> AKTIVITI KAMPUS > Mahasiswa UM bina asas kekeluargaan bersama penghuni kecil Rumah NURI
Mahasiswa UM bina asas kekeluargaan bersama penghuni kecil Rumah NURI
NAHRIZUL ADIB KADRI Sabtu | 8 Jun 2019

Kanak-kanak sering menjadi mangsa keadaan apabila sesebuah keluarga ditimpa masalah, sama ada dari aspek fizikal, kewangan, dan hubungan kekeluargaan.

“Usia mereka yang masih muda tidak memungkinkan mereka untuk berdikari, dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk membantu selagi termampu,” kata Shree Danusha Ganasan, 20, mahasiswa tahun pertama jurusan bioinformatik Universiti Malaya (UM), yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Shree Danusha dan 21 orang rakan sekuliahnya telah meluangkan masa selama tiga hari bersama penghuni Persatuan Rumah Kebajikan Perlindungan Teratak Nur Insan Kuala Lumpur dan Selangor (NURI) di Setapak, Kuala Lumpur, di dalam sebuah program yang dinamakan Jalinan Kasih Mahasiswa Bioinformatik 2019.

Anak-anak NURI yang teruja untuk memulakan aktiviti seni.
“Program ini antara lainnya bertujuan untuk mendekati penghuni-penghuni kecil Rumah NURI yang hampir kesemuanya datang dari keluarga yang bermasalah di ibu kota. Kami mengharapkan kehadiran kami akan memberi sedikit keceriaan kepada mereka untuk meneruskan hidup dan mempunyai cita-cita untuk berjaya pada satu masa nanti,” katanya lagi.

Berbanding program kemasyarakatan yang dianjurkan di rumah kebajikan yang lain, program Jalinan Kasih ini menekankan kepentingan terhadap asas kekeluargaan yang baik, terutamanya untuk pembangunan diri dan sosial kanak-kanak yang terlibat.

“Kami memilih untuk menggunakan tema ‘Love All, Serve All’, yang menekankan kepentingan sifat kasih sayang untuk semua. Sebagai kanak-kanak, mereka juga diberi hakupaya untuk sama-sama berkongsi rasa belas dan sayang kepada rakan-rakan yang lain, walaupun masih muda. Kesemua aktiviti dan permainan yang dirancang sengaja kami fokuskan kepada aspek ini, dan bukan berbentuk pertandingan semata-mata,” kata Najwa Huda Khairul ‘Azuddin, 20, yang merupakan sukarelawan program.
Antara hasil kreativiti anak-anak NURI mencetak warna berdasarkan tema kasih sayang.

“Walaupun program ini merupakan sebahagian daripada keperluan subjek wajib universiti yang perlu diambil oleh kesemua mahasiswa UM, saya yakin impak tidak langsung juga dinikmati oleh sukarelawan yang turut terkesan melalui perubahan dalam diri masing-masing. Pemupukan nilai kasih sayang terhadap komuniti merupakan salah satu nilai teras universiti yang sentiasa diberi perhatian khusus di dalam kebanyakan inisiatif pembangunan mahasiswa. Program ini secara jelas telah menerapkan inspirasi kesejahteraan sosial di kalangan sukarelawan,” kata Dr. Arpah Abu, pensyarah kanan Fakulti Sains UM, yang juga merupakan penasihat program.

Antara aktiviti yang diadakan bersama 35 orang penghuni rumah NURI ini termasuklah senamrobik, ‘explorace’, mewarna, dan pelbagai aktiviti berkumpulan yang lain.

“Paling menarik, apabila kami meminta kanak-kanak di sini untuk mengekspresikan kefahaman mereka mengenai apa yang mereka sayangi melalui kaedah cetakan warna. Saya secara peribadi agak terharu kerana jelas melalui hasil seni mereka yang kesemua anak-anak di sini sangat mengharapkan sebuah unit keluarga yang bahagia dan harmoni. Saya yakin jika keinginan positif ini dapat disemai dengan baik, keinginan mereka untuk hidup di dalam sebuah keluarga yang mereka ingini itu akan dapat dicapai,” kata Najwa Huda lagi.
Sukarelawan dan penjaga rumah NURI bergambar kenangan setelah tamat program.

“Saya bangga dengan pelaksanaan program Jalinan Kasih yang pertama kali diadakan ini, kerana secara langsung telah berjaya meningkatkan rasa tanggungjawab sosial di kalangan sukarelawan yang mengambil bahagian.

“Biar pun hanya meluangkan masa bersama kanak-kanak, keseluruhan proses persiapan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti riadah, sahsiah dan akademik ini bakal membentuk mahasiswa holistik yang prihatin dan berjaya kelak. Aliran manfaat dua hala sebeginilah bakal menjadi elemen terpenting dalam pembangunan asas keluarga dan masyarakat yang harmoni,” kata Shree Danusha mengakhiri temubual.

Rumah kebajikan NURI ini ditubuhkan pada tahun 2007, dengan lapan orang penghuni sahaja. Kini penghuninya berjumlah 35 orang, yang berumur antara tiga hingga 17 tahun.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...