> > Dulu kerja berpakaian korporat, demi cinta kini kandang lembu jadi pejabat...
Dulu kerja berpakaian korporat, demi cinta kini kandang lembu jadi pejabat...
NORMAWATI ADNAN Selasa | 25 Jun 2019

TAPAH - Tak kenal, maka tak cinta. Frasa ini tepat menggambarkan kehidupan Sarika Sri, 31, yang kini terlibat dalam penternakan lembu di Tapah Road, di sini.

Semuanya bermula selepas dia berkenalan dengan suami, A Saravanan, 35, yang merupakan penternak lembu hasil perusahaan turun-temurun keluarga.

Dia yang sebelum ini bekerja dalam pejabat dan berpakaian korporat, sama sekali tidak menyangka percintaan mereka mampu mengubah persepsinya terhadap kerjaya.

Ketika ditemui, pemegang diploma dalam jurusan sistem maklumat ini berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk terlibat dalam mana-mana bidang pertanian dan penternakan.

Bagaimanapun sebaik melihat usaha dilakukan suami dan keluarga mertua, secara perlahan-lahan timbul minat dan keinginan untuk terlibat sama.

“Mula-mula memanglah kekok tetapi saya cuba biasakan diri dan sekarang sudah lebih dua tahun dalam bidang ini,” katanya.
Sarika bersama suami yang menjadi pendorong utamanya dalam penternakan lembu. (FOTO SARIKA)

Rutin hampir sama

Katanya, walaupun berbeza lapangan kerja, rutin hariannya tetap sama. Dia akan bangun seawal jam 6 pagi, menyiapkan kerja rumah dan memasak sebelum ke kandang lembu untuk kerja-kerja pembersihan.

Katanya, selain menyediakan makanan lembu, dia perlu pastikan lembu-lembu di situ sihat.

“Risiko menternak haiwan ini tinggi terutama apabila berdepan penyakit. Bagi mengelak ia berlaku, keadaan kandang perlu sentiasa bersih, bekas makanan dan segala najis dibersihkan dengan baik,” katanya.

Suaminya banyak memberikan dorongan dan tunjuk ajar dan berbekalkan kursus penternakan yang diikuti, secara perlahan-lahan dia sudah mampu memahami selok-belok penternakan lembu.

Sarika optimis dengan bidang baharu yang diceburinya. (FOTO SARIKA)

“Apa pun kerja kita lakukan, kena sabar dan berusaha tingkatkan kemahiran diri. Saya sendiri tak ambil kisah dengan kata-kata orang sekeliling terutama kawan-kawan.

“Awalnya saya rasa lucu juga sebab dulu saya pegang pen, kertas dan telefon, sekarang penyapu dan baldi adalah peralatan saya dan kandang inilah pejabat saya,” katanya.

Bermula dengan tiga ekor lembu, penternakan lembu diusahakan bersama keluarga suaminya itu kini mencecah 40 ekor.

Tengok sendiri lembu beranak

Sarika berkata, saat paling menggembirakan dalam bidang penternakan adalah apabila lembu-lembunya membiak.

Keluarga dan rakan jadi pencetus semangat. (FOTO SARIKA)

Pada kebiasaan katanya, lembu-lembu betina yang bunting akan ditandai dan tempoh kelahiran akan dikira bagi memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.

“Kita boleh tahu berdasarkan keadaan lembu itu sendiri, biasanya bila saat melahirkan anak tiba, ibu lembu ini akan mengasingkan diri dari kumpulannya, jadi kita sebagai pemilik kenalah berjaga-jaga.

“Selalunya memang saya tak lepaskan peluang tengok sendiri lembu-lembu ini melahirkan anak, itu saat paling berharga, dulu mungkin rasa takut dan geli, tetapi sekarang rasa teruja,” katanya.

Menurutnya, tempahan lembu paling banyak diterima adalah pada Hari Raya Aidiladha, kebanyakan pelanggan adalah sekitar Perak dan Cameron Highlands, Pahang.

Sempena program Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya anjuran Pejabat Pertanian Daerah Batang Padang minggu lalu, Sarika antara empat individu yang menerima bantuan ternakan pintaf lima ekor lembu induk betina daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.

Sarika ketika menerima bantuan ternakan pintaf lima ekor lembu induk betina daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak. (FOTO SARIKA)

Katanya, bantuan itu dapat menyuntik semangatnya untuk terus maju ke hadapan. Kini dia dan suami dalam perancangan untuk terlibat dalam penternakan kambing dan ayam pula.

“Dengan pelbagai bantuan disediakan kerajaan, saya pasti ia boleh dilakukan, paling penting kita kena usaha dan berani,” katanya.

*Artikel dipetik daripada ruangan Usahawan Kita terbitan Sinar Harian (Edisi Utara) Selasa 25 Jun 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...