> ISU > Bersediakah hadapi viva?
Bersediakah hadapi viva?
ZALMIMAZURA ZAHARI Khamis | 23 Mei 2019

Viva ialah satu ujian lisan untuk menilai tahap kesarjanaan tesis yang dihasilkan oleh penuntut. Di dalam sesi viva, penuntut akan diminta untuk membentangkan hasil kajian yang dibuat selama lebih kurang 20 hingga 30 minit kemudiannya diikuti dengan soal jawab daripada barisan panel pemeriksa yang telah dilantik.

Pemeriksa akan menguji keupayaan penuntut menerangkan topik penyelidikan dan mengesahkan keaslian dan kesahihan hasil dapatan kajian yang dilakukan.

Ketika sesi soal jawab ini, penuntut sering dicabar secara ilmiah tentang penemuan-penemuan kajian mereka.

Justeru, bagi yang dapat melepasi ujian viva ini akan disahkan sebagai ahli atau pakar di dalam bidang masing-masing.

PELUANG PERBAIKI TESIS

Viva dilaksanakan bagi program Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) secara mode penyelidikan. Bagi kedua-dua program ini, calon tidak mempunyai kelas secara khusus. Sebaliknya, penganugerahan Ijazah Sarjana atau PhD akan diberi berdasarkan kepada tesis yang dihasilkan.

Bagi program Sarjana, kebiasaannya tesis akan mengambil masa 2 tahun manakala tesis PhD selama 3 tahun untuk disiapkan.

Setelah calon melalui kesemua proses penyelidikan bermula daripada pembangunan proposal, mengupas kajian-kajian terdahulu, mengumpul dan menganalisa data serta menyiapkan penulisan tesis mengikut format akademik barulah mereka akan layak untuk menduduki ujian viva ini.

Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Islam Sains Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin berkata, kebiasaannya pihak universiti akan melantik beberapa orang panel pemeriksa yang terdiri daripada pakar bidang dari dalam dan luar universiti sebagai penentu kepada pemeriksaan ujian viva.

“Viva ini penting kerana ia memberi peluang kepada calon untuk mempertahankan tesis mereka. Kadang-kala pemeriksa menemui banyak kelemahan dan kekurangan pada tesis yang ditulis. Sebagai contoh, calon tidak menulis dengan baik masalah kajian yang dilakukan sehingga menyebabkan banyak persoalan yang meragukan pemeriksa.

“Justeru, sesi viva ini adalah satu peluang untuk mereka menjelaskan keraguan-keraguan yang timbul di dalam fikiran pemeriksa. Selain itu, sesi viva juga memberi peluang untuk memperbaiki tesis mereka. Ini kerana, pemeriksa akan memberi cadangan penambahbaikkan kepada para calon untuk memantapkan lagi tesis mereka,” katanya.

Sesi viva juga boleh dijadikan sebagai platform untuk membina jaringan rakan kesepakaran.

PROSES-PROSES MENGHADAPI VIVA

Menurut Dr Amir, sepanjang berlangsungnya proses viva ini, lazimnya akan dipengerusikan seorang pensyarah yang bertaraf profesor. Pada permulaan sesi viva, pengerusi akan memberi peluang kepada calon untuk membentangkan hasil kajian sebelum membuka ruang bagi pemeriksa bertanya soalan.

“Semua pemeriksa akan diberi peluang sama rata untuk mengajukan sebarang kemusykilan berkaitan tentang tesis kepada calon. Setelah pemeriksa berpuas hati dengan penjelasan yang diberi, pengerusi akan meminta calon untuk keluar dari bilik viva bagi menentukan keputusan. Perbincangan ini adalah bebas tanpa dipengaruhi oleh pihak luar termasuk penyelia dan wakil fakulti yang hadir.

“Setelah satu keputusan dicapai, calon akan dijemput semula ke bilik viva dan pengerusi akan memaklumkan keputusan viva kepada calon berkenaan,” katanya.

