> CETUSAN > Nak ringankan beban kos sara hidup di IPT? Alumni UTHM ini berkongsi caranya...
Nak ringankan beban kos sara hidup di IPT? Alumni UTHM ini berkongsi caranya...
ELMY JOHANA Jumaat | 17 Mei 2019

SERING kali media melaporkan kesusahan dialami penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dalam meneruskan pengajian mereka kerana berhadapan masalah kewangan, malah saban tahun kes sebegini kerap dilaporkan.

Kebanyakan penuntut yang dilaporkan mengalami masalah ini adalah berasal dari kumpulan keluarga B40. Kemelut kepada permasalahan ini menyebabkan pelbagai inisiatif dijalankan pihak universiti bagi mengurangkan bebanan kewangan mereka.

Melihat kepada permasalahan yang membelenggu ini tiada kesudahannya, maka seharusnya para mahasiswa berani meneroka peluang-peluang lain dan tidak hanya berharap kepada satu sumber sahaja seperti biasiswa, pinjaman serta wang daripada ibu bapa.

Sebaliknya mereka perlu cuba mencari alternatif yang boleh membantu menjana kewangan contohnya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dengan meneroka peluang-peluang bisnes di kampus khususnya sebagai sumber pendapatan bagi mengurangkan beban sara hidup.

Peranan universiti

Persiapan siswazah berminda bisnes haruslah bermula sewaktu di kampus lagi. Langkah yang dijalankan oleh universiti wajar diberi sokongan memandangkan penglibatan penuntut dalam perniagaan semakin meningkat setiap tahun.

Asas keusahawanan yang diterapkan sejak dari awal mampu mendedahkan penuntut berurusan dengan klien; pengurusan kewangan: untung-rugi; pengalaman berniaga dan jaringan keusahawanan.

Gaya baharu berbisnes di kampus

Perniagaan ini adalah yang paling ringkas dan boleh dijalankan secara sambilan menerusi laman media sosial. Dengan peningkatan kos sara hidup di kampus hari ini, semakin ramai mahasiswa yang menjalankan perniagaan atas talian untuk menjana pendapatan sambilan bagi mengurangkan beban kos sara hidup di universiti.

Tanpa memerlukan modal yang besar atau kemahiran canggih untuk mengendalikannya, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan risiko kerugian sifar atau sangat minimum. Bahkan ada juga yang pada mulanya menjalankan perniagaan ini secara sambilan tetapi akhirnya ia sebagai sumber pendapatan utama.

Mulakan tanpa modal

Sebagai langkah awal, lakukan market survey untuk mengenal pasti barangan yang mendapat permintaan atau perhatian ramai. Perniagaan dalam talian boleh dimulakan tanpa kos sekiranya seseorang itu sudah pun memiliki peranti dan capaian Internet. Dua cara mudah adalah menjadi ejen dropship atau menjual dengan cara mengambil pesanan awal (personal shopper).

Kaedahnya jika tiada produk sendiri untuk dipasarkan, boleh mulakan menjual produk orang lain dahulu dengan hanya buat pemasaran secara online menerusi laman sosial, Facebook atau Instagram, seterusnya mengambil pesanan dari pelanggan dan meminta pengusaha yang membuat pengeposan barang tersebut.

Sebagai contoh, jika ada kilang kerepek berdekatan universiti, iklankan produk itu di Internet. Jika ada tempahan, minta pelanggan membuat bayaran penuh termasuk kos penghantaran. Dengan duit itu boleh membeli produk berkenaan secara langsung atau atas talian kepada pengusaha kilang berkenaan dan boleh meminta pengusaha menghantarnya kepada pelanggan. Makanya penuntut boleh menikmati keuntungan daripada kos jualan runcit tersebut.

Ini boleh dilakukan untuk produk-produk yang lain contohnya personal shopper barangan pasar raya tertentu, butik baju, consumer product, barangan alat tulis atau barangan jualan langsung yang diketahui mendapat permintaan tinggi di atas talian.

