> > Apakah risiko berkaitan persekitaran? Pensyarah ini ada penjelasan takrifannya...
Apakah risiko berkaitan persekitaran? Pensyarah ini ada penjelasan takrifannya...
AHMAD NUR AZAM AHMAD RIDZUAN Selasa | 14 Mei 2019

PERSEKITARAN selesa dan kondusif adalah jaminan kepada kehidupan yang aman, tenang dan tenteram kepada setiap insan di muka bumi ini. Keadaan ini amatlah penting kepada kita warga bumi kerana kehidupan seperti ini adalah salah satu faktor bagi memenuhi kehendak dan keperluan insan bergelar manusia.

Pencemaran bau, sampah sarap dan pepejal serta yang sebagaimana berlaku baru-baru ini, pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim menjadi topik perbualan masyarakat seantero dunia.

Umum mengetahui sisa toksik ini bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada penduduk sekitar, malahan lebih memudaratkan lagi mendatangkan risiko yang amat tinggi terhadap keadaan kawasan sekitar yang telah terjejas.

Antaranya, kolam takungan air yang membekalkan air terawat kepada penduduk turut terkesan bukan sahaja bagi jangka masa pendek malahan memberi impak lebih besar bagi jangka masa panjang. Hal ini akan menjadi lebih serius kerana pelbagai risiko bakal dialami, dirasai serta ditanggung penduduk dan kawasan sekitar seperti risiko wabak penyakit kesan daripada sisa toksik berkenaan.

Pencemaran sisa toksik hasil daripada sisa baja kimia mengandungi ‘ethyl ether’ yang telah berlaku di Kampung Sungai Lalang, Semenyih antara contoh terdekat dapat kita lihat serta perlu diambil perhatian secara serius.

Risiko dapat didefinisikan sebagai kebarangkalian sesuatu perkara yang mungkin atau bakal berlaku atau dengan kata mudahnya ketidakpastian sesuatu perkara (event) yang boleh berlaku berdasarkan kepada sesuatu keadaan.

Pelbagai contoh dapat diambil bagi merujuk kepada pengertian di atas. Antaranya ketidakpastian kita terhadap kemalangan yang mungkin berlaku kepada kita atau orang lain seperti kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya, kehilangan nyawa akibat lemas di sungai atau laut dan pelbagai lagi perkara sama ada berpunca dari kecuaian kita sendiri atau kesilapan orang lain.

Kemalangan jalan raya terutama di lebuh raya, kejadian lemas di pantai terutamanya ketika tibanya musim tengkujuh, kecurian data peribadi, pemberhentian kerja atas dasar ingin mengurangkan beban kewangan syarikat antaranya contoh yang dapat diberikan bagi merujuk pengertian risiko.

Perlu difahami di sini, setiap orang perlu memahami takrifan risiko agar mereka sentiasa peka dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara.

Tumpahan minyak antara yang kerap menyebabkan pencemaran air. (Gambar sekadar hiasan)

Kesan dan impaknya amatlah luas dan mendalam yang mana akhirnya boleh menjurus kepada masalah kesihatan seperti masalah emosi, masalah kesihatan mental seperti kemurungan, dan pelbagai lagi masalah-masalah lain bakal ditanggung jika kita sendiri tidak bersedia, mendalami dan memahami maksud risiko ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) serta pelbagai agensi lain lagi sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan telah pun merangka pelbagai inisiatif termasuklah memberi dan menyediakan maklumat-maklumat mengenai keselamatan, kesihatan serta maklumat-maklumat berkaitan dengan langkah-langkah yang sesuai diambil pengguna.

Antaranya, iklan-iklan sama ada di media sosial mahupun media-media cetak bagi tujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pengguna agar mereka jelas dan faham mengenai pelbagai kejadian yang mungkin sedang dan bakal berlaku di keadaan sekeliling mereka.

Merujuk keadaan di Malaysia pada ketika ini, masyarakat sekeliling kita masih belum jelas dengan pengertian risiko dan kesannya terhadap diri dan keluarga mereka. Memang benar, antara cadangannya adalah dengan mengambil insurans sebagai perlindungan diri.

Akan tetapi, persoalannya di sini, berapa ramaikah masyarakat kita yang sudah pun memiliki perlindungan peribadi mahupun perlindungan berkelompok ini? Adakah mereka jelas apakah tujuan perlindungan ini kepada mereka? Persoalan seperti inilah mereka perlu jawab. Maka benarlah kata-kata orang bijak pandai, “Tepuk dada tanya iman” kita.

AHMAD NUR AZAM

*Ahmad Nur Azam Ahmad Ridzuan ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Aktuari, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...