> CETUSAN > Wanita dan skizofrenia sering disalah erti
Wanita dan skizofrenia sering disalah erti

Skizofrenia merupakan salah satu penyakit mental yang sering disalah tafsir dan mendapat stigma yang paling tinggi. Malahan, perkataan ‘gila’ yang sering kita dengari selalu dikaitkan dengan simptom – simptom penyakit ini.

Walaupun jumlah pesakit ini sangat kecil, 1% menurut kajian, akan tetapi isu-isu tempatan dan luar negara yang negatif sering dikatakan dilakukan oleh mereka yang mengalami skizofrenia, di antaranya adalah keganasan, isu bunuh dan juga bunuh diri.

Seringkali juga, isu ini dilaporkan oleh kaum lelaki, maka adakah skizofrenia boleh didapati dalam kalangan wanita? Jika ia, adakah adanya persamaan antara lelaki dan wanita jika berpenyakit skizofrenia?

Kajian dan juga pengalaman klinikal menunjukkan bahawa skizofrenia tidak mengenali jantina. Malahan juga, ratio di antara lelaki dan wanita adalah sama. Dalam erti kata lain, kebarangkalian mendapat skizofrenia adalah sama di antara kedua-dua jantina. Tetapi, menurut kajian, kebiasaannya kaum lelaki akan lebih awal menunjukkan simptom dan didiagnosis.

Satu sebab dikatakan bahawa adanya hormon wanita yang mungkin mengurangkan risiko penyakit ini semasa awalan, terutamanya mengikut teori estrogen skizofrenia. Satu lagi teori untuk lelaki didapati lebih sering didiagnosis adalah disebabkan lelaki perlu lebih agresif untuk mendapat kerja dan diperkenalkan kepada tekanan lebih awal berbanding wanita. Akan tetapi, jika adanya kaum keluarga yang adanya penyakit mental dan/atau skizofrenia maka risiko diagnosa awal lebih tinggi bagi kedua-dua jantina.

Kebanyakan simptom skizofrenia adalah sama dalam kalangan lelaki dan wanita. Kebiasaannya diagnosa akan diberikan jikalau adanya simptom positif dan negatif skizofrenia yang aktif iaitu berterusan untuk sebulan. Kadang-kadang simptomnya datang dan pergi dan kebiasaannya diagnosa akan diberikan jika simptomnya melarat untuk enam bulan dan lebih.

Antara simptom positif dan negatif ini termasuk; halusinasi, delusi, kecelaruan pertuturan (disorganised speech), kecelaruan tingkah laku (disorganised behaviour), simptom negatif yang termasuk antaranya, simptom depresi, suka menyendiri, kurang motivasi, kurang bercakap, kurang aktif (avolition)

Simptom boleh terhasil dari pelbagai deria tubuh, termasuklah penglihatan dan pendengaran -Gambar sekadar hiasan
Untuk diagnosa skizofrenia, perlu dipastikan bahawa tiada penyakit lain seperti kemurungan klinikal, bipolar dan masalah kesihatan fizikal lain seperti sawan, barah atau infeksi otak yang juga boleh menunjukkan simptom yang sama kadang kala.

Maka, tidak mustahil untuk doktor yang merawat mencadangkan agar pesakit diminta untuk mendapatkan kajian imej seperti imej CT ataupun MRI, ataupun mendapat ujian darah sebelum diagnosa tepat diberikan. Ini penting memandangkan, rawatan untuk penyakit fizikal seringkali diperlukan cepat berbanding jika penyakitnya skizofrenia.

Seringkali juga didapati kaum lelaki akan mempunyai lebih simptom negatif berbanding wanita. Kurangnya simptom negatif ini dan juga usia lambat untuk mendapat diagnosis sering dikaitkan juga dengan prognosis yang lebih baik. Kaum wanita juga didapati kurang menyalahgunakan dadah yang juga ada kaitan dengan penyakit ini.

Biasanya dadah digunakan untuk merawati diri sendiri kerana gangguan disebabkan simptom seperti halusinasi contohnya. Ini merupakan satu isu positif bagi kaum wanita yang adanya skizofrenia. Satu peringatan adalah dadah ganja didapati mempercepatkan simptom skizofrenia, maka ia perlu dijauhi terutamanya jika ahli keluarga mengalami masalah ini!

Apakah jika didapati adanya skizofrenia, ia boleh dirawat? Jawapannya adalah, YA! Skizofrenia boleh dirawat dan rawatan awal berkesan untuk mengurangkan dan menghilangkan simptom dan untuk segelintir pesakit, mereka boleh berfungsi seperti sebelum sakit.

Kadangkala akan kehilangan sedikit kebolehan, tetapi ada kes di mana pesakit dapat bekerjaya dan hidup seperti biasa. Tetapi rawatan mesti digunakan setiap hari tanpa lupa dan diagnosis dan rawatan perlu diberikan awal. Malangnya, mengikut kajian juga, lebih 70% pesakit yang baru diberikan diagnosa tidak mengikut rawatan dengan jitu dan sering lupa ubatan.

Malah, ada ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak peka dan percaya akan diagnosis ini menyebabkan ada kes di mana ahli keluarga selepas keluar wad tidak bekerjasama di dalam rawatan pesakit. Sering juga kedengaran bahawa bila dah melarat sahaja, barulah pesakit akan ke hospital dan kadangkala, terlambat!

PROF. MADYA DR. AMER SIDDIQ AMER NORDIN.

Kajian kami di Universiti Malaya menunjukkan bahawa ia mengambil lebih kurang lima tahun sakit dan tiga tahun dengan simptom halusinasi dan delusi baru ke hospital. Satu jangka masa yang terlalu panjang.

Walaupun rawatan sedia ada berkesan dan boleh membantu, ada isu-isu dalam kalangan wanita yang perlu diberikan perhatian. Ubatan lama boleh memberikan kesan sampingan pergerakan yang lebih sensitif di kalangan wanita yang menggunakannya, juga ada antara ubatan ini yang boleh menyebabkan selera makan naik dan isu kegemukan.

Jika tidak dikesan dan dibincangkan, ia akan menyebabkan kurang minat untuk meneruskan rawatan. Ada juga kes di mana ubatan yang diberikan menaikkan hormon prolaktin yang mungkin menyebabkan masalah haid. Maka simptom tiada dan pesakit baik akan tetapi kadangkala rasa tidak ‘lengkap’ oleh kerana tiadanya haid bulanan.

Wanita yang masih di dalam umur reproduktif juga perlu diberi perhatian khusus. Skizofrenia tidak menafikan hak dan kebolehan untuk menjalinkan hubungan, berkahwin dan mengandung. Tetapi, kedua-dua pihak perlu sedar bahawa dengan penyakit kronik sebegini, perbincangan awal untuk berkahwin dan mendapat anak adalah penting. Perbincangan bersama doktor yang merawat juga penting seawal sedar dan inginkan zuriat agar satu perancangan yang baik dapat dilakukan untuk memastikan ibu dan bakal anak selamat dan sihat.

Kesimpulannya, penyakit skizofrenia tidak mengenal jantina tetapi wanita yang berpenyakit ini mempunyai isu-isu unik yang perlu diberikan perhatian dan dibincangkan bersama. Rawatan sedia ada berkesan dan selamat digunakan dan lagi awal dikesan, lebih baik prognosisnya.

* Penulis merupakan pakar perubatan di Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), dan Pengarah, Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares).


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...