> > Berikan hak kepada yang berhak
Berikan hak kepada yang berhak

Kenyataan Menteri Pendidikan mengenai aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi, dengan ketidakadilan syarikat swasta yang mensyaratkan kebolehan Bahasa Mandarin kepada orang Melayu yang memohon pekerjaan, mendapat reaksi yang pelbagai daripada khalayak. Lebih menyedihkan lagi, serangan itu datang daripada sesama pemimpin dalam kalangan PH.

Ini bukan kali pertama serangan ini dibuat. Setiap kali Menteri mengeluarkan kenyataan yang akan kaitannya dengan Islam, Melayu dan bumiputera, mengikut perlembagaan, pasti akan pihak yang tidak senang hati.

Misalnya, Ahli EXCO Kerajaan Selangor, Teng Chang Khim, berkata bahawa tindakan Menteri Pendidikan dalam isu matrikulasi ini sebagai bodoh (“foolish” dan “idiot”).

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, pula berkata Menteri Pendidikan bertindak seperti pemimpin UMNO. Ridhuan Tee (2019) turut mengecam kenyataan Ramasamy ini.

Ridhuan Tee menyokong langkah Menteri Pendidikan itu berkata, Menteri Pendidikan telah bertindak dengan betul sebagai seorang negawaran. Kenapa perlu syaratkan mandarin untuk mendapatkan pekerjaan? Negara ini berasaskan sistem kenegaraan Melayu atau tidak? Semuanya sudah termaktub dalam perlembagaan. Usah pertikaikan kemasukan ke Matrikulasi, kerana kewujudannya berperlembagaan, selaras dengan peruntukan perkara 153 dan Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Malah, MRSM pun yang dahulu seratus peritus Melayu dan bumiputera telah dibuka kepada bukan Melayu.

Dalam maksud, kerajaan telah memberikan hak kepada yang berhak. Itulah makna keadilan sebenarnya. Bukannya sama rata dan sama rasa, kerana pasti ia tidak dapat memenuhi tuntutan semua pihak yang mempunyai pelbagai karenah.

Ingat! Kebolehan berbahasa asing hanya kredit dan turut dituntut Islam. Itu bukan bermakna, syarikat swasta boleh bertindak sewenang-wenang sehingga bertentangan dengan cara hidup bernegara dan bertentangan dengan perlembagaan.

Menurut Shad Faruqi (2003), perlembagaan hanya membenarkan kita belajar Bahasa asing (ibunda), bukan belajar dalam Bahasa asing. Tetapi dek kerajaan kebaikan kerajaan dan orang Melayu Islam, belajar dalam Bahasa asing (ibunda) tetap dibenarkan dalam Pendidikan dengan wujudnya sekolah-sekolah vernacular seperti SJKC (1300 buah) dan SJKT (500 buah).

Sekolah Jenis Kebangsaan ini akan terus bertambah dari masa ke semasa. Mana ada negara di dunia membenarkan perkara sebegini berlaku. Kenali hati budi Menteri Pendidikan. Beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan semborono.

Menganalisis daripada semua reaksi ini, saya tidak nampak Menteri bersifat perkauman atau bertindak seperti UMNO. Pada hemat saya, Menteri Pendidikan begitu terbuka dan meraikan kepelbagaian.

Untuk makluman, ini bukanlah kali pertama Menteri Pendidikan berhadapan dengan serangan-serangan ini. Saya harap Menteri tabah menghadapi semua dugaan ini.

Sebelum ini Menteri dihentam teruk apabila berkata, tiadanya peruntukan bagi Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kerana SMPC tidak termasuk dalam sistem pendidikan nasional.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, dan ADUN Bercham, Ong Boon Piow menyerang beliau habis-habisan.

Begitu juga apabila Menteri menasihatkan guru-guru agama dari Semenanjung yang bertugas di Sarawak menjadikan negeri itu sebagai “medan dakwah”. Kecaman yang sama turut diterima.

Untuk makluman, tiga minggu lalu “Stephen Ng” telah membuat satu petisyen yang kini telah mengumpul lebih 48,000 tandatangan bagi mendesak Perdana Menteri memecat Menteri Pendidikan.

Minggu lalu, “No Hope Malaysia” telah membuat satu lagi petisyen yang kini telah mengumpul lebih 12,000 tandatangan bagi mendesak Menteri meletakkan jawatan.

