartawanan segar

Dalam suasana Malaysia Baharu, tiba masanya kewartawanan tradisional kita bergerak ke arah kepentingan umum untuk bersaing dengan sifat media baharu yang dilihat ramai berorientasikan itu (walaupun wujud perdebatan terhadap kepercayaan ini).

Media tradisional yang bergaris panduan dan berpengampang beretika perlu menggunakan kelebihan itu untuk membawa liputan yang bersifat menjaga diri, masyarakat dan negara.

Selain itu, pemerhatian dan lawatan yang dibuat di salah sebuah akhbar tempatan Aceh dikenali sebagai akhbar Harian Rakyat Aceh memperkenalkan saya kepada praktis kewartawanan segar yang baharu dilaksanakan di Indonesia.

Menurut Ketua Serikat Perusahaan Pers (SPS) Aceh, Imran Joni yang juga ketua pengarang Harian Rakyat Aceh yang ditemui ketika lawatan berkata, rakyat umum yang ditemu bual wartawan perlu memastikan wartawan yang menemubual mereka telah lulus Standar Kompetensi Wartawan (SKW) ini atau tidak dengan memohon agar kad lulus ujian ditunjukkan sebagai bukti.

Jika wartawan belum lulus ujian, maka kita berhak untuk menolak untuk ditemubual. Ia dilihat Fauji Yudha dari Berita Aceh Online sebagai kelebihan kepada jurnalis yang lulus ujian, kerana mereka mempunyai akses yang lebih terhadap sumber berita.

SKW yang merupakan piawaian baharu wartawan di Indonesia digunapakai untuk memastikan tahap kecekapan wartawan yang tinggi di samping berupaya melakukan tugas dengan kredibiliti dan penuh tanggungjawab, sekali gus mendapat kepercayaan daripada khalayak.

Ujian yang telah lama dibincangkan tetapi baharu dilaksanakan dan diwajibkan pada 2018 kepada seluruh jurnalis di seluruh Indonesia ini mengharapkan agar ujian dapat meningkatkan kualiti profesionalisme bidang kewartawanan, di samping menjadi ukuran nilaian kualiti wartawan di samping meningkatkan kebebasan akhbar yang bersandarkan kepentingan rakyat.

Dengan piawaian baharu ini juga diharapkan agar martabat bidang kewartawanan boleh diangkat sebagai suatu profesion khusus yang bersifat intelek dan tidak disalahguna oleh mana-mana pihak.

Wartawan yang boleh menduduki ujian kompetensi ini dibahagikan kepada tiga golongan iaitu: wartawan muda, wartawan madya dan wartawan utama. Mereka boleh menduduki ujian ini di universiti yang menawarkan program komunikasi atau kewartawanan, badan-badan pendidikan kewartawanan dan organisasi wartawan.

Dalam kalangan wartawan, mereka yang telah lulus ujian ini pastinya berbangga dengan pencapaian mereka. Namun, mana-mana polisi baharu pastinya ada kesamaran. Antaranya ialah isu gaji, isu layanan majikan bagi wartawan yang telah lulus dan beberapa isu lain.

Buat masa ini, kita serahkan kepada masa untuk menentukan baik buruk kesan daripada ujian ini kepada bidang kewartawanan Indonesia.

Kualiti kewartawanan

Dalam masa yang sama, mungkin tiba masanya Malaysia lebih reaktif terhadap kualiti kewartawanan, bermula dengan penubuhan Majlis Akhbar (Press Council) yang nampaknya masih belum membuahkan hasil walaupun diusahakan hampir 20 tahun.

Berkaitan ini, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican dan Dr Mohd Safar Hasim merupakan antara akademik yang positif dengan gerakan penubuhan Majlis Akhbar menjelaskan, penubuhan tidak sepatutnya dilihat sebagai satu bentuk kekangan terhadap kebebasan akhbar, yang utama ialah kaedah dan falsafah yang merdeka dan tidak terikat dengan mana-mana pihak berkepentingan. Kata Ahmad Murad dalam satu temubual atas talian, advokat kajian kewartawanan lebih 30 tahun, itulah sifat Majlis Akhbar yang bercirikan seliaan kendiri (self-regulatory).

Melalui kaedah ini, autoriti kepada bidang dan pengamal kewartawanan diberikan dengan lebih jelas, agar wartawan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dan lebih memanfaatkan khalayaknya.

Selari dengan itu juga, kita boleh menggerakkan mekanisma yang tersusun untuk memastikan kualiti wartawan tempatan yang bukan sahaja memahami operasi kerja dalam industri kewartawanan tetapi memahami etika kewartawanan dan falsafah di sebalik keputusan dan tindakan yang dibuat dalam menjayakan aktiviti kewartawanan yang diusahakan.

Industri berita bukan ‘kilang maklumat’ yang hanya memproses maklumat untuk khalayak tetapi produk budaya yang bukan hanya mencerminkan bangsa dan negara, malah alat membangun minda rakyat secara tersusun, serta membentuk budaya dan tamadun manusia.

*Penulis; Dr Siti Suriani Othman (Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia)


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...