> KELANTAN > Alami iritasi teruk di muka membuatkan siswazah UniMAP cipta produk kecantikan oraganik sendiri
Alami iritasi teruk di muka membuatkan siswazah UniMAP cipta produk kecantikan oraganik sendiri
BERNAMA Isnin | 6 Mei 2019

KOTA BHARU - Minat mendalam dalam perniagaan dan pengalaman terkena iritasi teruk di muka akibat menggunakan produk mempunyai bahan kimia, mendorong seorang siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk mencipta produk kecantikan berasaskan bahan organik.

Siti Syahirah Azam, 30, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di UniMAP, berjaya menghasilkan serum dan empat jenis sabun muka hasil formula sendiri yang bebas bahan kimia daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi yang didapati di negara ini.

“Pernah mengalami iritasi yang teruk di muka selepas menggunakan produk yang mempunyai bahan kimia sejak tiga tahun lalu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk meneroka bahan semula jadi yang boleh dihasilkan dalam produk saya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Laghiz Komestik miliknya di sini.

Siti Syahirah yang berasal dari Wakaf Bharu mengambil masa empat tahun untuk menghasilkan produk itu dengan beberapa kali penambahbaikan menggunakan gabungan bahan seperti aloevera, arang, kunyit dan kulit kayu manis.

“Walaupun produk ini belum dipasarkan, namun ia sudah mempunyai pelanggan tetap dan maklum balas yang diperoleh sangat baik dan positif kerana mereka (pelanggan) mengakui keberkesanan bahan berasaskan organik yang digunakan dan ia tidak memberi kesan sampingan,” katanya yang mempunyai sebuah kilang di Pasir Tumboh.

Siti Syahirah berkata produk keluarannya dalam proses mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau yang dibantu tiga kakitangan dan mempunyai wakil jualan hampir di seluruh negeri berkata walaupun menyimpang jauh daripada kelulusan akademiknya, beliau tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil kerana kerja ‘makan gaji’ tidak memberikan kepuasan kepadanya.

“Selepas tamat belajar, saya pernah bekerja sebagai konsultan di sebuah syarikat swasta di negeri ini dengan gaji bulanan hanya RM1,500 namun hanya bertahan selama enam bulan sebelum saya mengambil keputusan untuk berniaga produk sendiri,” katanya.

Beliau kini mempunyai lapan wakil pengurus negeri di lapan negeri termasuk Kelantan.

Selain menghasilkan produk kecantikan, beliau turut mengusahakan perniagaan kedai makan yang berasaskan makanan Cina di Wakaf Bharu di sini sejak tahun 2014 serta menyediakan pakej perkahwinan termasuk katering mulai awal tahun ini.

Selain itu, bagi membantu graduan yang tidak mempunyai pekerjaan serta ibu tunggal yang ingin bekerja, Siti Syahirah berkata beliau bersedia membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat dengan tawaran gaji permulaan sebanyak RM2,000. - Bernama.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...