> IKON > Pendebat-pendebat muda USIM cemerlang berhujah di pentas antarabangsa
Pendebat-pendebat muda USIM cemerlang berhujah di pentas antarabangsa
SYAZLYNA JAMIL Khamis | 23 Mei 2019

Syabas diucapkan buat pasukan debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)! Bertanding dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) pada Mac lalu memberi kejayaan baharu buat pasukan pendebat muda USIM. Empat penuntut USIM iaitu Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Adam Fikry Bakru Razi (Fakulti Syariah dan Undang-undang), Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha (Fakulti Pengajian Bahasa Utama) telah dinobatkan sebagai johan mengalahkan pendebat University Calgary, Canada.

Mereka bukan sahaja telah mengharumkan nama universiti malah Malaysia. Pasukan di bawah didikan Ahmad Norsyafwan Norawavi, Guru Bahasa Pusat Pengajian Teras (PPT) nyata telah mencipta kejayaan berganda apabila Muhammad Muzakkir dan Suwaibah tersenarai sebagai pendebat di ranking pertama dan kedua keseluruhan. Manakan tidak, ia secara tidak langsung merekodkan satu kejayaan besar buat USIM pada permulaan tahun 2019.

Justeru, mari kenali pendebat-pendebat muda ini melalui rangkuman temu bual yang disediakan.

Bagaimana anda terlibat dalam debat Bahasa Arab?

Muzakkir: Sejak dari sekolah menengah lagi saya terlibat dalam debat, tetapi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Oleh kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu, saya sertai debat Bahasa Arab Intertamhidi dan bermula dari itu, saya mula menyertai debat Naib Canselor Bahasa Arab seterusnya saya diserap ke kelab debat Bahasa Arab USIM dan mewakili USIM di beberapa pertandingan lain seperti Pertandingan Ihtifal ASEAN, Debat Mahrajan UM dan Debat Maalhijrah UIA.

Muzakkir

Adam: Saya terlibat dalam debat Bahasa Arab sejak dari tahun satu yang mana permulaannya sebagai pemain simpanan dalam Pertandingan Ihtifal ASEAN. Sejak itu saya kerap menyertai pelbagai pertandingan debat Bahasa Arab sebagai medium untuk mengasah kemahiran berfikir dan meningkatkan kosa kata dalam Bahasa Arab.

Hamidah: Saya mula menyertai debat Bahasa Arab semasa di sekolah menengah, tingkatan. Berkat dorongan guru-guru Bahasa Arab semasa di sekolah menengah juga sedikit sebanyak telah memberi semangat untuk saya terus terlibat dalam debat secara aktif.

Suwaibah: Saya pula terlibat dengan debat Bahasa Arab sejak pengajian diploma di UniSZA. Secara kebetulan, pasukan debat USIM ini juga pernah menjadi pasukan lawan sewaktu sama-sama bertanding ketika saya menuntut di UniSZA. Perancangan yang indah diatur oleh ALLAH, kali ini dapat bersama-sama dengan pasukan yang hebat untuk mencipta kejayaan lebih baik.

Adakah sukar mendalami Bahasa Arab? Kongsi pengalaman dan bagaimana mengatasinya.

Muzakkir: Sejujurnya debat Bahasa Arab ini sukar juga tetapi disebabkan minat dan dorongan dari orang yang berpengalaman, semuanya dipermudahkan. Bagi saya, kesukaran itu merupakan satu cabaran yang saya dihadapi untuk mempertingkatkan kemampuan pada masa depan.

Adam: Pada saya ada kesukarannya kerana komitmen yang tinggi diperlukan dalam menjalani latihan sehari-hari. Berhadapan dengan tekanan apabila berhadapan dengan pihak lawan yang berbakat dari universiti lain tidak pernah mematahkan semangat namun melonjakkan lebih keinginan untuk tampil hebat juga.

Adam

Hamidah: Ya, sudah tentu ada kesukarannya. Saya sebelumnya tidak pernah memenangi apa-apa pertandingan sehinggalah pada tahun 2018 telah mencipta kejayaan bersama pasukan debat di Indonesia. Kesukaran itu di atasi dengan perbanyakkan latihan sebagai persiapan sebelum bertanding. Pengorbanan masa yang perlu berjaga malam 2 hingga 3 hari sebelum pertandingan disusuli dengan jadual kelas yang padat menuntut kerjasama pasukan dan pembahagian jadual kuliah secara teratur.

Suwaibah

Suwaibah: Pada awal penglibatan saya dalam debat, ada kesukarannya. Namun, dorongan untuk saya kekal dalam debat Bahasa Arab adalah disebabkan keinginan untuk mendalami lebih lagi keindahan Bahasa Arab, sendiri. Bagi saya, elemen pembelajaran untuk mempertingkatkan kemahiran berbahasa Arab merangkumi membaca, menulis, mendengar dan berhujah dalam pertandingan debat Bahasa Arab.

Cabaran mendalami Bahasa Arab harus diatasi. Kongsi kata-kata inspirasi dan galakan buat rakan yang lain.

Muzakkir: Jangan takut berbahasa Arab. Jangan juga malu jika salah nahu saraf kerana hanya ada satu cara sahaja untuk cemerlang nahu saraf iaitu dengan bercakap. Sedikit tip dari saya untuk kosa kata, jika ada satu perkataan yang kita tidak tahu, segera buat carian dalam Bahasa Arab dan kerap membina ayat menggunakan perkataan tersebut.

Adam: Saya selalu menerapkan nilai mahu belajar dan banyakkan bertanya jika tidak pasti dalam menggunakan ayat dalam pertuturan. Apa yang penting adalah, sentiasa berusaha dalam belajar Bahasa Arab tanpa hiraukan kesukarannya kerana apabila kita berhenti itu bermakna kita gagal mencuba.

Hamidah

Hamidah: Sekiranya rakan-rakan minat untuk mendalami Bahasa Arab, sertai kelab debat dan banyakkan berkomunikasi bersama rakan kerana bagi saya pembelajaran di dalam kelas belum memadai untuk kita lancar dalam berbahasa Arab. Selain itu, harus sentiasa tingkatkan usaha untuk perbaiki kemahiran berbahasa Arab.

Suwaibah: Buat rakan-rakan, kemenangan ini adalah kemenangan kita bersama, justeru jika ada minat untuk mendalami Bahasa Arab, teruskanlah. Keazaman dan tekad perlu disemat dalam memajukan diri walaupun ianya di luar kebiasaannya. ‘Bercita-citalah setinggi langit, sekalipun gagal dan jatuh ke awan, namun masih tinggi’.

* IUADC merupakan acara dwi tahunan merupakan edisi kelima sejak mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan tersebut telah disertai lebih 100 buah pasukan debat dari seluruh dunia yang berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...