> ISU > Insentif untuk bantu siswazah
Insentif untuk bantu siswazah
DR CHANG PENG KEE Rabu | 15 Mei 2019

LENGKAP satu tahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan Persekutuan, pelbagai inisiatif telah cuba dilaksanakan demi kesejahteraan kehidupan rakyat dalam usaha pencapaian Teras 1 Manifesto PH yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu ‘Meringankan Bebanan Kehidupan Rakyat’.

Manifesto itu yang dilancarkan pada tahun lepas turut berjanji menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

Kebelakangan ini tumpuannya beralih kepada siswazah baharu setelah Bank Negara mendedahkan dalam laporannya, gaji permulaan mereka semakin kurang selepas mengambil kira faktor inflasi dalam lapan tahun kebelakangan ini.

Pada 2 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk pemberian subsidi elaun dan gaji kepada siswazah tempatan yang baharu selesai pengajian.

Ini satu usaha paling menarik perhatian siswazah yang sentiasa merungut tentang peningkatan kos sara hidup mendadak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula berkata, beliau lebih suka menggunakan istilah ‘insentif tambah pendapatan’ berbanding ‘subsidi gaji’ yang digunakan dalam laporan media sebelum ini.

Cadangan yang dikemukakan pada Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya baru-baru ini antara lain mencadangkan RM6 bilion diperuntukkan sebagai subsidi elaun dan gaji bagi membantu 50,000 orang muda untuk mendapatkan pekerjaan.

Subsidi tidak langsung itu dikatakan akan diberikan melalui syarikat yang sukarela untuk melaksanakannya. Mengikut kiraan sebuah akhbar Cina tempatan, seorang lepasan ijazah pertama akan diberi gaji RM2,500 dan hanya separuh daripada amaun itu perlu ditanggung majikan.

Dalam pada itu, beberapa persoalan timbul daripada cadangan asal tersebut. Yang pertama, siapakah 50,000 orang muda yang layak mendapat insentif atau subsidi itu? Seterusnya, adakah berpatutan bagi kerajaan ‘memberi gaji’ kepada majikan untuk menggaji 50,000 orang muda yang terlibat?

Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan paling terkini diterbitkan Kementerian Pendidikan, seramai 299,635 siswazah dihasilkan oleh 414 institusi pengajian tinggi tempatan pada 2017. Sebanyak 45.6 peratus atau 136,645 orang adalah siswazah ijazah pertama.

Peruntukan 50,000 orang muda itu hanya mampu untuk membantu hampir satu pertiga daripada bilangan tersebut. Ini belum mengambil kira 120,650 lepasan diploma dan 11,547 pemegang sijil. Bilangan tamat pengajian meningkat setiap tahun dan dijangka melebihi 300,000 pada tahun ini.

Tanpa mengira siswazah PhD dan sarjana, sekurang-kurangnya 250,000 pemegang ijazah pertama, diploma dan sijil setiap tahun atau lima kali ganda daripada bilangan yang dicadangkan layak menerima insentif itu. Ini memang akan menjadi beban besar yang perlu ditanggung negara kita dan sudah tentu peruntukan RM6 bilion tidak mencukupi sama sekali.

Sebenarnya kerajaan tidak perlu memberi subsidi elaun bulanan RM700 hingga RM1,000 kepada siswazah baharu selama dua tahun. Gaji minimum ikut peringkat ijazah dan bidang boleh ditetapkan supaya ditanggung penuh majikan. Kerajaan mungkin boleh beri rebat cukai korporat berpatutan kepada mereka yang sudi mengambil siswazah baharu selesai pengajian dalam tempoh selama dua tahun.
Kalangan mahasiswa memerlukan dalam bentuk insentif daripada kerajaan selepas mereka tamat pengajian. (Gambar sekadar hiasan)

Revolusi Industri

Dalam masa dua tahun itu, siswazah seharusnya sudah dapat menyesuaikan diri dalam industri pekerjaan. Untuk meningkatkan lagi daya saingan siswazah 'mentah' itu perlu digalakkan menjadi lebih matang dengan mengambil kursus sijil profesional industri. Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyalurkan insentif itu supaya mereka dapat berdikari pada masa hadapan dan mula membuat adaptasi kepada era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Kita sedia maklum bahawa terdapat sembilan tonggak dalam IR4.0 yang sedang mengubah cara hidup kita. Sembilan tunggak itu yang harus diserap siswazah baharu dalam pekerjaan ialah robotik autonomi (autonomous robot), analisis data besar (big data), teknologi awan (cloud computing), teknologi peranti pintar (internet of things), realiti maya (augmented reality), integrasi sistem industri (industry system integration), percetakan 3D (3D printing), simulasi (simulation) dan sekuriti siber (cyber security).

Apabila IR4.0 mula dilancarkan dalam World Economic Forum (WEF) pada 2016, tidak sempat sukatan pelajaran itu disampaikan institusi pengajian tinggi tempatan kepada siswazah baharu selesai pengajian dua tahun kebelakangan dan mungkin untuk dua atau tiga tahun akan datang.

Cadangan insentif bantuan pendapatan siswazah melalui kursus sijil profesional industri agar selari dengan IR4.0 didapati tepat pada masanya. Peningkatan kemahiran sedemikian seperti 'diberi joran yang lebih baik daripada memberi ikan' sebab 'joran dapat memperkasakan siswazah memancing lebih banyak ikan tanpa berhenti pada masa hadapan'.

Berbalik kepada gaji permulaan siswazah baharu yang berpatutan, setelah Bank Negara mendedahkan gaji benar permulaan yang makin menurun daripada bandingan 2018 dengan 2010, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melalui Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan memberitahu bahawa data perkumpulan majikan menunjukkan seorang pemegang diploma boleh mendapat pendapatan sebanyak RM1,661 pada tahun lepas berbanding dengan RM1,458 pada 2010.

Siswazah dengan ijazah pertama boleh memperoleh gaji permulaan RM2,393 berbanding dengan RM1,993. Beliau berkata, data itu adalah berdasarkan Kajian Gaji MEF untuk eksekutif dan bukan eksekutif 2010 dan 2018 dengan data yang dikumpulkan daripada syarikat anggota terlibat.

Dalam pada itu, majikan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya menawarkan gaji permulaan kurang daripada RM2,465 untuk pemegang ijazah pertama dan RM1,711 untuk lepasan diploma. Amaun itu harus diselaraskan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kadar inflasi dan ikut kawasan bekerja.

Dari segi pertimbangan ekonomi, mengupah seseorang pekerja juga harus mengambil kira pulangan nilainya kepada majikan dari segi produktiviti. Siswazah sebagai pekerja juga harus bertanggungjawab terhadap gaji yang diberikan kepada mereka supaya berpatutan dan adil kepada dua-dua pihak majikan dan pekerja.

Peningkatan nilai kerjaya dengan inisiatif sepanjang kehidupan dalam tempat kerja adalah faktor terbaik untuk menuntut gaji yang lebih tinggi dan berpatutan.

DR CHANG PENG KEE

*Dr Chang Peng Kee ialah Profesor Madya Komunikasi (Perhubungan Awam) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Felo Kanan Bersekutu di Institut Kajian Etnik

*Petikan daripada Siri Rencana Setahun Pentadbiran PH terbitan Sinar Harian Rabu 15 Mei 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...