Calon viva membentangkan hasil penyelidikan mereka dengan yakin.

Jelas Dr Amir, kebiasaannya sesi viva dihadiri oleh tiga orang pemeriksa iaitu seorang pemeriksa dalaman dari universiti sendiri manakala dua orang lagi ialah pemeriksa dari universiti luar.

Setelah tamat sesi viva, ketiga-tiga pemeriksa ini akan memberi keputusan masing-masing. Keputusan tersebut sama ada:

1.Tesis diterima tanpa sebarang perubahan dan pembetulan

2.Tesis diterima dengan pembetulan yang sedikit. Calon akan diberi tempoh masa tidak lebih dari 6 bulan untuk menyiapkan pembetulan yang dicadangkan oleh pemeriksa.

3.Tesis diterima dengan pembetulan yang banyak. Calon akan diberi tempoh masa tidak melebihi 12 bulan untuk menyiapkan pembetulan yang dicadangkan oleh pemeriksa.

4.Tesis calon perlu dilakukan pembetulan yang sangat signifikan dan calon diminta untuk menghadiri sesi viva semula selepas tempoh satu tahun.

5.Tesis calon ditolak dan penuntut diputuskan gagal di dalam pengajian.

Setiap kategori keputusan di atas dilakukan berdasarkan musyawarah (perbincangan) ketiga-tiga panel pemeriksa viva. Sekiranya tiada kesepakatan dapat dicapai maka keputusan viva akan ditentukan melalui undian.

Pengalaman menempuh ujian viva ini akan membina keyakinan kepada seorang penyelidik kerana mereka telah pun berdebat dengan beberapa pakar bidang ketika mempertahankan hasil penyelidikan mereka.

Sebagai contoh dua orang pemeriksa memberi keputusan tesis diterima dengan sedikit pembetulan manakala seorang pemeriksa memutuskan tesis perlu kepada pembetulan yang banyak. Maka, keputusan viva akan memihak kepada undian majoriti.

LAHIRKAN PENYELIDIK KOMPETEN

Matlamat utama pengajian di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) secara penyelidikan ialah untuk menghasilkan seorang penyelidik yang kompeten. Penyelidik yang kompeten ialah mereka yang dapat membentangkan hasil penyelidikan mereka dengan yakin dan memenuhi minimum piawaian akademik yang sepatutnya.

Pengalaman menempuh ujian viva ini akan membina keyakinan kepada seorang penyelidik kerana mereka telah pun berdebat dengan beberapa pakar bidang ketika mempertahankan hasil penyelidikan mereka. Selain itu, sesi viva ini juga adalah platform yang baik untuk membina jaringan rakan kesepakaran. Calon yang baru lulus ujian viva akan diiktiraf sebagai pakar baharu oleh panel pemeriksa viva,” katanya.

INFO: Tip ringkas persediaan hadapi viva

1.Pastikan tidur dan rehat yang secukupnya sebelum menghadiri viva. Viva adalah ujian minda yang memerlukan calon hadir dengan fikiran yang segar dan bersedia untuk diuji.

2.Pastikan calon memahami semula setiap baris yang telah ditulis di dalam tesis. Pemeriksa akan membaca tesis dengan teliti. Setiap kenyataan perlu ada sandaran dan justifikasi yang kukuh.

3.Pastikan calon dapat menjawab soalan-soalan lazim ketika sesi viva seperti, ‘Apakah sumbangan asli tesis ini? Siapakah yang akan mengambil manfaat daripada hasil penyelidikan ini?’

4.Tunjukkan keyakinan dan ketenangan di dalam menjawab soalan-soalan daripada pemeriksa. Tidak perlu bersikap terlalu defensif dan tidak sewajarnya juga dilihat tiada pendirian sendiri.

5.Fokus kepada menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Tidak perlu mengulas isu-isu lain yang tiada kaitan dengan soalan pemeriksa.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...