> > Tak sangka ini fakta yang penyelidik UMT temui berkaitan hidangan lauk belangkas 'rare' hingga dapat sambutan tinggi...
Tak sangka ini fakta yang penyelidik UMT temui berkaitan hidangan lauk belangkas 'rare' hingga dapat sambutan tinggi...
PROF. MADYA DR. FARIDAH MOHAMAD Jumaat | 24 Mei 2019

BELANGKAS kini begitu popular di Malaysia. Haiwan ini merupakan hasil laut yang agak sukar dijumpai namun amat digemari sebagai hidangan eksotik di beberapa buah negeri seperti Johor, Melaka dan Kedah.

Kemahiran dan pengetahuan yang tinggi untuk menyiang dan membuang ‘racun’ (hakikatnya belangkas tidak mengeluarkan racunnya sendiri) membuatkan hidangan ini agak sukar ditemui kecuali di restoran-restoran tertentu, justeru juga pada nilai yang agak tinggi.

Fakta-fakta ini menjadikan hidangan lauk belangkas menjadi begitu ‘rare’ dan mendapat sambutan yang begitu tinggi. Malah Pos Malaysia sendiri turut memaparkan belangkas sebagai makanan eksotik Malaysia pada koleksi setem khas Makanan Eksotik bernilai 50 sen pada penghujung 2018.

Fenomena lauk ‘rare’ belangkas, menjadikan haiwan ini meningkat harganya dan ada nelayan turun ke laut khusus sebagai pemukat belangkas. Menariknya, hanya belangkas betina yang mendapat permintaan pasaran kerana kebanyakan masakan adalah berasaskan telur belangkas, manakala badan belangkas sendiri kurang isinya.

Kerabu telur belangkas antara yang disediakan dalam menu restoran makanan laut. (FOTO UMT)

Bertelur ketika bulan penuh

Walau bagaimanapun, jarang sekali kita dihidangkan dengan fakta sains tentang belangkas ini.

Terdapat empat spesies belangkas di dunia, satu di Amerika, dan tiga di Asia termasuk Malaysia, iaitu Tachypleus tridentatus, Tachypleus gigas dan Carcinoscorpius rotundicauda.

Belangkas secara umumnya merupakan haiwan yang panjang usianya, justeru juga mengambil masa agak lama untuk mencapai usia matang. Haiwan ini boleh hidup sehingga puluhan tahun, dan mungkin mencapai usia matang selepas usia 4-8 tahun mengikut spesies.

Spesies yang biasa dijadikan lauk ialah Tachypleus gigas, spesies bersaiz sederhana dengan betina matang selebar 190-250mm, sementara jantan lebih kecil pada saiz 130-190mm.

Spesies paya bakau, Carcinoscorpius rotundicauda yang tertera namanya pada setem kenangan makanan eksotik Malaysia juga dilaporkan boleh dimakan tetapi spesies itu turut mempunyai laporan keracunan yang agak tinggi termasuk di negara jiran, Thailand.

Belangkas dijual segar di restoran makanan laut di utara Semenanjung. (FOTO UMT)

Sehingga kini, belangkas belum diternak kerana mengambil tempoh matang yang terlalu lama iaitu kira-kira 6-7 tahun. Tempoh matang pula diketahui melalui penghasilan telur bagi belangkas betina.

Semua belangkas yang dijual untuk hidangan masakan datang dari habitat semula jadi iaitu laut, hasil tangkapan nelayan. Kebanyakan masa haiwan ini dihabiskan di laut dalam dan ia hanya akan berenang ke pesisir pantai yang cetek secara berpasangan untuk bertelur terutamanya ketika bulan penuh.

Hal ini menjadikan haiwan ini seolah-olah bermusim yang hanya akan dapat ditemui di pasar-pasar basah pada waktu-waktu tertentu sahaja dalam sebulan dan bekalannya agak terhad.

Terdapat pelbagai cara penangkapan yang sering kali diguna pakai, kebanyakannya pukat selain mengutip dengan tangan ketika pasangan belangkas ini hadir untuk bertelur di air cetek.

Pun begitu, kebanyakan hanya belangkas betina diambil, sementara jantan dilepaskan kerana tiada nilai pasaran.

Populasi belangkas 9: 1

Pengalaman penulis yang boleh dikatakan ‘akrab’ dengan komuniti nelayan menangkap haiwan itu, mereka begitu ikhlas memberitahu bahawa belangkas jantan dilepaskan untuk membiak dengan betina lain, supaya generasi belangkas dapat diteruskan, satu usaha murni yang memang patut diberi pujian.

Walau bagaimanapun, komuniti harus melakukan lebih dari itu untuk menjamin generasi belangkas di negara ini.

Sepanjang kajian penulis jalankan ke atas beberapa komuniti nelayan di Pantai Timur Semenanjung, nelayan mengatakan bahawa sekitar 40-50 tahun yang lalu, haiwan ini amat banyak ditemui di pantai ketika bulan penuh.
Telur belangkas yang sedia untuk ditetaskan. (FOTO UMT)

Walau bagaimanapun, kini ia amat jarang ditemui meskipun mereka begitu yakin mengatakan bahawa haiwan itu tidak pupus, malah mengaku setiap kali mengangkat pukat ketam, mereka pasti akan mendapat seekor dua belangkas.

