> IKON > Tak sangka, kerana muzik siswazah UiTM ini berubah...
Tak sangka, kerana muzik siswazah UiTM ini berubah...
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI Rabu | 12 Jun 2019

GEORGETOWN - Impiannya ingin memartabatkan muzik irama Malaysia kepada generasi akan datang yang kini lebih menggemari muzik luar.

Penggubah lagu, Mohamad Khairul Ridzuan Abdullah, 30, berkata, keistimewaan irama Malaysia apabila ia terhasil daripada campuran pelbagai etnik di negara ini.

Menurutnya, pelbagai etnik termasuk kaum majoriti Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India serta dari Sabah dan Sarawak bergabung menghasilkan alunan muzik Nusantara yang unik.

“Muzik tradisional secara amnya digunakan sebagai lambang budaya sesuatu bangsa selain tujuan untuk hiburan dan mengiringi upacara adat.
MK Ridzuan sedang memberi tunjuk ajar kepada mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi.

“Gabungan ritma dan intonasi muzik yang murni bergabung menjadi suatu melodi istimewa. Muzik tradisional Malaysia mempunyai latar belakang yang menarik, peralatan muzik yang berlainan dan dimainkan sesuai dengan panorama tertentu.

“Muzik irama Malaysia tidak akan lapuk dek zaman kerana masih lagi ada penggemar muzik tradisional dan inilah yang ingin saya ketengahkan kepada generasi akan datang,” katanya.

Mahir berkomunikasi

Dia yang juga pemilik TITA Studio berkata, muzik juga mampu mengubah diri seseorang agar lebih yakin termasuk dirinya.

“Saya sebenarnya seorang yang pemalu, tidak pandai bergaul dan kurang keyakinan diri. Tetapi setelah lama berkecimpung dalam muzik, saya menjadi lebih baik.

“Berada di atas pentas semasa membuat persembahan di khalayak ramai melatih saya untuk menjadi lebih yakin dan berani untuk berhadapan dengan orang. Awal-awal tu memang gugup tapi lama-kelamaan saya belajar cara untuk mengawal rasa gugup,” katanya.

MK Ridzuan merupakan antara penggubah lagu muda yang ingin memartabatkan irama Malaysia di negara ini.

Dia yang lebih mesra disapa sebagai MK Ridzuan berkata, muzik juga mampu menjadikan seseorang itu mahir dalam berkomunikasi.

“Saya kurang pendedahan dalam keluarga menyebabkan saya tidak pandai untuk berkomunikasi dengan orang ramai. Namun sebagai pemuzik, saya sentiasa berkolaborasi dan berkongsi idea dengan pemuzik lain dan ini menjadikan saya lebih baik dalam komunikasi,” katanya.

Cipta lagu

Menceritakan pengalamannya bidang muzik, anak jati Sungai Petani, Kedah ini berkata, dia mula berkecimpung dalam muzik ketika menyertai kumpulan orkestra di sekolah.

“Dalam keluarga tak ada pemuzik, jadi sebelum itu saya memang tiada sedikit pun pengalaman dalam bidang muzik. Di sekolah muzik orkestra (wind orchestra) selalunya memainkan muzik klasik barat.

“Ketika melanjutkan pelajaran dalam Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam saya mula menyertai orkestra komuniti dan semi pro yang ada di sekitar Lembah Klang seperti Orkestra Simfoni Remaja di bawah Istana Budaya, Malaysian Philharmonic Youth Orchestra di bawah Dewan Filharmonik Petronas, Orkestra KLPaC dan sebagainya,” katanya.
MK Ridzuan turut diundang sebagai tenaga pengajar jemputan di sekolah.

MK Ridzuan berkata, ketika melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Komposisi Muzik, dia mula mengubah muzik untuk persembahan kumpulan muzik.

“Saya juga mencipta dan menggubah lagu untuk teater muzikal dan artis tempatan untuk rakaman sebelum dimainkan di radio. Antaranya adalah Soo Wincci, Drama Band dan Projector Band. Setelah tamat pengajian, saya membuka perniagaan dan menjadi pemuzik bebas,” katanya.

Persembahan di London

Dia berkata, antara pencapaiannya adalah membuat persembahan muzik tradisional Melayu seperti Makyung dan wayang kulit di London pada 2012.

“Pada tahun 2016 saya menjadi pengarah muzik untuk konsert indie band, Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama orkestra. Selain itu pada tahun 2018 saya bersama SOG ke Paris untuk berkolaborasi bersama penerbit Perancis untuk berkarya dalam album SOG,” katanya.

Tambahnya, selain berkarya, dia juga diundang sebagai tenaga pengajar ke beberapa sekolah untuk melatih kumpulan orkestra.

MK Ridzuan mahir bermain alat muzik tradisional.

“Buat masa ini saya sibuk menguruskan studio rakaman yang baru ditubuhkan. Selain itu, saya dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Muzik Tradisional Malaysia yang berpusat di studio milik pemuzik terkenal Allahyarham Pak Ngah.

“Saya bersama jawatankuasa persatuan yang lain sedang merangka aktiviti untuk angkat muzik tradisional. Saya juga berkolaborasi bersama produksi muzik lain untuk menjayakan runut bunyi untuk sebuah filem tempatan yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi,” katanya.

*Artikel dipetik daripada ruangan Personaliti Kita terbitan Sinar Harian (Edisi Utara) Rabu 12 Jun 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...