> FYI > Bidang Genetik teroka pelbagai penemuan bermanfaat
Bidang Genetik teroka pelbagai penemuan bermanfaat
NAHRIZUL ADIB KADRI Rabu | 8 Mei 2019

Bidang genetik merupakan salah satu cabang bidang sains biologi yang memerihalkan pengajian mengenai gen, lokasi penyimpanan maklumat genetik melalui susunan ‘deoxyribonucleic acid’ (DNA) di dalam kromosom. Susunan asid-asid adenine, guanine, cytosine, dan tyrosine inilah yang menentukan penghasilan molekul-molekul protein tertentu yang seterusnya menentukan arah perjalanan tindak balas kimia di dalam setiap sel, organ, dan keseluruhan organisma.

Pengajian genetik pada awalnya hanya berkisar mengenai pemahaman dari aspek sifat biologi yang ‘terwaris’ dari generasi sebelumnya.

Bidang genetik bermula dengan kajian mengenai tanaman kekacang - Gambar sekadar hiasan.

“Pada penghujung kurun ke-19, kajian genetik telah bermula apabila Gregor Mendel, seorang saintis dan agamawan dari biara Katolik Augustine menjalankan kajian mengenai sifat warisan tanaman kekacang. Beliau dapati sifat-sifat tertentu seperti saiz ketinggian pokok dan warna bunga pada tanaman kekacang dipengaruhi oleh tanaman asal,” kata pensyarah dalam bidang penyelidikan genetik dan biologi molekul di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Zulqarnain Mohamed.

Walau bagaimanapun, bidang genetik kini meliputi bidang kajian yang lebih luas, dan turut mengambil kira aspek fungsi dan sifat gen, dalam menentukan kesannya kepada fungsi sel dan organisma secara keseluruhan.
Kajian genetik turut meliputi aspek kesan penyakit kepada populasi manusia - Gambar sekadar hiasan.
“Konteks kajian bidang genetik juga tidak terhad di peringkat sel sahaja, malah turut merangkumi peringkat organisma dan populasi. Keluasan spektrum kajian ini membolehkan bidang genetik ini diterokai dari pelbagai sudut bagi menghasilkan penemuan yang bermanfaat,” kata Prof. Dr. Zulqarnain lagi.

Asas kelayakan

Di antara keperluan asas kelayakan bidang ini adalah kemasukan ke program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Genetik dan Biologi Molekul, atau yang setaraf, di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi.

“Untuk program pengajian yang ditawarkan di UM contohnya, pemohon mestilah lulus pengajian peringkat matrikulasi atau STPM dengan PNGK minima 3.0, atau yang setaraf dengannya. Selain itu, terdapat juga keperluan tambahan untuk lulus sekurang-kurangnya dengan B di dalam subjek Biologi, dan Band 2 di dalam MUET,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Zulqarnain, walaupun bidang genetik merupakan antara cabang sains paling menarik untuk diterokai dari aspek penyelidikan atas dasar potensi manfaatnya yang besar dalam membantu mengesan dan memperbaiki sebarang kelemahan genetik organisma, siswazah dari jurusan ini masih mempunyai pelbagai pilihan kerjaya.

Prof. Dr. Zulqarnain Mohamed.

“Oleh kerana keperluan kursus yang tinggi terhadap pemahaman dan penerangan konsep biologi yang abstrak, siswazah jurusan ini juga boleh memulakan kerjaya sebagai pegawai eksekutif di firma pengurusan dan kewangan, selain menceburi bidang kewartawanan dan perhubungan awam,” katanya.

Kesesuaian pelbagai jawatan

Jawatan pegawai sains di pelbagai sektor awam dan swasta juga merupakan pilihan yang boleh diterokai siswazah jurusan genetik dan biologi molekul. Berbeza dengan penyelidik pascaijazah, pegawai sains di sesebuah institusi atau agensi bertanggungjawab menjadi sumber rujukan kepada pihak pengurusan dalam membuat keputusan yang berkaitan aspek khusus operasi, dan juga keselamatan pekerja dan aset syarikat.

“Untuk mereka yang berminat melakukan penyelidikan, mereka harus memilih laluan untuk mendaftar sebagai mahasiswa pascaijazah. Bidang penyelidikan yang disediakan pula amat bergantung kepada bidang kepakaran penyelidik yang ada di institusi tersebut.

“Di UM contohnya, mereka berpeluang untuk melakukan penyelidikan dalam bidang genetik mikrobial yang melihat dari aspek diagnosis dan kawalan penyakit bawaan mikrob; bidang pengesanan penyakit genetik manusia; bidang genetik kuantitatif yang melihat dari aspek populasi tanaman dan haiwan; bidang genetik molekul yang melihat dari aspek penambahbaikan molekul; dan bidang forensik molekul yang turut meliputi pengecaman DNA,” kata Prof. Dr. Zulqarnain lagi.

Keluasan peluang yang ada dalam bidang genetik dan biologi molekul ini secara tidak langsung memerlukan mereka untuk sentiasa positif dalam usaha memulakan kerjaya. Sifat tidak putus asa dalam menghadapi cabaran, dan semangat berpasukan yang baik, merupakan antara ciri siswazah yang diperlukan industri.

INFO:

- UM merupakan universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program ijazah sarjana muda dalam jurusan genetik pada tahun 1966.

- Nama program ini diubah kepada Ijazah Sarjana Muda Sains Genetik dan Biologi Molekul pada tahun 1999 untuk menunjukkan penekanan terhadap kepentingan aspek biologi molekul di dalam bidang pengajian genetik.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...