> Pakar UPM hasilkan solusi diagnosis penyakit kerongkong yang lebih tepat, pantas
Pakar UPM hasilkan solusi diagnosis penyakit kerongkong yang lebih tepat, pantas
NORHAYATI ALLI SUMBER: UPM Selasa | 11 Jun 2019

PEMERIKSAAN penyakit kerongkong kini lebih mudah, tepat dan pantas dengan inovasi Throat-lite yang dihasilkan pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Throat-lite menggabungkan penggunaan wooden tongue depressor atau spatula pakai buang sedia ada yang ditambah baik dengan lampu LED mini.

Lampu LED yang kecil, ringan dan boleh dipusing 360 darjah hanya perlu klip pada wooden tongue depressor untuk digunakan. Ia hanya dipegang dengan sebelah tangan, manakala cahaya daripada lampu LED mini pada wooden tongue depressor, boleh dihalakan tepat pada bahagian yang perlu diberi perhatian.

Pakar Patologi (Hematologi) (Pengkhususan Kaji Penyakit Bahagian Darah), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Prof. Madya Dr. Sabariah Md Noor berkata, melalui intervensi itu, pemeriksaan kerongkong dalam kalangan kanak-kanak akan menjadi lebih mudah dan membolehkan ia dilakukan seorang pengamal perubatan sahaja.

Cara penggunaan ‘Throat-lite’ dengan lampu LED mini yang dipasang dan di hala ke kerongkong. (FOTO UPM)
“Pengamal perubatan tidak memerlukan bantuan kakitangan sokongan atau ibu bapa pesakit untuk memegang, meriba pesakit atau menstabilkan kedudukan kepala pesakit dan menenangkan kanak-kanak yang mungkin meragam sewaktu pemeriksaan dilakukan.

“Ini kerana Throat-lite ini bersaiz kecil, mudah alih dan praktikal, boleh memberi impak besar dalam tugas harian pengamal perubatan memberi rawatan segera dan bersesuaian berbanding pendiagnosisan penyakit,” jelasnya.

Pemeriksaan lebih rumit

Katanya, idea menghasilkan Throat-lite tercetus ketika perbincangan dengan Pakar Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr. [email protected] Shaari kerana menyedari kesulitan dihadapi pengamal perubatan semasa pemeriksaan kerongkong kanak-kanak.
Dr. Sabariah membuat pemeriksaan ke atas seorang kanak-kanak. (FOTO UPM)

Perbincangan itu tambahnya, diketengahkan sebagai satu projek yang membabitkan dua pelajar tingkatan satu Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya – Muhammad Danish Imtiaz Syamul Kamal, dan Aiman Harun Norashid – pada Program Global I-Lead STEM Camp & International STEM Olympiad (GISC & ISTEMO) 2018 di UPM, baru-baru ini.

Sebelum program GISC itu, kaji selidik telah dijalankan dalam kalangan pengamal perubatan mengenai masalah dan keperluan pencahayaan yang baik sewaktu pemeriksaan kerongkong.

Sebanyak 90 peratus responden bersetuju pemeriksaan kaviti oral dalam kalangan kanak-kanak adalah rumit berbanding pemeriksaan orang dewasa dan mereka sebulat suara bahawa sumber cahaya adalah keperluan yang amat penting dalam pemeriksaan kerongkong dengan baik.

Dr. Sabariah menunjukkan ‘Throat-lite’. (FOTO UPM)

Kajian pasca intervensi penggunaan Throat-lite yang telah memenangi anugerah pingat perak pada ISTEMO 2018 juga dilakukan sepanjang program GISC itu membabitkan 24 pengamal perubatan.

Sebanyak 63 peratus responden amat berpuas hati, 21 peratus berpuas hati dan selebihnya bersetuju dengan intervensi berkenaan.

Maklum balas mengenai tiga aspek utama yang paling membantu mereka sama ada reka bentuk, alat yang senang untuk digunakan, faktor mobiliti dan praktikaliti atau kesemua ciri tersebut, menunjukkan 46 peratus menyatakan mereka menyukainya kerana faktor mobiliti dan praktikaliti, 42 peratus menghargai intervensi pemasangan lampu LED mini itu dan berpuas hati dengan ketiga-tiga aspek yang disenaraikan iaitu reka bentuk, faktor mudah alih dan praktikaliti.

Dr. Sabariah berharap penggunaan Throat-lite dapat merealisasikan sebahagian misi dan visi Kementerian Kesihatan iaitu pemeriksaan pesakit dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap ke arah pendiagnosan penyakit yang tepat, seterusnya rawatan segera dan bersesuaian dapat dijalankan.

Throat-lite’ yang menggabungkan penggunaan ‘wooden tongue depressor’ atau spatula dengan lampu LED mini. (FOTO UPM)


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...