> AKTIVITI KAMPUS > UM kenal pasti bakat ahli matematik muda
UM kenal pasti bakat ahli matematik muda
NAHRIZUL ADIB KADRI Jumaat | 17 Mei 2019

Ilmu matematik merupakan cabang ilmu sains yang memerihalkan perkara abstrak untuk memberi maksud dan nilai yang dikehendaki. Cakupan ilmu yang dikatakan bermula seawal kurun ketiga Masihi di tamadun Mesir dan Mesopotamia ini meliputi topik seperti algebra dan geometri, dan diaplikasikan untuk bidang-bidang yang kompleks seperti astronomi, percukaian, dan pembinaan. Penyelidikan dan penemuan matematik terus berlaku dari semasa ke semasa hingga ke hari ini.

Sejak 2016, Institut Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan pertandingan ‘University of Malaya Competition for Young Mathematicians’ (UMCYM) untuk pelajar-pelajar sekolah menengah. Program tahunan ini disertai oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga enam, dan dibahagikan kepada dua kumpulan, senior dan junior.

Program ini membuka peluang penyertaan sekolah-sekolah dari seluruh negara dengan mensasarkan kumpulan pelajar dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 6 atau yang setarafnya.
“Pertandingan ini antara lainnya bertujuan untuk mengenal pasti bakat matematik dalam kalangan pelajar sekolah menengah, dan meraikan kecemerlangan mereka. Selain itu, pertandingan ini juga memberi penekanan terhadap kecemerlangan matematik di dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, atau ‘knowledge economy’. Secara tidak langsung pertandingan ini telah menyumbang kepada pembangunan modal insan negara,” kata Prof. Madya Dr. Wan Ainun Mior Othman, Ketua Institut Sains Matematik, yang juga merupakan penasihat UMCYM.

Kesemua peserta diminta menjawab sebanyak 30 soalan dalam masa 90 minit. Menariknya, lima soalan adalah berbentuk esei pendek, dan memerlukan kreativiti pelajar untuk menyelesaikannya.

“Kesemua soalan disediakan oleh pensyarah dan penyelidik di Institut Sains Matematik UM. Para peserta seterusnya dinilai secara individu dan berkumpulan, mengikut sekolah masing-masing,” kata Dr. Wan Ainun lagi.

Program seperti ini dapat memupuk minat pelajar selain berkongsi ilmu dengan pelajar lain yang mempunyai minat yang sama terhadap matematik.

“Saya kagum dengan kesungguhan dan keupayaan menjawab soalan yang ditunjukkan oleh para peserta. Kebanyakan mereka mampu memahami kehendak soalan-soalan yang disediakan, biar pun memerlukan kemahiran berfikir setaraf mahasiswa universiti,” kata Umi Umairah Ahmad Azman, mahasiswa tahun ketiga Institut Sains Matematik UM, yang juga sukarelawan UMCYM.

“Melalui pertandingan ini juga, peranan Institut Sains Matematik UM dapat diketengahkan. Penyelidikan dalam bidang matematik tidak mungkin dapat diteruskan tanpa pengenal pastian bakat-bakat baru yang diperlukan sebagai generasi pelapis dalam menyelesaikan permasalahan matematik asas, dan penemuan aplikasi baru dalam matematik gunaan,” kata Dr. Wan Ainun.
Kualiti pembelajaran dan ketinggian tahap pendidikan dapat meningkatkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat kini.

Pertandingan yang menerima pengiktirafan Kementerian Pendidikan sebagai pertandingan peringkat kebangsaan ini telah disertai oleh pelajar sekolah menengah dari seluruh negara. Untuk edisi 2018, kategori senior telah dimenangi oleh pasukan dari Kolej Sunway, Kuala Lumpur, manakala kategori junior pula oleh SMJK Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang. UMCYM seterusnya akan diadakan pada 13 Julai 2019 di UM, dan sedang menerima penyertaan dari mana-mana sekolah menengah yang berminat untuk mengambil bahagian.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...