> ISU > Kejutkan sahur guna jet pejuang? Uniknya...
Kejutkan sahur guna jet pejuang? Uniknya...
NAIMAH MUHAMMAD Khamis | 23 Mei 2019

AMALAN kejut sahur merupakan satu aktiviti zaman silam yang bertujuan mengejutkan umat Islam untuk bangkit bersahur. Ia ibarat sebagai ‘penggera’ atau ‘jam loceng’ kepada masyarakat kampung.

Namun, selari dengan perkembangan teknologi, pendekatan itu sudah jarang dilakukan. Pun demikian, di sesetengah lokasi, praktis itu masih kekal terpelihara.

Menariknya lagi, ia telah dimodenkan seperti yang dilakukan oleh seorang jejaka, Muhammad Latiff Azmi, 22, atau Atip.

Atip yang menjadi tular baru-baru ini memberi perkhidmatan kejut sahur dengan membuat panggilan kepada individu yang berminat. Servis itu telah diiklankannya menerusi laman Twitter sehari sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa.

Menerusi entri tersebut, Atip menyenaraikan harga untuk perkhidmatan kejut sahur dengan mengenakan caj RM2 untuk sekali panggilan.

Pakej seminggu pula berharga RM10. Namun yang paling menjadi bualan netizen ialah caj tambahan RM1 sekiranya ada pelanggan mahu dipanggil sebagai ‘sayang’.

Nampak, siapa sangka idea ‘gila-gila’ petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) itu membuahkan hasil apabila respons yang diterima begitu menggalakkan.

Bukan sahaja statusnya diulang kicau lebih 26,000 dan 18.8 likes malah dalam tempoh 24 jam, Atip menerima lebih 500 permintaan daripada warga Twitter yang mahu menggunakan servisnya.

“Ya, memang tak sangka. Namun, saya tidak ambil ramai pelanggan, tak mampu rasanya mahu buat panggilan sebanyak itu,” ujar Atip yang turut mengambil pendekatan berborak-borak selama lima minit bagi menghilangkan rasa mengantuk pelanggannya sebelum mereka menikmati juadah sahur.
Atiq menawarkan servis kejut sahur dengan panggilan telefon.

Menurut Atip, setakat ini dia tidak menghadapi masalah dengan para pelanggannya.

“Semua memberi kerjasama yang baik. Kebanyakannya dengan dua kali deringan telefon, pelanggan sudah angkat,” katanya yang berjaya mengumpul wang sekitar RM50 pada hari pertama berpuasa.

Selain Atip yang memperkenalkan cara kejut sahur yang unik, Oh! Lelaki menyenaraikan beberapa lagi pendekatan unik lain yang pernah dilakukan di sesetengah tempat.

Bangunkan sahur sambil latihan terbang

Jangan tidak percaya, di Indonesia program kejut sahur mereka menggunakan jet pejuang. Usaha itu dibuat oleh Tentera Udara Indonesia yang menggunakan pesawat pejuang mereka.

Menerusi maklumat di akaun Twitter @_TNIAU, program tersebut dibuat sebagai latihan untuk anggota membuat latihan pada bulan Ramadan.

Antara bandar yang dipilih ialah Surabaya di Jawa Timur, Surakarta, Klaten dan Sragen di Jawa Tengah dan Yogyakarta.

Jet pejuang digunakan di Indonesia sebagai satu cara alternatif mengajak umat Islam bangun bersahur.

Menurut Jurucakap Tentera Udara negara itu, Kolonel M. Yuris, juruterbang pesawat pejuang tidak dibenarkan mengendalikan pesawat ketika berada dalam keadaan paras gula darah yang rendah.

“Ia merupakan satu misi gabungan iaitu membangunkan orang ramai untuk bersahur dan pada masa yang sama mengadakan latihan,” katanya kepada media Indonesia.

Bukan Islam main peranan

Di Jeddah, Arab Saudi, amalan kejut sahur dilakukan oleh orang beragama Kristian. Gelaran 'mesaharati' turut kepada individu yang secara sukarela berusaha mengejutkan Muslim bersahur.

Pendekatan itu difahamkan telah menjadi tradisi paling lama di beberapa buah negara Arab. Kejut sahur itu dimulakan pada pukul 2 pagi menggunakan alat muzik tamborin sambil berteriak berulang-ulang untuk mengejutkan umat Islam bangun sahur.
Di beberapa buah negara Arab, golongan mesaharati iaitu mereka yang bukan beragama Islam membantu mengejutkan masyarakat Islam bangun sahur.

Salah seorang mesaharati, Michel Ayoub, 39, yang berbangsa Arab Israel menjalankan tugas itu dengan gembira meskipun dirinya bukan Islam.

“Saya membesar dengan percaya kepada idea kewujudan bersama, menghormati dan tahu mengenai agama lain,” kata Michel yang mengejutkan masyarakat bersahur di Acre iaitu kota lama di barat laut Israel.

Geng Kejut Sahur Bukit Piatu

Sejak 75 tahun lalu, penduduk Bukit Piatu, Melaka masih terus mempraktikkan amalan mengejutkan orang kampung bersahur.

Mereka menggunakan alat muzik tradisional seperti serunai, gendang anak, gendang ibu, kompang dan gong serta diiringi muzik tradisional.

Kepada mereka yang liat bangun bersahur, dendangan lagu Geng Kejut Sahur Bukit Piatu menerusi lagu klasik seperti Madu Tiga dan Ali Baba pasti membuatkan sesiapa terjaga.

Amalan kejut sahur dalam kalangan belia di Bukit Piatu, Melaka masih diteruskan sejak 75 tahun lalu.
Cara yang sedikit lebih kurang serupa, sejumlah penduduk Tawau, Sabah yang prihatin akan bermain gitar sambil menyanyi mengelilingi rumah di beberapa lokasi terpilih.

Sementara itu, di Kampung Seberang Sarikei, Sarawak pula, mereka menggunakan tong, kompang dan gendang.

*Dipetik daripada ruangan Tamu sisipan Oh! Lelaki terbitan Sinar Harian Khamis 23 Mei 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...