> Hebat UIAM! Rupa-rupanya inilah keistimewaan robot sphera ini sehingga menang emas
Hebat UIAM! Rupa-rupanya inilah keistimewaan robot sphera ini sehingga menang emas

KEBIASAANNYA pergerakan robot amat terhad terutamanya robot yang berkaki. Malah pada permukaan yang tidak stabil, robot akan mudah jatuh.

Pergerakan yang terbatas itu telah memberi inspirasi kepada Penolong Profesor, Dr Abd Halim Embong dari Jabatan Kejuruteraan Mekatronik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menghasilkan robot berbentuk sphera yang kekal stabil dalam apa jua keadaan.

Menurutnya, idea menghasilkan robot berbentuk sphera itu bertujuan memperluaskan pergerakan robot agar tidak terhad.

“Sebelum ini, robot yang dihasilkan boleh berjalan namun, apabila robot itu terjatuh ia sukar untuk bangun kembali.
“Oleh itu, robot berbentuk sphera ini dihasilkan yang mana jika ia terlanggar apa jua halangan, robot ini masih mampu untuk kekal dan stabil pada kedudukannya dengan menggunakan konsep pendulum.

“Melalui konsep itu, hanya bahagian luar sahaja yang bergerak, manakala bahagian dalam robot masih kekal,” katanya ketika sesi temu bual bersama Sinar Harian di UIAM kampus Gombak, Selangor baru-baru ini.

Abd Halim menunjukkan robot ciptaannya yang berkeupayaan untuk bergolek dan melantun serta dilengkapi kamera, juga alat pengesan.

Kamera dan pemasangan

Abd Halim berkata, robot yang dicipta itu memiliki keupayaan untuk bergolek dan melantun serta dilengkapi kamera juga alat pengesan.

“Robot ini bergerak secara mobile dan ia dikawal menggunakan alat kawalan jauh selain berkeupayaan untuk bergerak sendiri,” katanya.

Memberitahu lanjut, keupayaan robot untuk kekal membolehkan aksesori tambahan diletakkan pada robot tersebut.

“Sebelum ini ia hanya boleh bergolek dan melantun. Namun, selepas melalui proses tambah baik dan keperluan semasa, pada robot ini telah diletakkan kamera serta sensor kemanusiaan,” katanya.

Jelasnya lagi, dengan adanya kamera, robot itu boleh merakam imej dan digunakan secara stream online. Selain itu, Ia juga boleh merakam video dan boleh disimpan di dalam kad memori.

Memenangi pingat emas bagi kategori inovasi dan ciptaan pada Pameran MTE'19 baru-baru ini.

“Robot ini juga telah diletakkan pengesan suhu dan gas. Justeru, robot ini sesuai digunakan untuk memantau keadaan atau ujian persekitaran khususnya untuk industri.

“Oleh sebab itu, robot berbentuk sphera ini telah ditambah baik dengan ciri-ciri untuk kegunaan lebih meluas terutama untuk industri yang memerlukan pemantauan di kawasan yang sukar dimasuki seperti keselamatan petrol, paip dan gas, penyaman udara dan sebagainya,” katanya.

Tambah baik

Menurut Abd Halim, inovasi robot sphera itu bermula sejak 2015, namun beliau bersyukur kerana ciptaannya itu akhirnya diiktiraf menerusi kejayaannya memenangi pingat emas dalam kategori inovasi dan ciptaan pada Pameran Ekspo Teknologi Malaysia 2019 (MTE19) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Abd Halim (tiga, kiri) bersama rakan penyelidik lain dari UIAM pada Pameran MTE'19 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Pencapaian itu adalah satu penghargaan dan pacu semangat saya untuk menambah baik lagi inovasi ini di masa akan datang dan berharap robot ini dapat digunakan dalam industri berat kelak.

“Oleh itu, robot ini akan sentiasa melalui proses tambah baik dan peningkatan sistem dengan ciri-cirinya lebih tahan lasak bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya.

Katanya, ciptaan robot sphera itu telah dipatenkan dan telah ada pihak yang berminat untuk mengkomersialkannya.

*Rencana ini dipetik daripada sisipan Bisnes Sinar (Inovasi) terbitan Sinar Harian Isnin 13 Mei 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...