> > ‘Idea gila’ dua beranak, tak lama lagi pengunjung boleh menginap di hotel kapal terbang dalam hutan di Sungai Lembing
‘Idea gila’ dua beranak, tak lama lagi pengunjung boleh menginap di hotel kapal terbang dalam hutan di Sungai Lembing
BERNAMA Khamis | 23 Mei 2019

KUANTAN - ‘Idea gila’ dua beranak sejak tiga tahun lepas mencetuskan kewujudan hotel kapal terbang dipercayai yang pertama seumpamanya di negara ini.

Kevin Young Thien Sheng, 30, berkata, hasrat untuk membuka hotel unik itu yang menggunakan pesawat Boeing 737-400 dijangka dapat direalisasikan pada awal tahun hadapan memandangkan beliau baharu ‘memindahkan’ kapal terbang itu ke Sungai Lembing di sini.

Sambil tersenyum, Kevin berkata pesawat itu dibeli ayahnya, Young Yeong Long, 61, daripada sebuah syarikat penerbangan yang perlu melupuskan pesawat yang telah melebihi tempoh perkhidmatan.

“Kerja yang paling sukar ialah membawa pesawat dari Selangor ke sini. Kami perlu memotong pesawat kepada beberapa bahagian, menyewa lima buah treler dan dua buah kren untuk mengangkat pesawat pada awal bulan Mei.
Hotel kapal terbang ini dipercayai pertama dalam negara dijangka siap awal tahun depan.

“Kami juga perlu membuat jalan khas supaya kenderaan yang membawa pesawat dapat masuk ke resort. Kami sedaya upaya tidak mahu menebang pokok di sini, namun terpaksa juga memotong satu dua (pokok) bagi memuatkan bahagian sayap,” katanya kepada Bernama.

Kevin berkata, mereka mengambil masa selama dua bulan merancang ‘perjalanan’ pesawat itu ke sini supaya kenderaan membawa pesawat itu tidak mengganggu aliran trafik khususnya laluan jalan raya Persekutuan sebelum memasuki lebuh raya.

“Paling seronok ialah apabila kami mula memasuki Sungai Lembing. Berita tentang pesawat ini tersebar begitu cepat dan orang ramai beratur di tepi jalan untuk melihat sendiri... suasana begitu meriah ibarat pesta pada hari itu,” katanya.

Siswazah sarjana muda Universiti Lim Kok Wing itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah yang dibelanjakan untuk membeli pesawat itu, sekadar senyum dan berkata ‘sangat mahal’ selain perlu mematuhi prosedur yang sangat ketat.

Hotel kapal terbang ini hanya memiliki lima buah bilik daripada keseluruhan 36.57 meter (120 kaki) pesawat.
Walaupun mengeluarkan belanja yang besar, Kevin menambah mereka mungkin membina hanya lima buah bilik daripada keseluruhan 36.57 meter (120 kaki) pesawat itu bagi menjamin keselesaan pengunjung.

“Saya mahu mengekalkan ciri-ciri pesawat seperti pintu masuk... jadi mungkin satu dua bilik akan menggunakan pintu bagasi sebagai pintu masuk dan ada bilik akan diakses menggunakan pintu masuk penumpang. Ini memberi pengalaman tersendiri kepada pengunjung.

“Bahagian kokpit pula akan dikekalkan supaya semua pengunjung boleh merakamkan kenangan. Trend terkini pengunjung mahu gambar yang cantik untuk dimuat naik dalam laman sosial khususnya di Instagram,” katanya.
Bahagian dalaman pesawat yang akan diubah suai menjadi bilik hotel.

Bagi merealisasikan impian itu, Kevin memberitahu beliau kini ‘meninggalkan sementara’ urusan perniagaannya di Kuala Lumpur kerana mahu seluruh tenaga dan masa ditumpukan kepada pembinaan hotel itu, supaya siap mengikut jadual.

Katanya, mereka tidak mempunyai banyak masa kerana telah menghabiskan dua tahun ‘meronda ke pelbagai tempat’ bagi mencari pesawat yang semuanya berakhir dengan kehampaan kerana keadaan kapal terbang yang tidak sesuai.

“Ada yang kata lebih murah dan mudah jika kami hasilkan sahaja bangunan berbentuk kapal terbang. Tapi saya tidak mahu kerana perasaannya tidak sama jika dibandingkan dengan menggunakan sebuah pesawat betul,” katanya.

Sejak dua minggu lepas, rutin hariannya adalah membuka setiap lekap dalam pesawat bagi mendapat ukuran dalaman sebenar sebelum mereka bentuk dalaman bilik yang setiap satu memiliki bilik air sendiri.

Kevin berkata, bagi ‘melindungi’ keunikan hotel itu, mereka sedang mendaftarkan jenama hotel kapal terbang itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Pesawat Boeing 737-400 yang 'terdampar' di dalam hutan di Sungai Lembing ini dipindahkan dari Selangor dengan menggunakan lima buah treler dan dua kren.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...