> > Nekad berhenti kerja untuk jaga ibu uzur, tak sangka rezeki berganda yang bekas pensyarah ini peroleh
Nekad berhenti kerja untuk jaga ibu uzur, tak sangka rezeki berganda yang bekas pensyarah ini peroleh
ROSILAWATI ROSEDI Selasa | 7 Mei 2019

TEMERLOH - Mengambil keputusan nekad berhenti bekerja pada April tahun lalu, Mohamad Roslan Din, 31, enggan menoleh ke belakang dan keputusannya itu tidak sia-sia apabila bergelar usahawan berjaya.

Dalam tempoh tidak sampai setahun, bekas pensyarah kolej ini membuka kafe Mr Sushi Temerloh yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

Anak jati Temerloh ini juga membuktikan kemampuannya bergelar usahawan apabila turut menceburkan diri dalam perniagaan spa khusus untuk lelaki iaitu Sado Spa.

Mr Sushi Temerloh yang beroperasi secara rasminya Ogos tahun lalu dikenali dengan keunikan rasa tempatan.

Sushi berintikan nasi lemak, pais patin, sate dan durian menjadi tarikan buat penggemar makanan Jepun itu yang dahagakan kelainan.
Roslan menunjukkan sushi yang ditawarkan di kafe miliknya.

Dalam pada itu, sifatnya yang berani mencuba mendorong Mohamad Roslan membuka spa khusus untuk kaum lelaki April lalu memandangkan tiada khidmat itu di bandar Temerloh setakat ini.

Bukan tugas mudah

Lulusan Diploma Seni Kulinari dari Kolej PTPL itu mengakui bukan mudah untuk mengendalikan dua perniagaan serentak.

“Saya kena pandai bahagikan masa sebaik mungkin supaya kedua-dua perniagaan ini berjalan lancar.
Roslan (dua dari kiri) bertuah kerana mendapat sokongan kuat daripada ahli keluarganya.
“Penat memang penat kerana berulang-alik ke sana setiap hari, dari kafe ke spa. Tapi saya bertuah kerana ramai membantu dan turut bekerja keras menjayakan perniagaan ini.

“Buat masa ini saya bersyukur kerana kafe semakin dikenali dan spa yang diusahakan mula mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan bukan datang sekelip mata sebaliknya pelbagai ranjau dan cabaran perlu dihadapinya.

“Sebelum saya buka kafe saya menjual sushi di pelbagai lokasi seperti pasar malam dan car boot sale di pelbagai daerah.

Hidangan sushi di kafe milik Roslan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Dari situ saya kumpul modal sendiri tanpa sebarang pinjaman bank untuk buka Mr Sushi Temerloh. Namun hingga sekarang saya masih pergi menjual di pelbagai lokasi selain di kafe,” katanya.

Anak ke-10 daripada 11 beradik itu berkata, pada awalnya keputusan berhenti kerja diambil kerana ingin menjaga arwah ibunya yang uzur.

“Saya ambil keputusan balik kampung dan menjaga ibu. Dari situ timbul idea nak menjual sushi. Pada mulanya saya beroperasi di gerai di Taman Temerloh Jaya.
Roslan membahagikan masa di kafe dan spa miliknya setiap hari.

“Selepas ibu meninggal pada April tahun lalu, saya ambil keputusan untuk membuka kafe.

“Sebenarnya sudah ada yang berminat dan menjadikan jenama ini sebagai francais tetapi saya belum bersedia. Kena cukupkan ilmu dan pengalaman sebelum pergi ke peringkat seterusnya,” katanya yang berhasrat untuk membuka satu lagi cawangan kafenya di Jengka dan pada masa sama menjual sushi menerusi food truck.
Roslan (tengah) bersama ‘orang kuat’ yang banyak membantu di kafe Mr Sushi Temerloh.

Produk spa sendiri

Dalam pada itu katanya, dia terus menimba ilmu dan kemahiran untuk memastikan pelanggan spa miliknya yang terletak di Taman Temerloh Jaya berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan.

Menurutnya, dia turut menyertai kursus-kursus jangka pendek untuk menambahkan kemahirannya.

Roslan turut membantu di spa miliknya.

Dia kini memiliki 11 pekerja termasuk tiga di spa dan berhasrat mengeluarkan produk spa sendiri serta menawarkan lebih perkhidmatan selepas Aidilfitri.

Dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, Sado Spa menawarkan perkhidmatan menggunting rambut rawatan rambut, muka, badan, urutan dan mandi bunga.

*Rencana ini dipetik daripada ruangan Usahawan Kita terbitan Sinar Harian (Edisi Tengah) Selasa 7 Mei 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...