Langkah pertama dicadangkan dengan membuat jualan di laman Facebook atau Instagram peribadi dahulu kerana laman ini tidak mengenakan sebarang caj perkhidmatan (sifar kos). Sebelum itu cuba cari kaedah yang berkesan untuk tambahkan follower atau friends di kedua-dua platform tersebut dahulu.

Apa yang penting di peringkat ini mahasiswa perlu meningkatkan kemahiran kepada aktiviti berkaitan jualan dan perkhidmatan pelanggan kerana mereka tidak perlu memikirkan aspek teknikal seperti pewujudan dan penyelenggaraan laman sesawang yang memerlukan skop kemahiran yang jauh berbeza.

Di peringkat ini juga mahasiswa disarankan supaya tidak melaburkan wang untuk aktiviti promosi seperti Facebook Advertisement dan Google Advertisement kerana ia memerlukan pemantauan yang rapi apabila melibatkan pelaburan kewangan memandangkan mereka perlu lebih fokus kepada pengajian.

Kesempatan ini boleh digunakan mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pemasaran dan operasi, menyusun aliran tunai dan merancang dengan baik sebelum mewujudkan platform e-bisnes pelajar sendiri, selepas tamat pengajian.

Berniaga sambil belajar

Persepsi setelah tamat belajar akan mendapat pekerjaan serta pendapatan yang lumayan telah tersemat sekian lama sebelum melangkah masuk ke pintu menara gading oleh ibu bapa dan orang sekeliling, tetapi ia tidak seperti dikhabarkan kerana cabarannya berbeza dengan peningkatan kos sara hidup yang meningkat dari tahun ke tahun, ditambah gaji bulanan hanya cukup-cukup makan untuk sampai ke hujung bulan ibarat 'kais bulan makan bulan'.

Bermula hanya sekadar mahu mencuba dan melakukannya secara sambilan untuk menampung kos sara hidup dengan pendapatan kedua, melangsaikan hutang-hutang pinjaman terdahulu selain mahu meningkatkan simpanan bulanan, keinginan ini menjadi ‘turning point’ kepada penulis untuk mengubah ‘mind set’ yang bergantung kepada gaji bulanan semata.

Selepas tamat pengajian, penulis terus berkahwin dan tidak dapat membuat simpanan kerana masih belum bekerja dan hanya mengharapkan wang nafkah daripada suami. Selepas mendapat pekerjaan, keutamaan diberikan kepada anak-anak dan keperluan rumah tangga.

Ketika menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD), penulis terpaksa membawa keluarga bersama dan hidup di bandar besar dengan kos sara hidup tinggi. Bertitik-tolak dari situ, penulis cuba mencari peluang untuk menjana wang tambahan tetapi ia mestilah yang bersesuaian dengan kekangan masa dan modal selain mampu melakukannya secara sambilan sahaja.

Makanya bisnes atas talian yang menggunakan platform media sosial Facebook menjadi pilihan yang tepat. Ini kerana bisnes ini tidak memerlukan premis untuk disewa, tidak perlu menggaji pekerja, ia boleh diuruskan sendiri dan tidak perlu menunggu di kedai. Bisnes ini juga boleh berjalan pada bila-bila masa dan di mana sahaja walaupun sibuk dengan aktiviti kuliah dan pengajian, kedai online sentiasa boleh beroperasi.

Sememangnya agak kekok pada awalnya, kerana tiada kemahiran berniaga (zero knowledge) apatah lagi pada ketika itu belum ada akaun Facebook, tetapi sedikit demi sedikit penulis mula menimba ilmu pemasaran online dan dengan adanya bimbingan mentor akhirnya bisnes yang pada awalnya hanya sekadar cuba-cuba telah membuahkan hasil yang di luar jangkaan.

Dengan pengalaman yang dilalui sendiri, penulis percaya bahawa bisnes atas talian menerusi laman sosial media Facebook dan Instagram boleh menjana pendapatan yang lumayan. Setelah lama berkecimpung dalam bisnes ini, kini penulis boleh bernafas lega kerana pendapatan bulanan ada kalanya melebihi gaji kerja tetap. Baginya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, yang penting ada usaha dan keinginan untuk berubah.

*Elmy Johana merupakan alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...