Saya fikir sudah sampai masanya para akademia tampil ke hadapan mempertahankan apa yang benar, apa yang salah. Menteri Pendidikan cuba melakukan yang terbaik dalam bidang Pendidikan, Beliau telah bertindak mengikut saluran yang betul dan berperlembagaan. Kenapa harus diserang sedemikian rupa.

Isu kuota peruntukan pelajar Melayu dan Bumiputera perlu dikekalkan dan ditambahbaik demi keperluan semasa. Ia juga selaras dengan faktor sosio ekonomi dari segi pendapatan, Melayu dan bumiputera masih jauh ketinggalan.

Malahan, Menteri juga begitu prihatin ke atas golongan B40 yang majoritinya juga adalah Melayu dan Bumiputra. Maka, tidak salah mengekalkan kuota tersebut dengan beberapa penambahbaikan. Kita tidak boleh biarkan kaum majoriti negara ini hidup dalam ketinggalan dalam semua sektor berbanding kaum lain.

Saya bersetuju dengan pendapat Hasan Tan (2019) bahawa setiap peruntukan daripada kerajaan kepada mana-mana aliran sekolah perlu mengikuti prosedur dan ketertiban peraturan mengikut “Rule Of Law” dan bukannya “Rule By Law”. Justeru, tidak menjadi kesalahan kepada Menteri Pendidikan bertindak sedemikian rupa demi menjaga integriti sebagai seorang Menteri.

Saya juga ingin membawa pembaca meneliti pendapat Felo penyelidik utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, bukan Melayu, Profesor Teo Kok Seong (2019) berkata cadangan menutup program matrikulasi itu juga tidak boleh diterima. Ini kerana, jika ambil kira Perlembagaan dan ikut sejarah dalam kontrak sosial, program matrikulasi adalah sebahagian daripadanya. Dalam kontrak sosial, orang Melayu merupakan penduduk asal yang perlu diberi keistimewaan. Jika matrikulasi dihapuskan, ini mencabuli kontrak sosial.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Gerakan, Dr Dominic Hau Loe Chai berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berani untuk menghapuskan program matrikulasi sebagai permulaan pentadbiran yang adil kepada semua kaum dalam matlamat membina sebuah Malaysia baru. Dominic berkata, langkah itu dilihat bertepatan dengan situasi semasa dan ia perlu dilakukan bagi menghentikan layanan tidak adil terhadap pelajar bukan Bumiputera di negara ini.

Teo tidak dapat menerima kenyataan sebegini. Program matrikulasi sudah tidak relevan merupakan satu kenyataan politik. Tujuannya, bagi membolehkan kaum lain seperti orang Cina terus memberi sokongan kepada PH.

Untuk makluman, matrikulasi merupakan program pra-universiti yang diperkenalkan pada 1999 oleh Kementerian Pendidikan bagi membantu pelajar Melayu dan Bumiputera melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan profesional lain.

Bagaimanapun, program matrikulasi sering dikritik oleh mereka tidak faham asas hidup bernegara, sebagai “pintu belakang” bagi pelajar Bumiputera untuk memasuki universiti tempatan, selain dikatakan sebagai “laluan mudah” berbanding STPM.

Pada 29 April lalu, Menteri Pendidikan mengumumkan penambahan 60 peratus pengambilan ke program matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 pelajar, dengan mengekalkan nisbah 90 peratus kuota Melayu dan Bumiputera dan 10 peratus untuk bukan Bumiputera. Penambahan itu membolehkan penambahan pengambilan pelajar bukan Melayu tanpa menjejaskan kuota tersebut.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa masih ramai lagi dalam kita yang jahil dalam memahami sejarah dan perlembagaan. Isu matrikulasi, adalah sebahagian kecil daripadanya. Masih banyak lagi perkara asas yang perlu kita selami, fahami dan hadami bersama, terutama melibatkan tatacara hidup bernegara berasaskan perlembagaan. Sudah sampai masanya, subjek berkaitan dengan semua perkara ini terus diwajibkan dan dikembangkan dari masa ke semasa bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang sejahtera dan makmur bersama seperti yang dicita-citakan.

* Penulis merupakan Naib Canselori UniSZA


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...