> IKON > Tak sangka, kerana minat Tokoh Siswa Kebangsaan ini sanggup 'bersarapan' lari 20 pusingan keliling stadium
Tak sangka, kerana minat Tokoh Siswa Kebangsaan ini sanggup 'bersarapan' lari 20 pusingan keliling stadium

MINAT dalam sukan sejak bangku sekolah terutama pencak silat, ditambah kecenderungannya dalam kepimpinan mahasiswa dan aktiviti kesukarelawan merupakan antara kriteria Muhamad Syafik Rahmat dipilih Tokoh Siswa Kebangsaan pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 (ATS) Mac lalu.

Menurut Syafik, 24, kemenangan itu dilihat sebagai satu amanah yang cukup besar untuknya terus memberikan inspirasi kepada mahasiswa lain dan komuniti.

"Ia juga sebagai pemangkin semangat terus bekerja keras memberikan semampu yang boleh untuk berkhidmat kepada masyarakat," kata mahasiswa jurusan Sains Komputer (Rangkaian & Keselamatan Komputer) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Buat keputusan

Walau bagaimanapun, kata anak bongsu daripada empat beradik kelahiran Johor Bahru, Johor ini lagi, di sebalik anugerah berprestij tersebut, banyak perkara terpaksa 'dikorbankan' termasuk impiannya dalam sukan yang sangat diminati.

Syafik bersama keluarga, antara pendorong utamanya.

Menurutnya yang telah beberapa kali mewakili pasukan pencak silat Johor dan pernah 'merasai' Juara Kategori Seni bersama rakan-rakan lain ketika di Kejohanan Pra-Asean School Games, kedudukan keempat bagi kategori Silat Seni Solo Kreatif Putra pada Sukma 2014 menguatkan semangatnya untuk memperbaiki tempat serta mengimpikan pingat pada edisi berikutnya iaitu Sukma 2016.

"Saya tak boleh lupa apabila perlu membuat keputusan untuk memilih sama ada ingin terus bersama dalam kem pasukan pencak silat Johor Sukma 2016 atau memilih tanggungjawab saya untuk mengetuai delegasi kumpulan mahasiswa ke Eropah.

"Nampak mudah, tetapi berat untuk saya buat keputusan kerana setiap atlet muda pastinya ingin mewakili negeri masing-masing dan menyumbang pingat terutama dalam Sukma.

"Lagipun ketika itu saya masih di peringkat diploma di UTM Kuala Lumpur dan padat dengan pelbagai ujian, kuiz serta tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa, jadi sedikit sebanyak memberi kesan masa yang terhad untuk saya balik training di kem latihan pusat di Johor," katanya yang memilih menarik diri daripada pasukan bagi memberi tumpuan tanggungjawab lain.

"Saya perlu berbesar hati untuk melepaskan angan-angan memiliki pingat Sukma pada 2016, tetapi alhamdulillah, ALLAH SWT telah membalas segala pengorbanan dan niat tersebut dengan memberi rezeki memiliki anugerah Menteri Pendidikan yang telah membawa gelaran sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan," tambahnya.
Syafik ketika menerima Anugerah Menteri Pendidikan yang disampaikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (empat dari kiri) pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018, Mac lalu.

Imbas Syafik lagi, pengalaman dan kenangan sepanjang menceburi bidang sukan juga antara paling 'berharga' buat dirinya.

"Saya masih ingat lagi pengalaman dan kenangan sepanjang menceburi bidang sukan ini yang mana kami pernah kena training awal pagi dan kadangkala pernah juga perlu membuat latihan tambahan sehingga lewat pagi kerana nak cover semula latihan yang tertinggal.
"Kebiasaannya kalau sebelah pagi, kami sering 'bersarapan' berlari keliling Stadium Larkin sebanyak 20 pusingan atau joging jarak jauh di sekitar kawasan Larkin. Ya, penat tapi bila ingat kembali, seronok sebenarnya pengalaman tersebut," katanya lagi.

Penglibatan dalam aktiviti

Memilih jurusan Sains Komputer, akui Syafik ialah bagi mendapatkan pengetahuan asas dalam pembangunan teknologi di samping bidang ini dilihat semakin mendapat tempat dalam industri pekerjaan terutamanya dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 yang rancak berlaku di seluruh dunia.

"Saya juga sering terlibat dengan aktiviti sukarelawan kerana beranggapan, siapa saya pada hari ini adalah atas doa dan khidmat sokongan komuniti sekeliling. Maka saya selesa untuk memberikan semula khidmat bakti saya kepada komuniti semampu yang boleh.

"Walau bagaimanapun, kini saya banyak terlibat dalam bidang kepimpinan dan pembangunan mahasiswa. Jadi, saya cuba gabungkan penglibatan saya dalam bidang kepimpinan dan pembangunan mahasiswa itu dengan minat saya terhadap sukan," katanya yang turut aktif dalam NGO Rakan Kembara Malaysia (RKM) dan Gerakan Belia 4B.

Syafik juga akan memastikan komitmen terhadap aktiviti-aktiviti kesukarelawanan, kepimpinan dan sukan terutama apabila melibatkan latihan tidak menjejaskan pembelajarannya.
"Biasanya, saat rakan-rakan lain sedang tidur, saya perlu kerja lebih masa untuk melihat semula slaid pengajaran yang diajar pensyarah pada hari tersebut untuk catch up semula topik dipelajari di kelas," jelasnya lagi.
Segala pengorbanannya berbalas dengan anugerah diterima.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...