> > Jejak Ramadan Palu buatkan mahasiswa UMP terkesan...
Jejak Ramadan Palu buatkan mahasiswa UMP terkesan...
MIMI RABITA, UMP Rabu | 12 Jun 2019

PENGALAMAN sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menghulurkan bantuan membantu mangsa tsunami dan gempa bumi di daerah Palu, Sulawesi Tengah, Sulawesi Indonesia tatkala umat Islam menjalani ibadah berpuasa baru-baru ini memberikan keinsafan terhadap lima mahasiswanya.

Mereka adalah Ezwan Shah Mohd Nordin, Nurul Waheeda Abdu Rahman, Nor Adzwa Rosli, Muhammad Zulhazmi Zakaria dan Nurdiana Wirman, diiringi Eksekutif Kanan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Abd. Rahman Ahmad yang menyertai misi kemanusiaan anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMP, Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST), Ibsan Foundation dan Bernama News Channel bersama Ikon Youth of Strength & Happiness (YOSH) iaitu Ardell Aryana dan Nadzmi Adhwa.

Sukarelawan UMP (dari kiri) Ezwan Shah, Abd. Rahman, Nurdiana, Nurul Waheeda, Nor Adzwa dan Zulhazmi. (FOTO UMP)
Menurut pengarah program Ezwan Shah yang juga Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar UMP, seramai 16 sukarelawan terlibat termasuk mahasiswa UMP dan sasaran program ini untuk menyalurkan bantuan dan dana yang telah dikumpulkan untuk disampaikan kepada mangsa tsunami dan gempa bumi sekitar lokasi zon merah bencana gempa bumi dan tsunami iaitu di Balaroa, Pantai Talise, Petobo, Desa Jono Oge dan Desa Sibalaya.

“Sukarelawan Malaysia dibantu Relawan Nusantara Palu dan antara sumbangan termasuklah kelengkapan solat seperti telekung, sejadah dan al-Quran untuk warga Desa Bangga, Dusun 2, Sigi yang merupakan sebuah desa yang teruk terjejas akibat gempa bumi. Peralatan sekolah seperti buku, pensel, bekas pensel dan sebagainya untuk anak-anak hasil sumbangan warga UMP turut disampaikan buat anak-anak di sini,” katanya.

Sukarelawan Malaysia bersama Relawan Nusantara di Pantai Talise Indonesia. (FOTO UMP)
Selain itu, terdapat juga sumbangan barang asas untuk warga Desa Bangga dan Dapur Umum yakni penempatan (hunian) sementara di sana yang dikenali sebagai 'sembako' mengandungi minyak masak, gula, garam, beras dan sebagainya. Turut menerima huluran bantuan ialah komuniti Lero Ngapa, Desa Lero dan Darul Tauhid.

Manakala penempatan sementara atau 'Huntara' ini ditempatkan di lereng bukit yang jauh dari laut untuk warga Desa Lero dan Darul Tauhid mangsa tsunami.

Pengagihan kelengkapan belajar di sekolah darurat di Desa Bangga memberikan kegembiraan buat pelajar. (FOTO UMP)

Di sini semua sukarelawan dari Malaysia dan relawan Indonesia dapat beramah mesra bersama warga desa dan mengadakan program bersama anak-anak.

Menurut sukarelawan UMP, Nurul Waheeda, mereka juga mengadakan program bersama anak-anak seperti mewarna, sukaneka, kelas bahasa Inggeris dan aktiviti pembelajaran menggunakan modul akademik yang sesuai memandangkan mereka telah ketinggalan dalam pelajaran.

Sementara itu bagi sukarelawan Nor Adzwa Rosli, pihaknya juga telah melakukan aktiviti trauma healing kepada anak-anak mangsa bencana berkenaan di sekolah Desa Bangga.

Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk Desa Bangga. (FOTO UMP)

"Jelas terpancar keseronokan anak-anak menyambut ketibaan sukarelawan Malaysia dan mereka tetap berminat untuk belajar walaupun berdepan dengan kesukaran akibat kekurangan kemudahan," ujarnya.

Manakala bagi Muhammad Zulhazmi Zakaria dan Nurdiana Wirman, kedua-duanya bersyukur terpilih berpeluang menyertai misi ini dan dapat menerapkan sikap kesukarelawan dalam diri setiap peserta serta melahirkan keinsafan atas kebesaran ALLAH serta kesabaran penduduk di sini berdepan dengan musibah serta bencana apatah lagi buat pertama kalinya mereka menyambut Ramadan dalam situasi sebegini.
Suasana di penempatan sementara mangsa tsunami Palu yang menjadi tumpuan bantuan sukarelawan UMP. (FOTO UMP)

"Kami merakamkan penghargaan terima kasih buat pengurusan UMP terutamanya pihak JHEPA dan fakulti yang banyak menyokong dalam menjayakan Misi Kemanusiaan Palu kali ini. Apa yang pasti ia menggamit kenangan buat kami apabila menamatkan pengajian kelak," ujar mereka.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...