> CETUSAN > Hijrah nafas baharu sempena Ramadan
Hijrah nafas baharu sempena Ramadan
MOHD ZAINI OTHMAN Jumaat | 10 Mei 2019

Apabila Kementerian Kesihatan Malaysia yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad tegas dalam melaksanakan peraturan larangan merokok di premis makanan mulai awal tahun ini, ia menimbul rasa kurang senang buat perokok walaupun disambut baik oleh masyarakat. Ada persepsi ditimbulkan kerajaan mendiskriminasikan golongan perokok, dianggap sebagai musuh kesihatan, malah dikaitkan juga dengan pencabulan hak asasi manusia.

Tetapi sangkaan itu tidak benar sama sekali, Dr. Zulkefly semasa Sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baharu Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2019 di Bagan Lalang, Sepang baru-baru ini menyatakan kementeriannya bukanlah tidak sayang kepada golongan perokok dan tidak pernah menganggap mereka sebagai musuh. Tetapi tegasnya, langkah Kementerian Kesihatan ini adalah untuk melindungi keselamatan rakyat yang terancam kepada asap rokok. Penguatkuasaan ini juga dimulakan dengan bentuk notis amaran sebagai bentuk didikan bukannya dihukum terus dengan denda yang berat.

Melalui pengamatan penulis, notis amaran ini bukanlah satu-satu didikan cara halus untuk memujuk golongan perokok ini meninggalkan tabiat yang tidak baik kepada kesihatan mereka dan orang sekeliling, malah beberapa bentuk didikan halus lain turut diambil Kementerian Kesihatan. Satu yang sinonim apabila menjelang bulan Ramadan ialah Program Nafas Baharu Ramadan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan sejak 2013 lagi dengan mempromosikan Ramadan sebagai titik permulaan untuk berhenti merokok.

Objektif program ini jelas, untuk menggalakkan para perokok ini berikrar dan memulakan proses berhenti merokok secara berperingkat agar tidak meneruskan lagi tabiat itu selepas berakhirnya Ramadan.

Terdapat kajian yang dijalankan melaporkan 95 peratus perokok beragama Islam didapati mengakui mereka lebih mudah berhenti ketika bulan Ramadan kerana tempoh sekitar 14 jam sehari menjalani ibadah puasa membantu membentuk disiplin bagi perokok dengan menghindari mereka daripada pengambilan rokok.

Kajian kesihatan telah lama membuktikan merokok membahayakan kesihatan dan punca kepada penyakit berbahaya yang membawa maut. Bukan sahaja kesihatan perokok terjejas sebaliknya mereka yang berada berdekatan khususnya ahli keluarga juga terdedah kepada ancaman kesihatan.

Sesuatu yang perlu disedari bahawa kesan asap rokok basi yang dihasilkan perokok tetap berlegar di ruangan di mana ia dihasilkan walaupun untuk tempoh yang lama serta masih bertoksik kerana mengandungi logam berat, karsinogen atau bahan penyebab kanser dan bahan radioaktif.

Mohd Zaini Othman

Keadaan ini yang menyebabkan ahli keluarga juga akan turut terjejas secara langsung kepada bahana perbuatan merokok. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun dengan 30 peratus daripadanya disebabkan oleh kanser seperti paru-paru, mulut, esophagus dan tekak.

Saban tahun juga, kira-kira 10,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonary kronik dan ia memberi kesan besar kepada negara apabila kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti. Di dalam Islam, ALLAH SWT melalui firman-Nya di dalam Al-Quran jelas melarang hamba-Nya mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan membazirkan harta dan boros untuk sesuatu yang sia-sia.

Pilihan untuk memulakan nafas baharu bermula Ramadan ini sentiasa ada, pintu Klinik Berhenti Merokok di hospital kerajaan sentiasa terbuka, Infoline Berhenti Merokok di talian 03-88834400 bersedia menanti pemanggil dan panduan berhenti merokok juga boleh dilayari 24 jam di laman sesawang www.jomquit.gov.my. Akhirnya, sikap memainkan peranan utama dalam mengabaikan kehendak merokok dan ia dapat dilaksanakan jika mempunyai keazaman yang kuat. Tepuk dada tanyalah selera.

Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...