> > Apa sebenarnya 'Big Data' yang kian hangat diperkatakan?
Apa sebenarnya 'Big Data' yang kian hangat diperkatakan?
PENSYARAH USIM Khamis | 16 Mei 2019

HARI ini semua orang memperkatakan tentang Big Data. Namun apa sebenarnya big data, mungkin masih belum jelas kepada semua memandangkan ia adalah terma baharu yang kini meningkat populariti setelah perbincangan tentang Revolusi Industri Keempat mendominasi segenap bentuk perbualan akademik, politik mahupun di kedai kopi.

Hingga kini, belum ada definisi khusus big data. Umumnya, ia terdiri daripada pelbagai jenis data seperti teks, gambar, video dan bentuk-bentuk data yang lain dalam sistem pengkomputeran.

IBM pula cuba memahami big data melalui tiga istilah iaitu volume, variety dan velocity. Volume di sini bermaksud sejauh mata penyimpanan data yang wujud, dan dalam kes big data ia adalah sangat luas dan tidak terbatas. Variety pula bermaksud jenis data yang wujud dalam pelbagai bentuk, manakala velocity bermaksud kepantasan proses yang berlaku.

Justeru, big data dapat difahami sebagai kaedah penyimpanan data yang mempunyai ruang tanpa batasan, mampu menyimpan dan memproses pelbagai jenis data dengan kecepatan yang sangat tinggi.

Menerusi jumlah data yang meningkat dengan cepat dari semasa ke semasa, apa yang berlaku ialah kuantiti big data yang semakin berkembang pesat setiap saat.

Dengan lebih 3.8 bilion orang menggunakan internet, di samping lebih 3 bilion pengguna Facebook dan setiap penggunanya mempunyai kawan atas talian dalam lingkungan 155 orang, begitu banyak data berkembang setiap hari.

Malah, pada 2018 sahaja, dianggarkan lebih 2.3 bilion orang akan lahir di dunia ini. Jadi persoalan bagaimana mengurus big data menjadi begitu kritikal.

Berkaitan itu, persoalan penting yang ditanya hari ini ialah bagaimana cara kita mengurus big data?

Pengurusan big data adalah konsep yang luas merangkumi polisi, prosedur dan teknologi yang digunakan untuk mengumpul, menyimpan, mengurus dan mentadbir jumlah data yang besar. Ini termasuklah membersihkan data, mengintegrasi data dan mempersiap data untuk digunakan dalam laporan dan analisis.

Dalam konteks sesebuah organisasi, pengurusan big data termasuklah memilih maklumat mana yang perlu disimpan dalam suasana persekitaran IT organisasi berkenaan, juga membuat keputusan bila data boleh dipadam dengan selamat.

Dalam bidang perniagaan, big data digunakan untuk mempromosi produk mereka. Contohnya, data demografi penduduk digunakan untuk mencapai pengguna berpotensi dan mengekalkan pengguna sesuatu produk oleh sesebuah institusi perniagaan.

Pada masa hadapan, big data sangat berguna untuk membuat keputusan. Data yang banyak daripada pelbagai sumber digunakan untuk membuat keputusan tentang sesuatu isu. Misalnya, Twitter boleh melaksanakan Analisis Sentimen yang berguna kepada bidang perniagaan, politik, pemasaran dan ekonomi.

Analisis terhadap big data boleh dilaksanakan menggunakan kaedah statistik dan matematik. Dalam bidang akademik, kajian Big Data Analytics dilihat adalah satu bidang kajian yang penting dan praktikal dilaksanakan pengkaji untuk memahami big data dan pengurusannya.

Dalam masa yang sama, big data juga dilihat membawa ancaman kepada beberapa profesion seperti bidang sains kesihatan, insurans, kewartawanan, perguruan, guaman serta pemasaran kerana big data boleh ‘melaksanakan’ tugas golongan ini lebih pantas daripada manusia.

Maka dalam meneliti kesan positif dan negatif big data, yang dalam masa yang sama perkembangannya tidak dapat dielakkan malah ramai yang mengaguminya, maka pendidikan berintikan kemanusiaan, agama dan rasa hati bakal membawa manusia setapak lebih maju daripada robot yang hanya mampu melaksanakan tugasan secara otomasi.

*Oleh: Dr Siti Suriani Othman, Pensyarah Kanan & Prof Madya Dr Ismail Abdullah, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Foto: Pelajar tahun 3 kewartawanan, USIM


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...