> > UMS muncul juara keseluruhan KEK 2019!
UMS muncul juara keseluruhan KEK 2019!
NORASYIKIN ABDUL RAHMAN Isnin | 29 April 2019

PETALING JAYA - Kejohanan e-Sukan Kampus (KEK) 2019 anjuran Media Prima Digital ini telah berlangsung dengan jayanya di Ice Skating Rink, Sunway Pyramid pada 27 April lalu.

Ia bertujuan mencari pasukan-pasukan terbaik dari Institusi Pengajian Tinggi di setiap zon bermula dari Zon Utara Universiti Teknologi Petronas (UTP) Perak, Zon Selatan, Universiti Teknologi Mara Alor Gajah, (UiTM) Melaka, Zon Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah, Zon Sentral UiTM Puncak Alam, Selangor) dan diakhiri Zon Timur (Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Acara e-Sukan Kampus terbesar di Malaysia menerusi portal permainannya, MyGameOn serta rakan strategik Kitamen menawarkan hadiah tunai terkumpul berjumlah RM180,000.

Acara yang dicetuskan oleh XPAX ini menampilkan 3 permainan popular Mobile Legends Bang Bang, Pro Evolution Soccer 2019 (PES 2019) dan DOTA 2.

Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) 2019, Ice Skating Rink, Sunway Pyramid.

Selain menyaksikan pertandingan ketiga-tiga permainan, para pengunjung juga berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah menarik cabutan bertuah yang disediakan seperti kerusi gaming Todak, gaming keyboard Sades, gaming headset Sades, Acer laptop juga kredit E-Wallet Boost bernilai RM1,000.

Lebih dari 30 pasukan mewakili IPT masing-masing telah bersaing bagi merebut gelaran juara bagi setiap kategori permainan sekali gus merebut gelaran juara keseluruhan.

Kumpulan E-UKM FC, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seramai tiga orang; Muhamad Hafifi Hamdan, Muhammad Syarifudin Hidayatullah Mhd Yusuf, dan Muhammad Naem Zolkapli telah dinobatkan sebagai johan PES 2019 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM6,760, beserta baucar Boost bernilai RM2,000, baucar Tambun, serta pingat.

Juara PES 2019 XPAX KEK, kumpulan E-UKM FC, (UKM).

Menurut salah seorang ahli kumpulan PES 2019, Muhammad Syarifudin Hidayatullah Mhd Yusuf, bermain game merupakan minatnya sejak kecil lagi, dan dia telah terlibat dalam pertandingan XPAX KEK ini apabila menyedari terdapat poster-poster yang dipaparkan di kampusnya.

"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT atas rezeki yang diberikan ini. Berkat sokongan kawan-kawan dan keluarga, kami telah dinobatkan sebagai johan bagi game PES 2019 ini. Saya berasa terharu dan bangga kerana dapat membawa wang tunai dan menaikkan nama UKM dalam pertandingan ini," katanya.

Syarifudin juga menyeru mahasiswa-mahasiswa yang berminat bermain permainan PES ini untuk menyertai kejohanan e-Sukan Kampus di samping dapat menambah kenalan dan masa depan yang cerah dalam e-Sukan ini.

Manakala, kumpulan Ultra Instinct, mahasiswa dari UKM yang terdiri daripada lima orang ahli kumpulan; Ashif Halaj Abdul Majid, Azirool Fareed Sunder, Muhammad Aiman Ahmad Ansary, Nik Nazrin Shahzan Nik Adlin Fariz, dan Hisyam Hardira pula telah dinobatkan sebagai johan bagi permainan Mobile Legends 2019 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,600 beserta baucar Boost bernilai RM4,000, baucar Tambun, serta pingat.

Juara Mobile Legends XPAX KEK, kumpulan Ultra Instinct, (UKM).

Menurut Ashif, sejak Februari 2018 lagi dia telah menyertai pertandingan Mobile Legends di kolejnya, dan sejak itu dia mula mengambil langkah untuk mencari empat lagi ahli kumpulan untuk menyertai pertandingan e-Sukan ini.

"Bermain Mobile Legends ini dapat menghilangkan stres kami daripada terus belajar, dan apabila menang dalam kejohanan ini, kami bangga kerana dapat mengharumkan nama UKM dan paling penting dapat membanggakan kedua ibu bapa kami," katanya.

Johan bagi Dota 2 pula dirangkul kumpulan KISA, mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terdiri daripada lima orang ahli kumpulan; Muhammad Zaki Mohd Sham, Muhammad Haziq Tusiman, Muhammad Irwan Ishak, Muhammad Haziq Abdul Razak, dan Fitri Adierul Kamarollzaman dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,600, beserta baucar Boost bernilai RM4,000, baucar Tambun, serta pingat.

Juara DOTA 2 XPAX KEK, kumpulan KISA, (UIAM).

Salah seorang ahli kumpulan KISA, Haziq Tusiman, berkata, mereka semua telah bermain Dota 2 sejak di asasi UIAM lagi.

"Ini merupakan kali kedua saya menyertai pertandingan ini. Saya bersyukur sangat kerana keluarga dan kawan-kawan kerana telah banyak menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada kami. Jadi, buat mahasiswa yang ingin menyertai e-Sukan Kampus ini mereka haruslah mengutamakan pelajaran terdahulu, dan siapkan tugasan yang diberi," katanya.

Bagi gelaran juara keseluruhan yang dinanti-nantikan oleh peserta bagi XPAX KEK ini telah disandang oleh universiti UMS yang terdiri daripada tiga orang ahli kumpulan; Abbas Hakeem Ridha Khalid, Muhammad Rizal Abdullah Salleh, dan Mohd Alim Hazzman Abd Rahman yang telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM 25,000.

UMS dinobatkan sebagai juara keseluruhan XPAX KEK (kumpulan A.C.E)

Menurut Alim Hazzman, salah seorang daripada ahli kumpulan A.C.E, mereka hanya layak ke peringkat suku akhir bagi game PES19, namun untuk keseluruhan permainan, Kampus UMS telah menjadi juara keseluruhan untuk ketiga-tiga permainan tersebut.

"Kami sememangnya tidak menyangkakan bahawa kami dapat menjuarai kejohanan yang julung kalinya dilaksanakan ini. Kami amat bersyukur atas kejuaraan ini dan sangat berterima kasih kepada penaja-penaja dalam program ini.
"Justeru, saya berharap mahasiswa lain dapat menyertai kejohanan e-Sukan Kampus ini kerana, ia adalah satu platform yang terbaik untuk melihat bakat-bakat yang ada pada mereka di samping dapat menjadi pelapis untuk mewakili negara, serta dapat peruntukan biasiswa untuk menyambung pelajaran jika memenangi kejohanan ini," katanya.

Bagi kemuncak XPAK KEK ini, orang ramai telah dihiburkan dengan persembahan hebat daripada artis-artis tanah air iaitu Indah Ruhaila, Ara Johari, Andi Bernadee, dan Bittersweet. Turut mengadakan persembahan bagi program ini juga ialah Syafiq Abdilah, Yus Zainal, Kid Raw, dan Aina Abdul.

Program ini tidak hanya untuk berseronok dan memperkasakan industri e-Sukan yang sedang meningkat naik, XPAX KEK dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut mengangkat konsep healthy gaming melalui kandungan aktiviti yang disediakan.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...