> CETUSAN > Menghayati 16 Mei sebagai Hari Cahaya Antarabangsa dalam kesempatan Ramadan ini
Menghayati 16 Mei sebagai Hari Cahaya Antarabangsa dalam kesempatan Ramadan ini
AYU ALIANA ISMAIL, UM Khamis | 16 Mei 2019

BERSEMPENA tanggal 16 Mei, selain sinonim dengan Hari Guru ia juga sebenarnya merupakan Hari Cahaya Antarabangsa (The International Day of Light) sekali gus menjadi satu refleksi kepada kita tentang bagaimana cahaya menjadi satu sumber terpenting dalam kehidupan.

Tarikh ini telah dipilih bersempena ulang tahun pertama operasi laser yang berjaya pada 1960 oleh ahli fizik dan jurutera, Theodore Maiman.

Laser adalah contoh sempurna tentang penemuan saintifik terhadap cahaya boleh menghasilkan manfaat kepada masyarakat dalam komunikasi, penjagaan kesihatan serta pelbagai yang lain lagi.

Dalam konteks perbincangan cahaya, nyata dilihat ia menjadi sumber terpenting dalam kehidupan. Dari ketika Isaac Newton menemukan konsep pembiasan cahaya melalui prisma yang menghasilkan spektrum warna, seterusnya menjelaskan konsep pelangi di langit sehinggalah kepada Thomas Edison yang memberi sumbangan terbesar dalam penciptaan mentol lampu elektrik mengeluarkan cahaya kala kegelapan di bumi, telah memperlihatkan keperluan kita kepada cahaya terang dalam melaksanakan tuntutan kehidupan.

Jika kita mampu melihat dan menggarap fungsi cahaya secara zahir, apakah kita sudah mampu sedar fungsinya secara nisbi kepada hidup kita yang lebih lagi perlu untuk kita memaknakannya?

Ini kerana hakikatnya, keperluan kepada cahaya wujud dalam setiap sisi kehidupan kita, bukan sekadar pada mata zahir, tetapi mata hati dan nurani manusia.

Nisbah pencahayaan kehidupan

Kegelapan hati merupakan fenomena yang sangat dirisaukan kerana jika tatkala itu kesedaran belum juga kunjung tiba, keseronokan dalam kejahilan makin terasa dan akan mematikan hati dari terus mengingati Pencipta.

Perlu untuk kita semak kembali situasi semasa zaman jahiliah dahulu, sebelum datangnya syariat dan aturan sistem kehidupan yang dibawa Rasulullah SAW, pelbagai jenis bentuk kehidupan yang penuh dengan kezaliman dan penindasan.

Sama ada penindasan terhadap diri sendiri atau terhadap entiti dari luar (masyarakat dan alam), hakikat kehidupan pada ketika itu, dilihat jauh dari sebuah hakikat kehidupan manusiawi yang disinari cahaya iman.

ALLAH jelas menyatakan dalam Surah An-Nisa ayat 174, “Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepada mu bukti kebenaran dari Tuhan mu, (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah Kami turunkan kepada mu cahaya yang terang benderang (Al-Quran)”.

Apabila Rasulullah hadir membawa perutusan al-Quran, dapat kita lihat bahawa dengan kerasulan dan mukjizatnya seolah-olah menjadi penyuluh kepada sebuah kehidupan yang dahulunya 'gelap' kepada sebuah kehidupan yang penuh dengan cahaya pengharapan dan kebahagiaan, yakni kehidupan diterangi atur cara kehidupan yang diredai dan dirahmati.

Apabila telah selesai penurunan al-Quran, dan apabila telah sempurna sebarannya kepada sekalian makhluk termasuklah kita sendiri, menjadi tugas kita pula untuk mendampingi al-Quran. Sentiasa hidup dengan al-Quran, menjadikan al-Quran sebuah rujukan kepada setiap permasalahan kehidupan. Kerana realitinya kita amat memerlukan cahaya al-Quran sebagai penerang hati dan penyuluh jalan kehidupan. Bagaimana?

Dua pelatihan dalam Ramadan

Kita perlu mula dengan menjadi pencinta al-Quran. Nikmat waktu sehari-hari kita tidak boleh untuk dihiasi dengan hanya nikmat kepuasan duniawi semata-mata. Peruntukkan masa untuk menguzlahkan diri dengan al-Quran.

Analoginya seperti bagaimana setelah gelap kita akan menghidupkan lampu bagi menerangi hari malam, begitu juga apabila setelah seharian, nyalakan cahaya dalam hati dan diri dengan masa bersama al-Quran.

Yang kedua, kita perlu untuk memujuk diri dengan al-Quran. Ujian yang hadir sehari-hari membuatkan kita meronta-ronta untuk diceritakan dan diluahkan kepada makhluk sehingga pada satu saat, kita putus asa untuk bercerita dan hanya memendam dan membebani mengikut timbangan akal manusia biasa.

Urusan dunia sebaliknya merupakan jentikan kepada kita untuk dekat dengan al-Quran. Tatkala ujian tiba, buka al-Quran. Buka dengan sepenuh keyakinan bahawa al-Quran itu sebuah teman ketenangan. Tatkala bahagia, buka jua al-Quran. Buka dengan sepenuh keyakinan bahawa al-Quran itu sebuah teman penasihat yang tidak dusta.

Ramadan sebagai bulan al-Quran, merupakan bulan terbaik untuk kita mengisi diri dan kehidupan dengan cahayanya, cahaya yang tidak akan pernah pudar malah terus menjadi penerang dari tersesat di jalan kejahilan.

Ramadan merupakan peluang terbaik untuk terus kita persiapkan diri dengan pegangan dan pemahaman jitu terhadap apa yang dibawa Nabi kita Muhammad SAW, kerana pendasaran kepada sebuah matlamat kehidupan adalah dengan panduan cahaya dunia yang menjadi penyuluh jalan ke syurga, iaitu al-Quran.

Happy Light Day and shine your way!

*Ayu Aliana Ismail merupakan mahasiswa Sarjana Muda Pengajian Islam dan Sains, Universiti Malaya


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...