Mereka agak terkejut apabila diberitahu bahawa ‘survey’ kami terhadap populasi belangkas di kawasan mereka menunjukkan nisbah jantan kepada betina yang sangat tinggi mencecah 9: 1. Kami yakin ini adalah disebabkan hasil tangkapan betina berlebihan.

Jadi, niat murni mereka melepaskan jantan untuk membiak dengan betina lain agak tidak kesampaian kerana kurangnya belangkas betina di habitatnya. Lambat laun, populasi belangkas ini akan makin berkurangan kerana rendahnya kadar pembiakan yang berlaku.

Di beberapa kawasan di Pantai Barat, nelayan menahan pukat yang amat panjang di kawasan pasang-surut dengan jarak kurang daripada 10 meter dari kawasan pantai tempat belangkas bertelur.

Dengan pukat panjang begini, hampir kesemua pasangan belangkas yang datang untuk bertelur akan tersangkut pada pukat sebelum sempat tiba ke tapak bertelur.

Anak-anak belangkas berusia 5-8 bulan yang bersaiz 50 sen akan dilepaskan ke habitat semula jadi. (FOTO UMT)
Setiap pasangan Tachypleus gigas mampu bertelur dalam 12 sarang dengan jumlah telur sebanyak 2,000 biji setiap kali mereka naik ke air cetek. Bayangkan kesannya kepada populasi belangkas pada masa hadapan jika setiap kali bulan penuh, hampir 200 belangkas betina penuh telur yang berakhir di atas meja jualan di pasar-pasar basah atau restoran makanan laut.

Setiap pinggan yang menyajikan juadah belangkas pula pastinya dengan mati seekor belangkas berusia sekurang-kurangnya 5 tahun, dengan lebih daripada 2,000 biji telur, hanya untuk satu atau dua pinggan lauk.

Risiko termakan logam berat

Terdapat fakta saintifik yang mengatakan bahawa cangkerang merupakan salah satu organ pengumpulan logam dan logam berat yang tidak diperlukan haiwan invertebrata marin termasuk belangkas.

Setiap biji telur belangkas yang terdapat di dalam badan betina tersebut diselaputi cangkerang. Sekiranya belangkas yang dimakan tersebut berasal daripada habitat tinggi kandungan logamnya, maka tinggilah potensi bahawa tumpukan logam-logam pada setiap cangkerang telurnya sebagai satu mekanisme pembuangan.

Maka, memakan telur belangkas mungkin meningkatkan risiko kita untuk termakan bersama logam-logam berat yang mungkin membawa mudarat kepada kesihatan kita di masa hadapan.

Inisiatif pemuliharaan

Masalah populasi belangkas yang menurun ini bukan hanya berlaku di negara kita malah merupakan masalah global. Antara faktor besar penurunan jumlah haiwan ini di habitatnya ialah penangkapan tidak terkawal untuk memenuhi permintaan pasaran.

Dahulunya Thailand mempunyai populasi belangkas yang agak tinggi, tetapi akibat penangkapan yang tidak terkawal, ia kini mengimport bekalan dari Malaysia dan juga Indonesia. Jelas sekali, permintaan dari negara jiran juga menjadi faktor menyusutnya jumlah populasi belangkas di Malaysia.
Deretan pancang-pancang kayu yang mana pukat ditahan sangat hampir dengan kawasan belangkas bertelur. (FOTO UMT)

Di selatan Semenanjung, terdapat pembekal belangkas yang menjalankan usaha pemuliharaan dengan menetaskan telur belangkas dan membesarkannya sehingga beberapa bulan di hatcheri, seterusnya anak-anak belangkas ini dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Walaupun tiada laporan tentang ‘survival’ anak-anak belangkas itu, usaha murni ini harus diteruskan tetapi perlu dijamin keberkesanannya untuk memastikan ia mampu ‘menggantikan’ belangkas-belangkas dewasa yang ‘hilang’.

Pemuliharaan, atau konservasi bukanlah bermakna kita langsung tidak boleh menggunakan sesuatu sumber yang kita ada, tetapi konsepnya lebih kepada pengurusan sumber semula jadi dengan cara mapan, yang diambil mesti berganti sehingga sumber-sumber ini akan berterusan sehingga bila-bila.

Belangkas merupakan haiwan unik yang ada hanya di beberapa tempat tertentu di dunia. Kehadirannya juga pasti ada fungsi tersendiri di habitatnya, bukan dicipta sia-sia. Maka amat wajarlah untuk kita sama-sama menguruskan khazanah alam ini dengan sebaiknya.

Sumber-sumber alam ini bukan kita warisi daripada nenek moyang kita, tapi amanah yang kita harus jaga untuk generasi seterusnya menikmatinya.
DR. FARIDAH MOHAMAD

*Prof. Madya Dr. Faridah Mohamad salah seorang ahli Kumpulan Penyelidikan Belangkas (HCRG), Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...