> SEL KL > 110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan
110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan
BERNAMA Rabu | 19 Jun 2019

SERDANG - Seramai 110 penuntut sebuah kolej universiti di Bandar Seri Putra, Kajang dikejarkan ke Hospital Serdang awal pagi ini selepas mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah disyaki akibat keracunan makanan.

Mereka merangkumi 90 penuntut wanita dan 20 lelaki yang sedang menjalani program orientasi bagi kemasukan peringkat diploma dan ijazah di kolej universiti berkenaan.

Seorang pegawai kolej itu berkata kebanyakan mereka mula mengadu sakit perut dan muntah selepas solat Maghrib semalam dan ekoran itu pihak kolej telah membawa kesemua penuntut ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketika ditemui pemberita di hospital itu, beliau berkata hari ini merupakan hari keempat mereka menjalani program orientasi selama seminggu.

“Bagaimanapun selepas solat Maghrib malam tadi, ramai penuntut mengadu sakit perut dan mula muntah menyebabkan pengurusan kolej mengambil keputusan membawa kesemua mereka ke Hospital Serdang pada kira-kira 8.30 malam," katanya.

Pegawai kolej itu berkata sebelum solat Maghrib, penuntut berkenaan terlebih dahulu diberi makan malam nasi putih berlauk ayam masak kurma serta sayur di dewan makan pada sekitar 3 petang hingga 7 malam.

Menurutnya lagi, pada kira-kira 1 tengah hari semalam mereka diberi makan tengah hari nasi putih dengan ayam masak kicap dan sayur.

Pegawai kolej itu berkata namun selepas makan malam dan selesai solat Maghrib, kesemua mereka mula mengadu sakit perut dan muntah.

“Sepanjang seminggu orientasi itu berlangsung, pihak kolej mengambil tempahan penyediaan makanan pihak katering dari luar kampus,” katanya.

Ada mangsa mendakwa lauk ayam masak kicap yang sedikit berbau ketika dimakan pada tengah hari semalam menjadi punca mereka mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah.

Mohd Aqil Adnan, 19, berkata ketika menikmati hidangan tengah hari memang ada beberapa rakannya mengadu ayam masak kicap yang dimakan sedikit berbau dan tidak sedap dimakan.

“Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan lain tetap menikmati hidangan berkenaan kerana lapar dan tidak mengesyaki bahawa makanan itu mungkin tercemar," katanya.

Mohd Aqil berkata selesai solat Maghrib, beberapa rakannya mengadu sakit perut serta mual sebelum dia sendiri merasainya.

“Sepanjang waktu itu setiap seorang daripada kami muntah tanpa henti malah saya sendiri muntah lebih kurang tujuh kali sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Seorang lagi penuntut, Muhammad Iman Marzuki, 19, berkata mereka terpaksa beratur panjang untuk menggunakan tandas akibat cirit-birit dan sakit perut.

Remaja itu berkata sakit perut dan mual yang dialaminya berkurangan selepas menerima rawatan.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...