> > Cari duit poket tambah pendapatan selepas ayah berhenti kerja, inilah yang terpaksa mahasiswa ini lalui
Cari duit poket tambah pendapatan selepas ayah berhenti kerja, inilah yang terpaksa mahasiswa ini lalui
SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI Selasa | 7 Mei 2019

Mahu menambah duit poket selepas ayahnya berhenti kerja, membuatkan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini memberanikan diri untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan membaiki telefon bimbit.

Muhammad Alif Safwan Jasree, 22, memulakan perniagaannya itu ketika dia berada pada semester keempat untuk meringankan beban keluarganya selain menambah pendapatan sendiri.

Anak jati Termerloh, Pahang ini menambah, sebelum ini segala perbelanjaannya di UPSI ditanggung ayahnya namun setelah ayahnya berhenti kerja, mahasiswa ini terpaksa mencari jalan lain untuk mencari sumber kewangan.

"Disebabkan mak dan ayah berpisah, saya perlu mencari jalan untuk tambah pendapatan ketika belajar di UPSI ini.
"Saya bersyukur kepada ALLAH kerana mengirimkan khabar berita menerusi kawan saya yang memaklumkan bahawa ada sebuah kedai yang menjual alat ganti tulen telefon bimbit jenama terkenal dan ia menimbulkan satu idea untuk melakukan perniagaan membaiki telefon bimbit jenis sama dalam kalangan mahasiswa UPSI itu sendiri ketika saya berada dalam semester ketiga," katanya.

Belajar dari Youtube sepenuhnya

Jelasnya, idea itu berjaya direalisasikan apabila dia menyedari harga membaiki telefonbimbit jenis itu di kawasan berhampiran UPSI agak mahal dan mahasiswa juga kurang mampu untuk menggunakan khidmat tersebut.

Muhammad Alif Safwan

Justeru, tanpa berlengah dia terus memulakan langkah dalam melakukan perniagaan membaiki telefon bimbit dengan harga lebih murah kepada penuntut UPSI.

Ditanya di mana mempelajari membaiki telefon bimbit, Muhammad Alif Safwan berkata, dia hanya belajar membaiki telefon bimbit menerusi YouTube sepenuhnya.

"Walaupun sebenarnya mahu membaiki telefon jenama ini agak sukar kerana setiap model berbeza cara membaikinya, ditambah lagi semua komponen di dalamnya berbeza tetapi dengan minat yang tinggi terhadap gajet, alhamdulillah saya dapat menghafal cara membaiki semua model dengan mudah.
"Dengan pelanggan yang semakin ramai membuatkan saya perlu lebih pantas dan kini saya dapat menukar bateri telefon bimbit dengan kadar masa 10 minit sahaja selain dapat menjaga kualiti perkhidmatan yang saya tawarkan kepada pelanggan," katanya.

Jelas Muhammad Alif Safwan, sepanjang menjalankan perniagaan, dia juga tidak pernah terlepas dengan pelbagai cabaran daripada pelanggan selain terpaksa menunggu lama untuk menerima stok barangan.

Antara peralatan yang digunakan oleh Muhammad Alif Safwan untuk menukar bateri.

Selain itu, dia menambah, ada barang yang diterima mengalami kerosakan menyebabkan terpaksa ditukar dan menunggu lagi untuk tempoh yang lama.

"Namun begitu, saya bersyukur kerana selama menjalankan perniagaan membaiki telefon bimbit ini, tiada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan dan harga yang ditawarkan walaupun ada barangan yang tiba lewat.
"Saya bercadang pada semester hadapan untuk membeli barang-barang tersebut secara borong.
"Barang akan sentiasa ada dan membolehkan saya untuk terus baiki apabila diminta pelanggan atau boleh tukar barang lain dengan segera jika ada kerosakan," katanya.

Jangan takut untuk jatuh

Muhammad Alif Safwan sempat menitipkan nasihat kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yangmahu menceburi perniagaan agar tidak takut untuk mencuba dan jangan pernah malu walaupun banyak persaingan di sekeliling kita.

Muhammad Alif Safwan (kiri) menukar bateri telefon milik pelanggannya.
"Jika kita ikhlas dalam menjalankan perniagaan, kita tetap boleh maju dan untung walaupun berdepan dengan ramai pesaing.
"Apa yang penting, perlu memberikan impresi yang baik terhadap pelanggan agar mereka selesa dengan perniagaan kita dan akan datang kembali serta syorkan kepada rakan mereka. Jangan takut untuk jatuh dan terus bangkit semula jika niat kita betul-betul ikhlas," katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...