> AKTIVITI KAMPUS > UM Smart Tutor, kelas tambahan holistik untuk yang kurang berkemampuan
UM Smart Tutor, kelas tambahan holistik untuk yang kurang berkemampuan
NAHRIZUL ADIB KADRI Isnin | 17 Jun 2019

Bagi menyahut seruan Kementerian Pelajaran yang ingin melihat mahasiswa universiti lebih proaktif dalam mendepani isu masyarakat, terutamanya yang melibatkan peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar, Universiti Malaya (UM) telah mengambil inisiatif tersendiri. Melalui Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM), UM telah menganjurkan siri kelas tuisyen untuk pelajar-pelajar dari keluarga golongan B40 yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seramai 75 orang pelajar dari tingkatan satu hingga lima dari kawasan perumahan PPR Pantai Permai dan Bukit Angkasa, Kerinchi, Kuala Lumpur telah mengambil bahagian di dalam program yang dinamakan ‘Smart Tutor’ ini.

Tutor sedang mengajar menggunakan bahan bantu mengajar seperti latihan yang disediakan oleh tutor.

Para peserta ‘Smart Tutor’ dibahagikan menurut tahap pendidikan mereka, dan kelas-kelas tuisyennya diadakan di bilik-bilik kuliah di Kompleks Perdana Siswa UM pada setiap hujung minggu, bermula dari 30 Mac hingga 27 Julai 2019. Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa UM dari pelbagai latar belakang jurusan pengajian.

“Konsep yang kami cuba bawakan di dalam ‘Smart Tutor’ adalah lebih menjurus kepada kaedah mengulangkaji yang lebih sistematik dan efisien. Untuk itu, fokus turut diberi kepada teknik mengadakan misi dan visi yang jelas, bagi membolehkan para peserta berusaha bersungguh-sungguh membina kecemerlangan di dalam bidang akademik,” kata Nur Athirah Azhar, 22, mahasiswa tahun ketiga Fakulti Sains UM, yang merupakan pengarah program.

Menariknya, ‘Smart Tutor’ turut menyelitkan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang berfungsi untuk membina sahsiah diri yang positif di kalangan peserta.

“Kejayaan di dalam peperiksaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor yang berkaitan, terutamanya dinamik diri pelajar itu sendiri. Seseorang yang positif dan berkeyakinan lebih cenderung untuk tidak berputus asa dalam melakukan sesuatu tugasan, termasuklah di dalam aspek persediaan menghadapi SPM,” kata Nur Athirah lagi.

Sistem abang dan kakak angkat meningkatkan kemesraan antara pelajar dan tutor.

Kemahiran komunikasi juga dijadikan antara elemen utama program, kerana kepentingannya di dalam proses pemahaman dan pembelajaran.

“Setiap daripada kami telah dibahagikan kepada kumpulan tertentu dan disertai dengan seorang mahasiswa UM yang bertindak sebagai abang atau kakak angkat untuk tempoh program berlangsung. Selain teknik mengulangkaji, mereka juga menjadi sumber rujukan kami untuk maklumat mengenai kehidupan sebagai seorang mahasiswa universiti di ibu kota. Secara tidak langsung, elemen ini menjadi penguat semangat kami untuk berusaha sehabis baik bagi membenarkan kami melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kelak,” kata Muhammad Danish Mohmad Zukrni, 17, pelajar tingkatan lima SMK Bangsar, Kuala Lumpur yang menjadi peserta ‘Smart Tutor’.

“Saya yakin program serampang dua mata ini bukan sahaja berjaya menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pelajar-pelajar sekolah dari golongan kurang berkemampuan untuk mendalami teknik ulangkaji yang berkesan, malah turut menyediakan platform kepada mahasiswa UM untuk terlibat sebagai sukarelawan dalam bidang pendidikan, walaupun sebelum bergelar graduan.

Peserta dan sukarelawan bergambar kenangan di penghujung program.
“Konsep pengajaran yang lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan dan permainan diharapkan mampu melancarkan proses pemahaman para peserta, terutamanya untuk subjek-subjek yang sering dianggap sukar, seperti matematik tambahan dan bahasa Inggeris.

“Saya juga amat mengharapkan sokongan dari pelbagai pihak dan agensi bagi memastikan program ini dikekalkan pada masa hadapan. Secara tidak langsung, usaha ini mencerminkan kesungguhan setiap ahli masyarakat yang inginkan semua pelajar berjaya di dalam bidang pendidikan, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi keluarga,” kata Nur Athirah mengakhiri temubual.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...